Bukit Uhud, pemandangan dari depan bangunan rumah kami

Bukit Uhud, pemandangan dari depan bangunan rumah kami

Semilir angin dingin menghembus lembut di celah-celah belahan bukit Uhud pada pagi 1 Ramadhan itu. Rumah kami memang hampir dengan bukit yang sarat dengan perjuangan Nabi itu. Sang bulan kian ditelan langit yang membiru. Beberapa ketika lagi si matahari akan menyinarkan teriknya sehingga boleh mencapai suhu 50 darjah celcius. Bahkan di musim panas ini, air semacam rasa boleh melecurkan pemukaan kulit jika terkena terlalu lama. Kami telah selesai menikmati hidangan sahur bersama buat kali pertamanya dalam sejarah perkahwinan kami. Sambal ikan kunyit dan sayur salad menjadi pembekal tenaga kami untuk berpuasa lebih dari 14 jam nanti. Antara hadith Nabi berkaitan sahur;

Selain itu, Nabi juga bersabda : “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya” (Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Mata saya berkaca-kaca gembira sejurus suami mencadangkan untuk menunaikan umrah.Memulakan perjalanan ke Makkatul Mukarramah sejauh 410km dari sini selepas iftar. Duit untuk mengisi tangki minyak siap disedia dengan SR60, cukup untuk pergi balik malah boleh singgah ke Jeddah. Malah kami bebas dari belenggu bayaran tol kerana di sini perhentian tol adalah sesuatu yang menjanggalkan. Maka hari itu, saya perlu menyelasaikan pelajaran saya berkenaan dengan umrah. Perjalanan ke Makkah pada waktu malam mendinginkan. Kami berhenti di beberapa perhentian untuk membeli minuman dan mengambil wudhu’ serta berniat ihram di sebuah masjid yang terletak di Bir Ali.

Lebih kurang 4 jam kemudian, kami sampai di kota Makkah. Waktu itu jam di tangan menunjukkan pukul 1.00 pagi. Namun, bagi saya yang baru menjejakkan kaki ke sini setelah 8 tahun, kota ini sesak. Jalanraya penuh dengan kereta, bunyi hon yang membingitkan telinga bersahut-sahutan . Semua kedai meriah, seakan-akan tiada siapa di kota itu yang sedang tidur pada pukul 1 pagi itu. Kami berjalan kaki lebih kurang 100 meter dari tempat parking bertingkat yang berharga 10 riyal bagi setiap jam. Di celah-celah runtuhan bangunan di keliling kawasan masjid, kami mendaki tanah kerikil yang curam menuju ke kawasan yang sungguh bercahaya itu. Nah…tersergam indah Masjidil Haram. Hati saya gembira berbunga-bunga sambil mengucap syukur pada yang Maha Esa.

Suami lantas mengajak saya masuk ke dalam masjid. Kasut Bata dan capal kami diselit di celah dinding kawasan tong berwarna krim berisi air zam-zam. 7 pusingan tawaf dilaksanakan di tengah-tengah ribuan manusia yang turut berkejar menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Selesai tawaf, kami menuju ke kawasan yang dinamakan Safa. Di tingkat bawah,walaupun kawasan saie telah dilebarkan hampir sekali ganda, jemaah seakan tidak dapat bergerak akibat ramai manusia yang berhimpit-himpit melaksanakan Saie dari  Safa ke Marwah. Maka kami mengambil keputusan untuk naik ke tingkat atas di mana jumlah jemaah sedikit kurang dari tingkat sebelumnya. Setelah selesai bercukur dan menggunting rambut kami berehat sebentar di kawasan haram sebelum memulakan perjalanan ke Jeddah dan seterusnya pulang ke Madinah. Semoga Allah mengizinkan kami pergi lagi ke sini satu masa nanti…

RAMADHAN KAREEM,

Nur Izah Ab Razak

8 Ramadhan 1429@8 September 2008

Madinah Al-Munawwarah