Taqabbalallahu minna wa minkum

Taqabbalallahu minna wa minkum

Taqabbalallahu minna wa minkum. Salam Eidul Fitr kepada keluarga tercinta, sahabat-handai dan semua kaum muslimin di mana jua anda . Saya Nur Izah dan suami Muhammad Fawwaz yang berada jauh dari tanahair tercinta memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap kami selama ini.

Pada 29 september 2008 tepat jam 7.15 malam saya dan suami bergegas menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Isya’ disamping ingin menunaikan solat tarawih jika esoknya masih puasa. Di sini, tiada pengumuman di kaca televisyen seperti di Malaysia untuk pemberitahuan bila jatuhnya 1 Syawal. Setelah solat Isya’ selesai, tiba-tiba ramai jemaah muslimat bangun dari tempat solat beramai-ramai untuk keluar dari masjid, saya kehairanan. Maka saya termangu-mangu mencari seseorang yang boleh berbahasa Inggeris atau Malayu untuk kepastian bila sebenarnya hari raya Eidulfiri. Makcik Pakistan yang ditanya tidak tahu, begitu juga wanita dari India apabila diajukan soalan yang sama. Akhirnya jawapan kepada persoalan saya terungkai apabila pekerja masjid dari Indonesia memberitahu saya “Esoknya hari raya”.

Secara tiba-tiba hati saya diselubungi bunga-bunga gembira yang lain dari yang lain. Tidak sama perasaan saya berbanding tahun-tahun lepas. Lantas dengan penuh semangat saya keluar dari masjid untuk menghubungi suami tercinta. Rupanya, suami sedang menunggu ditepi pintu masuk berhadapan Hotel Oberoi untuk berkongsi cerita gembira ini. Tiba-tiba, ada satu kereta polis yang dipandu perlahan melintas di hadapan kami, ada 3 lelaki arab di dalamnya. Rupanya kereta polis itu memasang kaset takbir raya. Rasa kaget sebentar, oh begini caranya mereka menghebahkan Eidulfitr.

Maka pada malam yang bersinar terang disulami rasa riang, kami pun balik ke rumah untuk bersiap menyambut kedatangan 1 syawal. Tak sempat pun untuk masak rendang atau nasi impit kerana tidak menyangka Eidulfitr akan datang sepantas itu. Maka tepat jam 4.30pagi, saya, suami, Abu Akmal, Ummu Akmal dan si comel Akmal berangkat ke masjid untuk solat Subuh seterusnya solat sunat Aidil Fitr bersama-sama. Kami cuba untuk parking di tempat biasa tapi jalan itu ditutup. Alternatifnya kereta kami menuju ke bahagian kiri belakang masjid. Namun, secara tiba-tiba kereta itu rosak dan terpaksa ditolak ke tepi jalan dibantu oleh beberapa orang polis dan orang ramai. Maka saya, ummu Akmal, Abu Akmal dan Akmal berjalan dahulu ke masjid sementara suami menunggu kereta pulih.

Setibanya di pintu luar masjid, saya terkesima dengan ramainya manusia melata di lantai-lantai luar masjid. Tidak pernah saya menyaksikan sebegini ramai manusia di Masjid Nabawi. Saya dengan pasrah bersama-sama Ummu Akmal dan si kecil Akmal berjalan di celah-celah ribuan manusia untuk masuk ke dalam masjid sambil berdoa supaya masih ada ruang untuk kami menunaikan solat. Rupa-rupanya kawasan dalam masjid masih banyak yang kosong. Dengan pantas kami meletakkan sejadah di tepi tong air zam-zam.Dan dengan sepantas kilat juga ruang-ruang kosong di belakang kami dipenuhi manusia.

Selepas solat Eidulfitr, di tingkat atas masjid Nabawi

Selepas solat Eidulfitr, di tingkat atas masjid Nabawi

Lebih kurang jam 6 pagi selepas solat subuh, kedengaran takbir raya yang lain benar dari Malaysia. Lain dengan makna hanya ungkapan “Allahuakbar Allahuakbar wa lillahilhamd”. Itu sahaja perkataan yang disebut secara berulang-ulang kali disamping cara mereka melagukan takbir yang berbeza dengan tanahair. Saya berasa teruja dengan kelainan itu. Tepat 6.30 solat sunat Eidulfitr bermula. Pada pagi itu, minda saya begitu segar dan mata saya berkaca-kaca gembira sambil mendengar khutbah hari raya dalam bahasa Arab.

