Rindu

Rindu

Dulu di Malaysia, saya sering bersolat terawikh di surau berdekatan rumah. Imamnya bernama Ustaz Fatah, berusia lebih 60 tahun, guru yang sudah pencen seringkali membaca surah-surah ringkas dengan pantas. 11 rakaat kesemuanya termasuk solat witir 3 rakaat. Dan adik saya, Muhammad adalah orang yang paling awal akan tiba di rumah kerana berkejar untuk makan ‘more’. Itu dulu, 5 tahun yang telah berlalu. Kini, di tahun 2008, Muhammad telah dewasa. Dia kini bukan lagi kanak-kanak riang yang berkejar-kejaran di sekeliling surau. Dia kini seorang pemuda yang menyejukkan mata dan jiwa, yang matang malah telah bergelar “ustaz”. Saya juga seringkali terkenang pada kakak, Nurhayati, wanita yang menjadi idola saya sejak kecil. Malah padanya tempat saya mencurah perasaan dan tempat saya mengalirkan air mata. Saya teramat rindu pada mereka berdua. Tahun lalu, jika saya bertugas di hospital pada bulan Ramadhan, ibu akan menghantar juadah berbuka yang paling enak di dunia. Itu membuatkan saya sering menahan sesak di dada yang teramat merindui seorang wanita yang paling mulia dalam hidup saya, iaitu ibu (saya memanggil ibu dengan panggilan emak). Seorang manusia yang telah menumpahkan segala keringat dan mengorbankan perasaan dan jiwanya untuk membesarkan saya menjadi manusia. Mengimbau kembali memori saya sewaktu masih kecil, saya selalu tertidur di bawah meja makan jika berpuasa, di atas lantai yang sejuk dingin. Dan jika saya berjaya berpuasa pada hari itu, ayah akan memberi saya upah RM1 sehari. Malah tabiat saya tidur di atas lantai berterusan terutama jika hendak tidur pada waktu malam sewaktu kecil dahulu. Maka ayahlah yang akan mengangkat saya setiap hari ke katil lantas menyelimutkan anaknya setiap malam.

Kini, mereka jauh beribu-ribu batu dari pandangan mata saya. Terlalu jauh untuk saya kucup tangan dan pipi kedua orang tua saya. Terlalu jauh untuk memeluk erat kakak dan adik saya. Saya cuma mampu berdoa semoga Allah memberikan kesejahteraan dan kebahagian kepada mereka yang saya cinta…

Dan untuk suami yang dicintai, terima kasih kerana menjadi pengganti mereka yang dirindui..

RAMADHAN KAREEM,

Nur Izah Ab Razak

10 Ramadhan 1429@10 September 2008

Madinah Al-Munawwarah