Musa’adah berasal dari kata akar sa’da. Merujuk kepada Kamus Al-Munawwir Arab-Indonesia Edisi Kedua, sa’ada bermakna bahagia, mujur. Manakala musa’adah membawa makna pertolongan, bantuan, asistensi. Menjelang kedatangan Ramadhan Kareem lebih kurang 10 hari lagi, maka berlimpah-ruahlah pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk Madinah ataupun penduduk di luar Madinah yang datang berkunjung ke tanah tempat tinggal Rasul ini. Sememangnya kami yang terdiri dari kalangan keluarga pelajar antara kalangan yang bertuah kerana menerima musa’adah dari kalangan manusia yang dermawan. Bantuan ini bukan sedikit malah boleh bertahan untuk berbulan, mungkin bagi saya dan suami yang hidup berdua.

Pagi tadi tepat pukul 5 pagi seusai solat Subuh, Bob, sahabat dan jiran kami yang tinggal di bangunan berhampiran menghubungi suami memaklumkan tentang perkara ini. Rupanya hari ini hari terakir, maka secara beramai-ramai para suami yang terdiri dari kalangan pelajar Malaysia pergi ke pusat pengagihan barang-barang. Saya menunggu di rumah setelah selesai memasak sambil menjenguk-jenguk berita terkini di tanahair secara online. Hampir setengah jam suami keluar. Semasa ketiadaan dia di rumah, saya dikejutkan dengan deringan loceng pintu. Loceng ditekan bertalu-talu seolah-olah mahu ditanggalkan punatnya. Hati berdebar kencang. Lain benar bunyi loceng jika ditekan suami. Lalu saya memberanikan diri mendekati pintu, memerhati siapa gerangan yang seakan-akan tergesa-gesa itu. Ada sesusuk tubuh yang mamakai jubah hitam dan bertudung bewarna hitam. Mata yang rabun tidak dapat mengenal pasti bagaimana wajah si pemilik jubah hitam itu. Jiran saya kak hajar di tingkat bawahkah? Tidak mungkin, dia akan selalu memberi sms dulu jika mahu menjengah atau mengirim barang. Tapi dia dah berpindah ke bangunan lain..maka siapa wanita tadi? Diri terus berani memerhatikan. Wanita tersebut kelihatan menonggeng di mana matanya menyelinap melihat di kaki pintu rumah jiran di hadapan rumah. Pelik dan menggerunkan sungguh..5 minit berlalu dan wanita berjubah hitam itu pergi.

Barangan Musa'adah Ramadhan 1429

Barangan Musa'adah Ramadhan 1429

Setelah hampir 45 minit suami pun pulang. Lega rasa hati. Kali ini memang ketukan pintu dan deringan loceng suami yang biasa didengar. Suami memakai jubah berwarna biru tua. Namun jubahnya sudah terpalit debu bewarna putih. Itu bukan debu, tapi tepung. Suami membawa pulang 10 kg tepung gandum. MashaAllah…bukan tepung sahaja malah dia membawa 6 kotak kurma, 1 kg setiap kotak. Di dalam but kereta penuh dengan barangan makanan. Kami berkongsi dengan Amin dan isteri. Bakal jiran di tingkat bawah yang kini masih berada di Malaysia. Maka setiap keluarga akan mendapat 5 kg tepung gandum, 10 kg gula pasir, satu kotak teh, 3 kg kurma, 10kg beras, serbuk sabun basuh jenama Tide, minyak masak palm oil 1.8kgx3 dan susu tepung saiz besar 1 tin +. Alhamdulillah, rezeki yang melimpah Allah kurniakan.

Beras 10kg..katanya beras mahal..

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.

“Bandingan (pemberian) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melimpat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”Ayat 261, Surah al-Baqarah

Firman Allah Taala:
وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh. ” Ayat 10, Surah al-Munafiqun

Nur Izah Ab. Razak

22 Ogos 2008@21 Sya’aban 1429

Madinah Al Munawwarah.