sewaktu selesal qiyamullail di perkarangan Masjid Nabawi

sewaktu selesal qiyamullail di perkarangan Masjid Nabawi

Line internet tak berapa laju. Semenjak dua menjak ni tak sempat nak update blog. Malam ni dah malam ke 27 Ramadhan. Sungguh pantas masa berlalu. Seperti kebiasaan tahun-tahun lalu, Masjid Nabawi akan menganjurkan qiamullail pada 10 terakhir Ramadhan. Solat sunat  13 rakaat termasuk witir akan bermula lebih kurang jam 1 pagi dan berakhir jam 3 pagi. Mula-mula dengar terkejut juga kenapa 10 rakaat sampai mengambil masa 2 jam?. Rupanya setiap satu rakaat imam akan membacakan 1 maqra’ bacaan Al-Quran hingga rakaat yang kesepuluh. Dua orang imam akan bertugas pada setiap malam di mana imam yang pertama akan memimpin solat sunat hingga ke rakaat yang ke-6 manakala imam yang kedua akan meneruskan rakaat ketujuh hingga solat witir. Maka ramai jemaah yang menggunakan kesempatan untuk sama-sama membaca Al-Quran di dalam hati sambil memegang kitab teragung itu.

Sebelum qiyam di dalam masjid Nabi

Sebelum qiyam di dalam masjid Nabi

Malah ada wanita yang sempat menyusukan anak malah menepuk-menepuk punggung bayi mereka supaya lena tidur di kala sedang solat sunat yang panjang itu. Ada juga ramai jemaah yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka. Maka ramailah yang akan tidur di sudut-sudut masjid malah ada ramai juga yang di tengah kawasan solat sambil berselimut sambil menanti qiamullail pada malam-malam terakhir Ramadhan ini. Sesungguhnya keadaan masjid pada pagi jam 1 itu sungguh meriah, seakan-akan ada pesta. Kebanyakan keluarga di sini seolah-olah menjadikan masjid sebagai satu tempat rekreasi yang menyeronokkan untuk dikunjungi. Kanak-kanak seawal usia beberapa bulan sudah diajar untuk pergi ke masjid. Saya sangat senang dengan budaya mereka yang mendedahkan anak-anak kecil untuk mencintai masjid.

baring sebentar

baring sebentar

Solat yang panjang ini membuatkan ramai wanita yang tidak mampu berdiri lama membawa kerusi untuk duduk ikut sama bersolat. Pada 3 malam kelmarin saya bertemu dengan seorang wanita Mesir yang sarat mengandung, dia kelihatan sangat bersemangat untuk berqiamullail pada malam itu. Walaubagaimanapun, saya menyedari bahawa dia amat letih sewaktu hendak bangun menunaikan solat sunat pada rakaat yang ketiga maka wanita itu pun lantas duduk sewaktu rakaat yang keempat. Hati saya tercuit rasa kagum, mashaAllah. Itu semangat untuk solat sunat bukan solat fardhu!! Kontranya saya lihat kebanyakan wanita Melayu yang sarat mengandung yang menunggu masa untuk melahirkan di tempat saya berkhidmat dulu bukan begitu. Maaf doktor, saya tak larat solat. Saya tak boleh solat doktor sebab saya ada jarum di tangan. Saya tak sembahyang doktor sebab tak ada telekung. Seribu satu macam alasan bodoh yang tak boleh diterima akal waras. Lantas saya dan beberapa teman seangkatan seperti Dr Mastura akan berubah profesyen sebagai ustazah seketika untuk menerangkan kepada pesakit tentang peripentingnya solat. Saya menindui Dr Mastura. Semoga Allah memudahkan urusannya untuk menjadi pakar O&G apabila saya pulang nanti. Mana tahu bidang itu yang saya akan terjun nanti?

Sebentar lagi saya dan suami akan meneruskan perjalanan ke Masjid Nabi untuk berqiamullail. Sesungguhnya saat-saat ketika kami berada di Masjid Nabi adalah antara saat terindah untuk kami..Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, kurniakanlah kami malam seribu bulan itu ya Allah.

Nur Izah Ab Razak

27 Ramadhan 1429 @ 27 September 2008

Madinah Al-Munawarah.