Semasa berada dalam posting O&G beberapa bulan lepas, seorang wanita sebaya dengan saya datang untuk menjalani pemeriksaan antenatal. Ketika itu kandungannya telah pun masuk trimester ketiga. Dia mengendong seorang bayi perempuan yang sedang asyik menghisap susu ibunya. Rambut bayi perempuan itu keperangan samada mewarisi warna rambut ibu, ayah atau dia kekurangan zat besi. Turut membuntuti wanita itu 4 orang anak-anaknya yang masih kecil dan dua dari mereka mengepit botol susu lusuh di celah ketiak. Dia kurus dan pucat, nampak lesu. Dia memang anaemic (kurang darah merah)  ditambah lagi dengan penyakit hepatitis C yang dijangkiti dari suami. Katanya, dia tidak mampu membeli susu formula untuk anak-anak, hanya memberi susu pekat dicampur air untuk anak menghilang rindu pada susu. Tidak cukup dengan itu, suaminya yang selalu tiada dirumah kerana sibuk bekerja di kilang perabot selalu memukul, menerajang dan menyepak wanita yang seusia dengan saya itu. Ibu dan ayahnya berada jauh di kampung, mereka juga orang susah. Oh hati saya betul-betul pilu pada hari itu. Sekarang mungkin dia telah selamat melahirkan bayi ke-enamnya? Saya tidak berpeluang untuk membuat rawatan susulan untuknya sementelah saya telah berada di sini. Namun saya selalu terbayang bagaimana dia melalui tempoh pantangnya, adakah dia mendapat post-partum disorder?

Semua wanita yang baru melahirkan anak mestilah diperhatikan samada mereka sedang mengalami post-partum depression dan psychosis. (post partum psikiatri disorder @ PPPD)

Post Partum Psikiatri Disorder (PPPD)

Antara risiko yang menyebabkan PPPD ialah:

  • Komplikasi ketika mengandung
  • Kehilangan bayi / keguguran
  • Sokongan moral dan sosial yang lemah
  • Perasaan rendah diri
  • Masalah perkahwinan
  • Kandungan yang tidak diharapkan (unwanted pregnancy)
  • sejarah post-partum depression untuk kehamilan yang terdahulu
  • umur yang muda ketika mengandung
  • masalah psikiatri dalam keluarga

Post-partum blues

  1. Melibatkan hampir 50% bagi orang yang melahirkan anak
  2. Terjadi 3-6 hari selepas kelahiran bayi
  3. Antara tanda ialah: – tidak tidur malam, tahap konsentrasi yang lemah, senang marah tanpa sebab, terlalu kerap menangis
  4. Berfikir untuk membunuh diri dan delusion
  5. Rawatan: Sokongan khusus pada pesakit selepas pantang
  6. Selalunya simptom akan pulih 2 minggu semasa pantang

Post partum blues ini boleh merebak / menjadi lebih teruk dan seterusnya ada kemungkinan untuk menjadi post partum depression /psychosis.

Tentang bagaimana rawatan khusus untuk penyakit ini terbahagi kepada 2 bahagian:

  1. Ubat-ubatan
  2. Sokongan moral yang kuat terhadap pesakit
  3. Kaunseling

Peri pentingnya sokongan dari segala aspek dari suami dan keluarga

Saya pernah menemui seorang pesakit yang tinggal berjauhan dari keluarga sejak dia mula-mula berkahwin hingga melahirkan anak kedua. Wanita ini mempunyai 2 orang anak yang dilahirkan dengan jarak yang rapat. Dia tidak pernah mendapat rawatan sewajarnya selepas bersalin anak pertama. Mula menunjukkan ciri-ciri tekanan jiwa semenjak lahir anak pertama kerana dia sering menangis dan tertekan. Beberapa bulan selepas itu dia mengetahui yang dirinya hamil anak kedua. Kehamilan ini adalah kehamilan yang tidak dingini kerana dia tidak pernah merancang sebarang perancangan keluarga sebelum itu.

Setelah melahirkan anak kedua, corak hidupnya lebih sukar. Tiada bimbingan dari orang tua. Tiada bantuan dari sesiapa. Malah yang tambah menekankan kedua-dua anaknya masih menyusu badan. Dia terkurung dalam rumah berbulan-bulan bersama dua bayinya tanpa ada pengetahuan tentang kaedah penjagaan bayi dan diri yang betul. Kerap suaminya meninggalkan dia di rumah menguruskan anak-anak sendirian. Tiada istilah bersiar-siar bersama keluarga (suaminya tidak pernah membawanya membeli barang-barang keperluan rumah apatah lagi pergi bercuti di tempat-tempat yang boleh menenangkan jiwa!!). Tempat tinggalnya yang agak isolated dan sifatnya yang menyendiri menyebabkan dia tidak bercampur dengan orang lain.

Akhirnya setelah berapa lama dia menderita, dia kelihatan sangat kurus, pucat dan lemah. Adakalanya dia meracau, sering menangis tiba-tiba, tidak tidur malam, bercakap sendirian dan kelakuan-kelakuan lain yang tidak normal. Anak-anaknya terbiar. Saya menemui 2 bayinya dengan keadaan tidak terurus. Lampin pakai buang mereka penuh dengan najis. Mereka tidak mandi berhari2!! Pesakit ini disahkan mengalami acute psychosis. (rentetan dari PPPD yang tidak dirawat sewajarnya)

Alhamdulillah dengan pertolongan sahabat saya Dr Suhazeli, Pakar Perubatan Keluarga yang kini memberikan rawatan kepada pesakit tersebut. Terima kasih tidak terhingga kepada Dr. Suhazeli, Dr. Ida dan pasukan perubatan mereka yang bermurah hati memberi pertolongan. (Jika nak harapkan hospital tempatan, wallahua’lam, even pesakit yang di ‘intubate’ yang bergantung kepada mesin pernafasan yang di’refer’ pun tidak dilayan!!!)

Cuma pesanan saya kepada suami pesakit dan para suami di luar sana, layanlah isteri dan anak-anak anda seperti seorang manusia.

Rujukan

Obstetric and Gynaecology Survival Guide, The Washington Manual, LWW Mobile, version 6.0.182.

p/s: artikel telah diubah suai ke bahasa melayu dan dimudahkan supaya boleh difahami masyarakat awam.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Dr. Nur Izah Ab. Razak

5 Muharram 1430@ 1 Jan 2009

Madinah Al-Munawwarah.