Adam the brilliant, Along dan Abang Long

Ikut pusingan jam: Adam the brilliant, Along dan Abang Long

Pada tanggal 11 Januari tahun ini,  genaplah usia satu-satunya kakak tercinta saya di dunia ini mencapai 30 tahun. Sungguh pantas masa berlari, saya terasa masih bagai semalam saya berguling-guling ber’wrestling’ dengan kakak sulungku ini.  Owh, rupanya memori indah itu telah berpuluh tahun meninggalkan kami.

Along, panggilan untuk saya dan satu-satunya adik saya, Muhammad pada kakak sulung kami ini. Sesungguhnya Along merupakan contoh yang baik pada kami adik-adiknya. Dahulu, saya selalu ingin mengikut Along ke mana sahaja dia pergi, saya ingin bergaul dengan siapa sahaja yang Along berkawan. Mak selalu membelikan kami baju yang bercorak sama tapi berlainan warna, gembira hati saya jika dapat memakai baju bercorak serupa dengan Along.  Sesungguhnya semenjak kecil dahulu hingga ke hari ini, saya sungguh bangga ada kakak seperti Along. Saya suka meniru apa yang Along buat, apa yang Along pakai, apa yang Along makan, apa yang Along tuturkan.

Along telah pandai membaca surat khabar semenjak umurnya 4 tahun. Ayah selalu membaca segala papan tanda di kedai-kedai, jalanraya bersama-sama Along di dalam kereta. Along sangat bijak. Malah dia rajin membaca buku. Ayah selalu membelikan kami adik-beradik buku-buku menarik untuk kami baca. Bermula dari sekolah rendah lagi, Along sangat suka membaca novel Enid Blyton. Saya rasa ke semua buku di rumah telah Along baca berulang-ulang kali. Along menjadi inspirasi saya untuk rajin membaca..( saya malas, satu buku Enid Blyton pun saya tak pernah baca, suka tengok gambar animasi dan kartun sahaja!!).

Along selalu mengambil berat tentang pelajaran kami adik-beradik. Dialah yang menjadi guru kami ketika kami masuk sekolah menengah. Menginjak ke usia remaja, Along menjadi tempat segala luahan rasa dan hati saya. Dialah orang pertama yang mengajar saya tentang dunia remaja. Along lah yang akan menyimpan segala rahsia hati saya…

Setelah dewasa, hubungan kami menjadi lebih rapat. Sementelah lagi sejak kelahiran anak buah saya, Muhammad Adam. Kami menjadi sangat rapat. Kini, Along jauh dari saya. Seringkali saya mengalirkan air mata kerana amat rindukan Along.

Adam with the swimming suit

Adam with the swimming suit

Kini walaupun Along sibuk menghabiskan kursus wajib Pegawai Tadbir Diplomatik, kami masih selalu berhubung. Semoga dapat menghabiskan kursus dengan cemerlang..

Buat Along kesayanganku, SALAM ULANGTAHUN YANG KE-30 (uiks…dah tua..hehehe). Semoga berbahagia hingga ke syurga bersama suami tercinta dan anak kesayangan yang comel lagi pintar, semoga dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan dapat baby lagi..

p/s: Saya dan keluarga jarang celebrate hari jadi, mak ayah lebih suka celebrate kejayaan akademik anak-anaknya berbanding hari jadi. Tapi bila jauh ni, teringat pula satu-satu tarikh lahir ahli keluarga yang jauh di mata tapi dekaaat di hati..

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

15 Muharram 1430@ 11 Jan 2009

Madinah Al-Munawwarah.