Hari ini malam ke 22 Ramadhan. Jika 4 hari lalu saya hanya berkesempatan solat di pinggir pintu masjid kerana sesak dengan manusia maka saya dapat bayangkan bagaimana ramainya jemaah malam-malam seterusnya ini. Seperti yang acapkali ditanya, macamana persediaan raya di sana, jawapan saya ringkas..tidak ada. Pada saat ini, sudah tentu kaum keluarga, sahabat handai saya semua masing-masing sedang sibuk menyediakan persiapan 1 Syawal, baju raya, kuih raya, kasut raya, langsir raya. Mungkin mak-mak saya (ibu dan ibu mertua) risau saya tidak ada baju lebaran maka mereka mengirimkan saya beberapa pasang baju kurung johor dan pahang. Terima kasih mak kerana ingatan terhadap anakmu ini tak pernah luntur. Mak jangan gundah ya, saya masih ada lagi abaya hitam yang amat praktikal serta menepati syariat pemberian suami, yang sesuai untuk saya pergi solat atau pergi ke mana-mana. Saya lebih sedih menahan hiba kerana Ramadhan sedikit demi sedikit akan berlalu pergi meninggalkan saya.

Di sini, kebanyakan iklan yang terpampang belum lagi saya jumpa yang mengucapkan selamat hari raya atau salam eidulfitr. Yang banyaknya tentang Ramadhan, Ramadhan kareem, Ramadhan Khair..semuanya Ramadhan. Puas juga saya dan suami mencari kad ucapan hari raya untuk dihantar kepada keluarga di tanahair namun tiada.

Masyarakat di Malaysia telah lama disalahertikan tentang bagaimana menyambut Ramadhan dan hari lebaran. Jika di Malaysia, sebesar-besar bazaar Ramadhan akan dihidangkan kepada rakyat seakan-akan pesta kepada mereka yang sedang kebuluran, semeriah-meriah rancangan televisyen tentang hari raya, artis bercampur lelaki perempuan membuka aurat, menyanyikan lagu yang menjauhkan rakyat dari iman. Apa erti Ramadhan disisi orang Islam di tanahair? Apa erti Eidulfitr? Raya bermakna mesti ada artis menyanyi lagu raya yang sangat jarang mengingatkan kita pada Allah, ada adegan salam-bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram!! Sungguh terpesong idea sambutan hari yang mulia jika sebegitu.

Yang menarik disini, masing-masing berlumba untuk membaca Al-Quran. Di mana-mana saja saya menoleh terutama di kawasan masjid, pasti ada yang membaca ayat-ayat suci. Malahan di pasaraya, pasar hingga ke lapangan terbang, staf yang bekerja di sana akan kelihatan membaca Al-Quran. Kita jarang melihat staf di pasaraya atau di pasar atau di lapangan terbang kita pekerjanya membaca Al-Quran. Yang ada hanya staf wanita yang memakai pakai ketat yang terbelah panjang kainnya. No offence here ladies!! Mereka tidak tahukah jika kulit banyak terdedah kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit!

Saya teringat kembali perang Ahzab atau nama lainnya Khandak yang berlaku pada bulan Syawal tahun 5 hijrah bersamaan 627 M yang mana ia berlaku di kota Madinah ini. Ahzab bermakna tentera bersekutu dan khandak bermaksud parit. Perang ini dinamakan Ahzab kerana tentera kaum musyrikin terdiri daripada golongan kafir Quraisy yang bergabung dengan kaum yahudi Madinah iaitu Bani Nadhir, Bani Quraizah dan beberapa kaum lain seperti Bani Ghatofan, Bani Asad, Bani Salim, Bani Fazarah, Ashja’ dan Murrah. Seperti yang disebutkan di dalam Bukhari, Jaber bin Abdullah melihat bahawa Nabi Muhammad sedang sangat menderita kelaparan dengan beberapa batu terikat di perutnya. Maka Jaber balik ke rumah dan menyembelih seekor anak biri-biri kecil sementara isterinya membakar roti yang diperbuat dari 2 setengah kilo tepung. Dia dengan sopan mengundang Nabi SAW ke rumah untuk makan malam. Nabi pergi ke rumah Jaber dengan seribu orang sahabat. Jaber RA dan isteri cemas. Nabi SAW melayan semua sahabat dengan tangannya. Dengan kuasa Allah, semua sahabat makan sampai perut mereka penuh dan masih asa beberapa bahagian makanan yang tersisa yang malah dibahagi-bahagi kepada para tetangga. Riwayat Tirmizi, Abu Talhah RA mengadu kepada Nabi SAW kerana sangat kelaparan semasa menggali parit. Abu Talhah RA malah menunjukkan sebiji batu terikat di perutnya. Nabi SAW kemudian menunjukkan perutnya dan ternyata beliau mempunyai 2 biji batu yang terikat diperutnya. Bayangkan, Rasul pemimpin agung itu kelaparan malah membanting segenap tenaga untuk menggali parit menjelang Syawal!!

Ramai juga manusia yang berlumba-lumba memberi sedekah tidak kira wang riyal, makanan, minuman atau apa sahaja yang boleh diinfaq, berlumba pergi ke masjid untuk solat fardhu, solat tarawih dan qiyamullail. Jumlah manusia yang berada di masjid pada pukul 2 pagi sangat-sangat ramai seperti semut-semut yang mengerumuni gula. Malah ada yang berumahtangga di masjid untuk 10 malam terakhir ramadhan ini!Di Malaysia, mengapa tiada kempen besar-besaran supaya masjid dibuka 24 jam pada akhir Ramadhan supaya masyarakat boleh sekurang-kurangnya beriktikaf?

Oh Malaysiaku, kenapa masih mundur menyambut Ramadhan dan Syawal?

p/s: Artikel ini ditulis pada Ramadhan lalu, baru kini berpeluang untuk dipublishkan

Nur Izah Ab. Razak

22 Ramadhan 1429@22 September 2008

Madinah Al-Munawwarah.