smka shams

smka shams

Sejak dari sekolah menengah dulu, saya mula tertarik dengan jubah. Nampak kawan-kawan yang duduk asrama pakai jubah tenang je hati ni. Warna jubah lembut macam pastel colour tu memang menawan bagi saya. Masa buat gathering dengan kawan-kawan sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Temiang, Seremban), saya satu-satunya bekas murid yang berjubah. Kawan-kawan yang lain dah banyak berubah, ramai yang cabut tudung dari kepala. Yelah, dulu Ustaz Supri Rahimahumullah tegas dengan kami. Kalau kami tak pakai tudung, kene pakai beg sekolah kat atas kepala. Ada yang merungut kenapa Ustaz Supri paksa macam ni, tapi mana berani nak cakap depan ustaz. Tapi sayang lepas habis sekolah semua tunjuk belang masing-masing. Pakai baju ketat-ketat macam baju saiz baby tu. Pakai seluar yang tak cukup kain dan macam-macam lagi. Itu cerita masa sekolah rendah. Naik sekolah menengah, sekolah agama (SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban), peristiwa tak seteruk itu. Mungkin kami merupakan lepasan sekolah menengah agama, ramai yang masih memelihara aurat. Namun saya kesal terdapat juga segelintir dari kami yang telah membuka aurat menampakkan rambut yang sepatutnya dikhususkan untuk suami tercinta. Itu belum masuk cara bertudung yang jarang, bertudung pakai baju ketat dan sebagainya.

Saya malu hendak menjawab jika sahabat-sahabat di Darul Hafizhat, Madinah Al-Munawwarah bertanya, “Malaysia adalah negara yang mengamalkan Islam bukan?” Mereka sering membayangkan Malaysia seperti Arab Saudi yang mana majoriti besar kaum muslimatnya menutup aurat dengan baik, sistem pemerintahan adalah mengikut ajaran Islam yang sebenar dan sebagainya. Ada seorang isteri kepada pelajar Master Universiti Islam Madinah yang berasal dari Nigeria berkata pada saya “Pada mula saya ingat Malaysia adalah negara yang mengamalkan Islam secara keseluruhan, tapi saya hampa, sepupu saya tinggal di Malaysia, tapi menurutnya orang Islam di Malaysia hidup seperti orang Amerika”. Ahhh..bertambah pilu hati saya. Tapi itu kenyataan yang harus saya telan.

Sampai di sini, antara benda yang terawal yang dibeli oleh suami ialah abaya hitam dan niqab. Saya selalu dihantui dengan pandangan pesimis terhadap orang yang berniqab (orang Malaysia selalu sebut berpurdah) dan berjubah hitam seratus-peratus ketika di Malaysia dulu. Saya selalu mendengar bahawa orang yang berjubah atau berniqab itu adalah golongan yang kurang sanitasinya, kurang pendidikannya, kurang ekonominya dan pelbagai macam lontaran yang buruk terhadap mereka. Malah jika anda ingat kembali, pernah suatu ketika segelintir masyarakat kita menggelar mereka yang berpurdah seperti hantu kom-kom dll. Begitu sempit pemikiran mereka ketika itu. Sampai satu hari di mana negara Malaysia dikejutkan dengan epidemik virus influenza dan selsema burung tidak berapa lama dahulu. Kemudian berpusu-pusu lah orang ramai pergi ke farmasi dan sebagainya untuk mendapatkan bekalan topeng menutup muka sebagai prevention dari terkena jangkitan tersebut. Kemudian saya mula terfikir akan kebaikan memakai niqab sejak dari hari itu. Walaupun jika saya tidak memakai niqab sekalipun, pandangan saya terhadap pemakaian niqab telah 100% berubah, tambahan lagi dengan biah kehidupan saya di Madinah Al-Munawwarah yang ternyata memberi kesan signifikan pada saya untuk memandang secara saintifik dan opitimistik terhadap pemakaian niqab dan  jubah (abaya) secara konsisten. Ternyata kebaikannya terlalu banyak..

