Kuih cara manis

Kuih cara manis bersebelahan choc chip crunchy

Malam kelmarin, saya teringat tentang 2 orang sahabat yang kini tinggal di PPM. 3 hari tidak bersua bagai berminggu lama dirasa. Rasa rindu ingin meilhat keletah anak mereka Fateen dan Tasneem menyebut Nunu, sebuah perkataan yang digunakan sebagai label produk penjagaan bayi di sini. Lantas saya membuka buku resepi yang sudah berkepuk dengan tepung gandum Musa’adah dan kicap manis indon. Jam di dada PDA menunjukkan 20 minit lagi mahu menjengah ke pukul 9.30 malam. Mungkin kuih cara manis yang mampu dibuat segera boleh dibawa ke PPM sebagai buah tangan. 1 cawan tepung gandum, 1 cawan susu, 1 biji telur dan sedikit garam serta pewarna hijau diadun sebati dengan penuh semangat. Lagi sekali ini kali pertama dalam hidup mebuat kuih ala-ala tradisi. Saya mencemari tradisi dengan membakar kuih cara hijau di dalam bekas muffin berharga SR8, bahkan tiada daun pandan untuk jadi syarat bau kuih tersebut pun. “Tak apa, kita cuba dulu pakai acuan muffin sr8, mana tahu elok buatannya” Suami memahat yakin apabila saya sangsi dengan produk buatan negara Tembok Besar China itu. Bukan apa,di Jiyan mahal..malah boleh mencecah SR40 harga acuan muffin, apakah mugkin besi berharga SR8 dapat memberi prestasi seoptimal besi berlabel SR40? Rupanya, acuan muffin 8 riyal itulah yang menjadi teman kegemaran saya di dapur ketika membakar kuih…benar kata suami. Selesai membakar kuih cara manis selepas 10 minit, saya dan suami bergegas membalut kuih untuk dihantar ke PPM. Ummu Akmal@Kak Ella yang sering disapa di alam maya memesan “Kita jumpa di PPM malam ni ya”. Ya, malam itu PPM menjadi pusat pertemuan kami.

Lebih kurang pukul 9.30 malam, kami menuju ke PPM (dengan izin yang Dipertua PPM) berbekalkan kuih cara manis berbentuk muffin yang saya kurang pasti keenakannya. Sebenarnya saya baru mengenali kebanyakan mutazawwijin di sini. Hampir ke semua para isteri telah bergelar ummu. Hati tersentuh dengan akhlak dan sifat mahmudah yang dicerminkan. Namun sayang, saya cuma ada lagi beberapa hari untuk menikmati keindahan pertalian ini bersama 2 ummu ini, Ummu Tasneem dan Ummu Fateen. Mereka bakal balik ke tanahair setelah bertahun mendiami bumi kecintaan Rasul ini pada awal Ramadhan ini. Lalu senyuman dan gurauan ala-ala wrestling di antara Fateen dan Tasneem itu hanya beberapa hari untuk diamati sebelum dibawa pulang terbang ke Malaysia. Kami berdiskusi sehingga lewat pagi sambil menikmati shai arab buatan tangan Ummu Fateen dan kuih cara manis beserta cookies coklat yang dibawa Ummu Akmal. Saya beransur-ansur cuba menyesuaikan diri untuk mencorak waktu tidur seperti orang Arab tempatan, namun bukan perkara yang mudah. Mungkin ada hormon saya yang terkejut..

Di Madinah al-Munawwarah sehingga ke saat saya menulis blog ini, terdapat 8 orang para zaujah aka isteri yang menetap menemani suami masing-masing yang kini belajar di Universiti Islam Madinah. Ummu Insyirah, pemegang ijazah Architecture di UIA. Ummu Akmal lulusan Undang-Undang UIA. Ummu Fateen yang mengambil cuti tanpa gaji selama 2 tahun merupakan kakitangan Tabung Haji, menangguhkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Seorang graduan Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin yang menangguhkan pengajian di peringkat master, Ummu Tasneem. Ina lulusan sekolah tahfiz. Ummu Tayyibah, graduan Universiti Al-Azhar Mesir. Ummu Maryam bekas mahasiswi UIA dan saya.

Puisi buat para suami di sini,

“Kesemua kami telah tekad meninggalkan ayah-ibu,adik-beradik keluarga, kerjaya, wang, pangkat dan pengajian di tanahair untuk menjadi pendamping, penenang hati,penyejuk mata suami tercinta,

Agar kami bisa menyusukan anak-anak belahan jiwa supaya menjadi manusia pahlawan agama,

Agar obor semangat para suami untuk menadah ilmu di bumi barakah begitu menyala-nyala,

Agar para suami sekalian boleh pulang mendidik anak bangsa,menunjuk jalan, membela agama…”

*Mutazawwijin= perkataan sebenar ialah mutazawwij bermakna yang telah berkeluarga (Kamus Al-Munawwir Arab-Indonesia Edisi Kedua)

*PPM=Perpustakaan Pelajar Malaysia-Madinah

Nur Izah Ab Razak

29 Ogos 2008@28 Sya’aban 1429

Madinah Al-Munawwarah.