Ada yang merungut tentang khidmat kesihatan yang diberikan di Malaysia terutamanya jika ianya dari hospital kerajaan. Waktu menunggu terlalu lama, staf hospital yang tidak mesra, ubat tidak berkualiti, rawatan yang tidak memuaskan dan banyak lagi ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap perkhidmatan kesihatan terutamanya di sektor awam di negara kita. Pengalaman rakan membuat locum di beberapa klinik swasta, bayaran untuk konsultansi seorang doktor kepada pesakit sekitar RM5-RM10. Ini bermakna jika pesakit datang hanya untuk mendapatkan nasihat dari doktor jumlah duit yang dikenakan tidak sampai RM20. Itu di sektor swasta, tapi di klinik-klinik kesihatan kerajaan, bayaran yang perlu anda keluarkan sangat minimal malah percuma bagi sesetengah daripada kita.

Namun khidmat sedemikian tidak akan dapat diperoleh jika kita berada di negara Saudi. Saya kurang pasti tentang negara-negara lain. Lebih kurang seminggu lepas, jiran saya di sini mengadu tentang keadaan kesihatannya. Dia mengalami pendarahan dan sedang hamil 16 minggu. Lantas saya menasihatinya untuk bertemu doktor. Dia memilih hospital Ad-Dar, sebuah hospital swasta, bangunannya tersergam indah di mana lokasinya terletak berhampiran dengan Masjid Quba’, 15 minit perjalanan dari kawasan kediaman kami. Kami bertemu dengan Dr Hana. Doktor wanita yang berasal dari negara Mesir, umurnya mungkin sebaya dengan ibu saya di Malaysia. Kemudian dia terus mencapai mesin ultrasound. “There is no fetal movement and fetal heart rate” Dr Hana berbisik kepada saya, takut sahabat saya mendengar perbualan kami. Selesai 2 minit ultrasound abdomen, tiada parameter fetus diukur, tiada vital sign (tekanan darah, denyutam jantung) ibu diambil, tiada pemeriksaan pangkal rahim (perspeculum examination) dibuat, HANYA 2 minit ultrasound abdomen. Dr Hana tuntas merekodkan sesuatu di dalam komputer meja di biliknya. Ternyata pintu hadapan bilik Dr Hana tertera Obstetric & Gynaecology consultation room. Saya dan sahabat terkulat-kulat mendengar penjelasan Dr Hana dalam bahasa Inggeris ala-ala mesir yang sukar untuk dihadam dalam waktu sesingkat 3 minit. Dr Hana menasihatkan kami pergi ke Hospital Madinah Watani untuk membuat ultrasound doppler setelah faham situasi sahabat yang mungkin tidak selesa dengan harga bayaran Doppler di Ad-Dar yang bernilai hampir SR500. Ya Allah…mahalnya, jika tambah seratus lagi boleh buat CT scan di hopsital swasta di Malaysia. Rupanya nilai 5 minit bertemu dengan Dr Hana bernilai SR120. Namun wanita mesir itu bermurah hati untuk memberi diskaun, sementelah kami dari kalangan keluarga berstatus pelajar, suami sahabat cuma perlu mengeluarkan SR90. Sebelum pulang saya sempat bertanya dengan wanita dari bumi kinanah itu, berapa riyal untuk D&C (dilatation and curretage) atau istilah melayunya cuci rahim jika gugur, dia menjawab ringkas “SR2700”. Saya menelan air liur yang hampir kering…

Kami berlima (saya,suami, sahabat dan suami beserta anak kecilnya berumur setahun lebih) pulang menaiki satu kereta sambil berlegar-legar di kepala kami untuk berusaha mencari Hospital Madinah Watani. Dr Hana membekalkan satu ubat bernama castor oil berperisa epal untuk sahabat. Dia memberi masa hingga 1 minggu untuk sahabat bertahan. Di rumah, sahabat mengadu sering membuang air besar yang cair selepas menggunakan castor oil. Tiada perubahan pendarahan, hanya tompok-tompok hitam dan sesekali perut mengeras sakit seolah-olah dysmenorrhea (senggugut). Sahabat terlalu bimbang, bagaimana jika bayi mereput dengan cepat? Dia lantas menghubungi Dr Hana selepas beberapa hari bertahan. Dr Hana menasihatkan supaya dia mencari sejenis ubat yang diberi nama cytotoxic pil. Saya hairan, jauh beza rawatan untuk missed miscarriage di sini berbanding di tanahair. Di Malaysia jika ada kes sebegini kita dengan pantas akan memasukkan pesakit ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya ataupun kita akan memberi sedikit masa untuk janin keluar sendiri mengikut keadaan pesakit tanpa memberi castor oil atau cytotoxic drug. Namun tak mengapa, mungkin rawatan di sini berbeza. Segenap pelusuk farmasi di Madinah suami sahabat telah teroka untuk mendapatkan cytotoxic pil tersebut. Namun usaha gagal. Dr Hana dihubungi sekali lagi namun tidak berhasil. Suami sahabat kemudian menghubungi Dr Najwa di hospital yang sama. Setelah diperiksa, sahabat dimasukkan ke dalam hospital. Janin beserta placenta (uri) keluar sendiri tanpa prosedur D&C, ya itu yang sebaiknya. Alhamdulillah semua berjalan lancar, Cuma saya terkejut sedikit dengan bil hospital..SR1700 untuk jangkamasa tidak sampai 24 jam.

Semasa kali pertama perjumpaan dengan isteri-isteri pelajar di sini, beberapa sahabat mengeluh dengan bayaran yang dikenakan apabila pergi ke hospital di sini. Rupanya sekali berjumpa dengan doktor untuk konsultansi sahaja, jumlah minimal yang perlu dibayar ialah SR50, itu belum termasuk bayaran untuk sebarang prosedur atau ubat-ubatan. Hati kecil berbisik, beginilah jika nilai kesihatan di’riyal’kan…