Kanak-kanak arab berbaju gaun kembang

Kanak-kanak arab berbaju gaun kembang

Akmal bergaya dengan baju Melayu di pagi raya

Akmal bergaya dengan baju Melayu di pagi raya

Kelihatan ramai kanak-kanak saudi memakai baju-baju yang sangat menarik. Gaun-gaun kembang berwarna-warni beserta rambut yang didandan indah dikenakan dengan sepatu yang cantik amat menarik perhatian saya. Seolah-olah majlis tari menari untuk kanak-kanak sedang berlangsung ketika itu! Tidak ketinggalan Akmal yang berumur 1 tahun 5 bulan sangat comel berbaju Melayu di pagi raya.

Pak Lah (kanan sekali), keturunan Pattani yang kini menetap di Saudi

Pak Lah (kanan sekali), keturunan Pattani yang kini menetap di Saudi

Setelah selesai solat sunat Eidulfitr, kami 2 keluarga dimaklumkan oleh Abu Tayyibah bahawa kami semua dijemput ke rumah Pak Lah untuk jamuan hari raya. Pak Lah merupakan keturunan Pattani yang lahir di Saudi dan kini menetap di Madinah Al-Munawwarah. Mempunyai seorang isteri yang kami panggil Kak Azizah dan anak seramai 8 orang. Hampir kesemua anak-anak mereka tidak tahu berbahasa Melayu dialek Kelantan namun mereka sungguh mesra dengan tetamu seperti kami. Kawasan rumahnya terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Kami dihidangkan dengan nasi putih beserta lauk kari ayam dan kuzi kambing yang amat menyelerakan ditambah pula dengan sambal belacan ala-ala pattani! Lebih kurang 45 minit kemudian, saudara kepada Kak Azizah yang tinggal berhadapan dengan rumahnya menjemput muslimat beraya di rumahnya. Apa yang menarik, kami dihidangkan dengan sejenis kopi atau nama tempatannya gahwah. Ia dihidangkan di dalam sejenis cawan kaca berwarna emas dalam kuantiti yang minimal. Rasanya sangat pekat dan pahit seperti minuman herba. Pada kebiasaannya ia akan diminum dengan coklat atau manisan untuk mengimbangkan rasanya. Kami turut dihidang dengan pulut dan kuzi ayam beserta banyak manisan Arab yang sememangnya terlalu manis. Mungkin benar kata sahabat saya di Malaysia, doktor wanita keturunan Arab yang mengatakan statistik diabetes mellitus type 2 dan obesiti melampau semakin melonjak naik di kalangan warga Saudi.

)

nasi kambing yang bertukar ke nasi lembu🙂

Majlis Hari Raya di PPM, makan atas sufrah

Majlis Hari Raya di PPM, makan atas sufrah

Pada hari raya kedua beberapa pelajar malaysia yang berada di sini sepakat untuk mengadakan majlis hari raya. Mulanya menu utamanya ialah nasi kambing namun telah bertukar ke nasi lembu beserta air asam yang enak, dimasak oleh chef terkenal dikalangan kami, Tok Don aka Abu Tayyibah yang kini sedang menunggu saat kelahiran anak keduanya.

Hari raya ketiga pula, Sharudin menjemput kami bertandang ke rumahnya untuk jamuan hari raya. Di majlis ini saya sempat berbual ringkas dengan seorang warga Malaysia, Thahirah yang berasal dari Shah Alam, merupakan lulusan salah sebuah universiti di Amerika yang menetap di Madinah kerana mengikut suaminya yang merupakan warga Amerika menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah. Saya turut sempat berkenalan dengan Puan Azian, isteri kepada Dr. Syukran. Kak Azian yang merupakan seorang guru bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah di Gombak turut mengambil cuti tanpa gaji selama setahun. Manakala Dr Syukran yang kini mengambil cuti sebatikal, kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Universiti Tayyibah. Kami terpaksa pulang awal dari majlis kerana sahabat saya sewaktu di SMKA SHAMS dulu, Shafik yang kini bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat milik Mohtar Bukhari di Jizan, Arab Saudi menziarahi kami sekeluarga untuk berhari raya.

Setelah lama tak meng’update’ blog, maka kali ni entry agak panjang. Semoga Eidulfitr kali ini menjadi sangat bermakna untuk kita. Selamat berpuasa enam!

Nur Izah Ab Razak

5 Syawal 1429 @ 4 Oktober 2008

Madinah Al-Munawarah.