Dari kecil hinggal dewasa, mak ayah tak pernah mengajar kami adik-beradik untuk membazir. Beli apa yang perlu sahaja. Makan di gerai-gerai biasa terutama jika di gerai makanan di Ampangan sudah cukup membahagiakan. Seingat saya dulu, adalah dua atau tiga kali makan di hotel, itu pun di Hotel Sri Malaysia atau makan dinner anjuran universiti. Beli baju di Tan Brothers Seremban bukan di Jaya Jusco atau Pavillion atau yang lebih tinggi tarafnya. Beli kain ela yang murah-murah di pasar malam atau di kedai Bunga Raya di bandar Seremban sudah kira cukup bagus apalagi jika dapat membeli kain di kedai Erna Ampangan, tersangat janggal kalau beli kain di Euro Moda di Jalan Masjid India. Tetapi baju kami selalu bertukar ganti dengan pelbagai gaya yang cantik, ada baju kurung moden siap dengan selendang bersulam, ada baju gaun labuh ala-ala Cinderella dan macam-macam fesyen lagi yang mak fikirkan. Ayah dari dulu memang peminat setia kenderaan tempatan, dari Proton Saga sampai ke Naza Chitra, tidak terlintas pun untuk memakai Toyota Camry atau Honda Accord apatah lagi jenama yang lagi tinggi darjatnya. Pernah dulu, sewaktu saya masih lagi berhingus, ada saudara saya pernah berkata “Berapa ringgit mak kamu beli kain cotton ni? Nampak macam panas je, beli kain murah ya?”. Saya ketika itu yang tidak mengerti apa-apa cuma tersengih. Tetapi soalan itu masih terpasak kukuh dalam ingatan Along (kakak sulung tercinta) yang masih ingat sindiran keras yang tidak wajar dilemparkan pada kanak-kanak seperti kami. Mak ayah selalu membeli berus gigi yang tiada jenama secara pukal dan membeli serbuk pencuci kain yang tidak ternama, tidak pernah mak mengambil sabun basuh jenama Dynamo atau Persil atau yang lebih terkenal. Itulah kehidupan seharian saya dan keluarga selama berpuluh-puluh tahun.

Bukan mak atau ayah kedekut. Tetapi mereka berjimat. Berkat berjimat ini, mak ayah mampu membawa kami adik-beradik menunaikan haji sewaktu kami masih bersekolah. Berkat berjimat ini, ayah mampu membawa kami melancong ke segenap tempat di tanahair. Berkat berjimat ini juga, ayah mampu membelikan setiap adik-beradik kami kereta yang kini telah langsai pun hutangnya. Berkat berjimat ini mak ayah mampu menyekolahkan kami hingga lahir Pegawai Tadbir Diplomatik, Doktor dan Ustaz. Ayah bukan jutawan atau hartawan. Mak bukan keturunan raja atau orang kaya-kaya. Asal kami orang susah. MAK DAN AYAH LAH YANG TELAH BERJAYA MENGUBAH GENERASI KAMI. Dengan ilmu mereka berubah. Dari berjalan kaki ke berkereta. Dari pondok buruk ke rumah batu yang luas. Ayah merupakan seorang pegawai kerajaan dan emak merupakan guru. Ekonomi keluarga kami boleh dikatakan stabil tanpa bebanan hutang melampau atau isu pengangguran. Kami bahagia dengan sederhana itu. Itulah dia berkat berjimat. Namun, keadaan ekonomi mak dan ayah bertambah baik sekarang. Mak ayah tidak perlu lagi menanggung kami, biar kami pula yang membalas jasa mak ayah. Selama berpuluh tahun ini mak dan ayah telah berkorban berjimat sebegini. Mak jangan gusar lagi untuk membeli beg tangan atau kasut berjenama. Ayah jangan bimbang lagi untuk memakai pakaian yang berjenama. Kita boleh makan di tempat-tempat eksklusif tanpa rasa terbeban. Semoga rezeki mak dan ayah bertambah melimpah-ruah lagi, diberikan kesihatan yang sejahtera dan bahagia hingga ke syurga. Amin..

Berbalik pada isu utama. