2 minggu lepas, saya dan suami kembali lagi ke Hospital Ar-Rahmah. Saya begitu berdebar dengan keadaan kandungan sementelah saya mengalami sedikit pendarahan @vaginal spotting 2 hari sebelum ke hospital. Pada hari berdarah itu, saya seperti biasa, melakukan kerja rumah seperti biasa. Tiada rasa sakit di bahagian bawah abdomen @ suprapubic region. Tiada rasa mahu pitam atau muntah-muntah yang teruk. Saya sedikit selesa kerana berkeyakinan bahawa kandungan ini di dalam rahim bukan di luar rahim @ ectopic pregnancy berdasarkan keputusan ultrasound yang terdahulu. Namun saya bertenang. Beberapa ketika selepas itu suami pulang. Wajahnya sepert biasa ceria, gembira apabila melangkah masuk ke rumah kami. Bimbang pula jika berita ini melunturkan perasaannya. Namun saya perlu memberitahunya kerana gusar tentang kesihatan bayi ini. Lantas saya menceritakan kepadanya satu persatu. Mukanya pucat tapi dia kelihatan tenang. Namun dia masih yakin bayi kami mampu survive.

Lantas saya mencapai satu buku yang saya bawa khas dari Malaysia tentang persediaan sebelum mengandung ke proses membesarkan bayi. Ternyata buku itu lengkap dengan variasi rajah-rajah yang penting. Mungkin satu statement dalam buku itu yang boleh memberikannya keyakinan bahawa pendarahan ini tidak ada apa-apa. Ya, saya terjumpa satu statement yang menyatakan pendarahan yang sedikit di awal kehamilan di waktu yang sepatutnya datang haid adalah sesuatu yang biasa. Namun pernyataan itu tidak ada dalam kamus pengajian perubatan saya. Pendarahan di awal kehamilan mungkin tanda untuk keguguran! Namun saya tidak berkata begitu pada suami yang dikasihi.

Saya mencadangkan supaya kami pergi ke hospital pada keesokannya memandangkan tiada mesin ultrasound yang ‘berfungsi’ pada malam hari melainkan untuk kes yang begitu kecemasan. Maka esoknya selepas suami habis kelas pengajiannya kami bertolak ke Hospital Ar-Rahmah pada pukul 1 petang. Namun tutup. Dan kami merayau ke hospital-hospital berdekatan namun tutup juga. Memang hospital-hospital swasta di Madinah akan tutup menjelang tibanya waktu zohor. Namun kami tawakal pada Allah, kami yakin kandungan ini akan selamat tambahan pula tiada spotting atau bleeding pada hari itu dan juga tiada sakit di bahagian bawan abdomen. Saya yakin.

Maka 2 hari selepas iti, tiada lagi pendarahan. Suami sudah mula cuti hujung minggu pada hari Khamis yang kebetulan hari diskaun 50% untuk pemeriksaan antenatal saya. Kami menuju ke Hospital Ar-Rahmah pada pukul 10.30 pagi dengan perasaan yang bercampur-baur. Namun kami tetap bertawakal pada Allah.

Seperti kunjungan terdahulu, saya bertemu dengan Dr. Shahnaz, doktor yang berasal dari India yang fasih berbahasa Arab. Ultrasound dibuat dengan tenang.

Our baby, the 7 weeks servant of Allah

Our baby, the 7 weeks servant of Allah

Segala puji bagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Berkuasa, kandungan kami sihat dan membesar dengan baik. Sujud syukur…

p/s: Si kecil tu sedang melihat probe ultrasound…semoga kamu menjadi anak yang soleh wahai anakku..

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

11 Zulkaedah 1429@9 November 2008

Madinah Al-Munawwarah.