Emak tercinta, Puan Hjh Zainab Rashid.

Emak tercinta, Puan Hjh Zainab Rashid.

Saya selalu terfikir adakah satu hari nanti akan tercipta satu teknologi seperti ‘pintu doraemon’ (heheh..sebab kaki doraemon dulu..) . Alangkah indahnya jika saya dapat mencapai tombol pintu doraemon itu sekarang dan melangkah kaki ke dalam pintunya untuk sampai bertemu dengan ibu saya di Malaysia.

Emak adalah insan yang menjadi inspirasi dan idola saya sejak kecil. Emak bijak dan tabah, selalu dapat nombor satu dalam peperiksaan walaupun mak dihimpit dengan kesusahan yang amat ketika kecil. Emak berjaya menjadi contoh pada adik-adiknya dan anak-anaknya untuk berjaya dalam pelajaran dan hidup. Kami pernah sama-sama menangis ketika emak bercerita tentang kesusahannya sewaktu dulu. Keluarga emak adalah keluarga yang paling miskin dalam kampung kami. Emak sewaktu masih sekolah rendah lagi sudah mula menolong nenek menanam padi, memetik kangkung, pucuk paku, menyauk ikan di sawah untuk makanan adik-adik. Emak pergi ke sekolah yang jauhnya 5 km (sehala) dengan berjalan kaki bertemankan kasut sekolah getah yang lusuh. Kaki mak selalu merah kerana melecet, sakit tapi mak bersabar. Pakaian emak dan adik-beradiknya hanya berganti setahun sekali, itu pun dengan pertolongan orang kampung yang bersedekah baju lebihan mereka. Emak anak yatim. Pernah disuruh berhenti sekolah oleh bapa saudara sendiri kerana katanya kalau emak bersekolah pun takkan ke mana. Tapi hati nenek ( semoga Allah memasukkan nenek ke dalam syurga) cekal. Nenek balu yang tabah walau dihina, dicemuh dan dianiaya. Ternyata genetik pintar emak diwarisi dari nenek. Nenek bersekolah sampai darjah 6 dan hampir menjadi guru, tapi bukan rezeki nenek kerana ketika itu Jepun menyerang Tanah Melayu.  Nenek membanting tulang empat kerat untuk memastikan semua anaknya bersekolah. Nenek pernah kata, emak sangat rajin belajar. Setiap malam bertemankan pelita emak akan mengulangkaji pelajaran hinggakan hitam kulit muka emak berjelaga. Berkat ketabahan nenek dan semangat luar biasa emak dan adik-adiknya, mak (kemudian diikuti adik-adiknya) menjadi anak pertama di kampung yang bersekolah di asrama penuh dengan bantuan biasiswa penuh sampai ke peringkat maktab dan universiti.

mak mendukung saya (tudung putih), sambil dlihat along my elder sis (tudung pink)

Emak mendukung saya, usia 4 tahun(tudung putih), sambil dlihat along my elder sis (tudung pink)

Emak mendidik saya supaya mementingkan agama dan pelajaran. Emak akan pastikan anak-anaknya ke sekolah setiap hari. Emak akan memeriksa beg sekolah kami setiap hari untuk memastikan semua kerja rumah yang dibekalkan cikgu kami siapkan. Emak juga selalu memasak makanan yang paling enak dalam dunia. Saya mula memakai tudung tanpa paksaan dari sesiapa seawal umur 4 tahun kerana suka melihat emak memakai tudung, di waktu pemakaian tudung adalah janggal. Ketika masuk darjah 1, saya adalah satu-satunya murid dalam kelas yang memakai tudung. Kini tatkala melihat gambar itu, saya tersenyum riang, bangga dengan didikan emak. Ahh..terlalu berbilion jasa mak tak mampu saya senaraikan…

Saya berdiri barisan kedua, empat dari kiri ketika darjah satu

Saya berdiri barisan kedua, empat dari kiri ketika darjah satu

Dulu, di bahu emaklah tempat saya mencurah kasih, cinta dan air mata.  Kini, bahu itu terlalu jauh untuk saya peluk…

Tadi secara tiba-tiba teringat masakan mak. Oh alangkah bahagia dapat makan gulai maman, gulai betik muda dan segala masak lemak cili api yang masak. Masa sms mak minta resepi gulai betik muda tadi pun tersekat-sekat nafas saya kerana rindu yang teramat dalam..

Perasaan rindu itu tak dapat ditahan-tahan lagi. Sekarang ini pun berjurai air mata kerana rindu dengan emak.

Lagu untuk mak, (Belaian Ibu, Hijjaz, pasti saya mengalir air mata setiap kali dengar)

Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Oh… ibu

Di bahumu tergalas beban
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang
Sejujur pengorbanan
Tak ku nafikan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Kau insan penyayang
Betapa ku merindu
Lembutnya belaian ibu
Membuatku terlena

Di wajah terlukis tenang
Debar di dada kau rahsiakan
Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera
Tak ku lupakan

Tiada aku tanpa ibu
Hanya (kau) satu didunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta

Kau insan pengasih
Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu
Membawaku ke syurga

Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh… Ibu

Semoga mak  dan ayah diberi kebahagian, dapat jadi guru besar sebelum pencen (hehehe)  dan dikurniakan keberkatan..dan terus dimasukkan syurga.

p/s: Mak, doakan angah, abang dan baby  dan semua anak-anak  dan cucu mak ( along, banglong, adam, adik n…. huhu) diberkati Allah dunia akhirat.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

24 Zulhijjah 1429@24 December 2008

Madinah Al-Munawwarah.

*****Hatiku bergetar terharu dan sebak sewaktu mak memberi respon spontan tatkala membaca post kali ini melalui YM,

Angah, adik, mak dah baca blog ngah tu mak nangis ni, ngah adalah anak mak yang berhati mulia, doalh kita dapat bertemu di madinah masa ngah bersalin nanti mk doakan  ngah sentiasa berada dlm selamat amin