Teringat kembali ketika saya masih bertugas di hospital dahulu, saya pergi merawat pesakit dengan jubah. Tidak sedikit pun saya rasa jubah itu akan menghalang tugas saya sebagai seorang doktor. Malah saya pernah berkali-kali naik ke atas katil pesakit dengan jubah untuk memberi bantuan CPR dengan cergas dan kompeten. Tidak ada seorang pun kakitangan hospital yang berani menegur saya supaya menukar jubah kepada pakaian lain. Saya menghormati pakaian anda, maka hormatilah pakaian saya dengan cara yang sama. Itu konsep saya. Lagipun lebih banyak permukaan kulit saya yang terlindung dari kekotoran berbanding jika doktor itu memakai skirt ketika bertugas. Ini logik, tak perlu begitu saintifik.

Pemakaian abaya dan jubah juga sangat praktikal dan menjimatkan masa. Saya tak pernah memakai telekung untuk solat di sini. Cukup dengan abaya, tudung dan stoking. Kemudian saya bebas pergi ke mana-mana dengan abaya atau jubah. Begitu juga ramai sahabat saya yang dengan mudah boleh menyusukan anak dengan aurat yang terjaga di mana-mana dengan pemakaian tudung dan abaya ini. Abaya jenis butang di hadapan juga amat sesuai bagi mereka yang ingin mengepam susu di dalam kereta, dengan syarat anda perlu memakai tudung yang labuh!! Tidak perlu bersusah payah membeli nursing cover, nursing blouse dan sebagainya yang boleh tahan harganya. Oh sangat praktikal bagi mereka yang sibuk yang ingin bergerak pantas.

Setelah tinggal di sini, saya menemui pelbagai jenis abaya dan jubah yang boleh dipakai di rumah atau di luar rumah dengan pelbagai warna dan fesyen yang menarik. Begitu juga dengan harga yang ditawarkan, memang pelbagai. Saya mula survey harga-harga jubah dan abaya yang ditawarkan di Malaysia. Terdapat harga jubah yang boleh dikategorikan sebagai mampu milik namun kebanyakannya mahal. Dengan gaji saya sebagai pegawai perubatan, saya sendiri rasa sukar untuk mengeluarkan wang sebanyak RM200 ke atas untuk sehelai jubah. Sayang rasanya. Mungkin bagi orang lain, mereka tak kisah, jubah RM200 itu kecil sahaja, setakat beli sehelai jubah tak ada masalah. Tapi itu bukan saya.

Maka apabila saya bandingkan harga jubah dan abaya di sini, harganya jauh lebih murah. Kita boleh memiliki abaya yang berkualiti tinggi dengan harga mampu milik. Saya selalu memasang cita-cita untuk menjual abaya dan jubah mampu milik kepada muslimah di Malaysia. Bermula dengan jualan secara borong kepada pengedar My Beautiful Abaya, saya berharap perniagaan abaya dan jubah mampu milik ini akan berterusan dan boleh membantu semua muslimat di Malaysia menutup aurat dengan sempurna dengan abaya mampu milik. Saya cuba mensasarkan edaran abaya yang berharga bawah RM100 untuk pasaran abaya mampu milik di Malaysia kelak, doakan saya berjaya..

Kenapa saya pakai dan jual abaya@jubah? Kerana saya telah jatuh cinta dengan pakaian ini…

p/s: Tahniah diucapkan kepada pelajar kita di peringkat Master di Universiti Islam Madinah Saudara Husaini yang telah berjaya dengan sangat cemerlang (Mumtaz Syaraf Ula) dalam munaqasyah masternya hari ini. Mabruk..Terdahulu Ustaz Lokman @ Abu Umair telah berjaya mendapat kejayaan yang serupa, mabruk.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100


رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

3 Rabi’ul Akhir 1430@ 30 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.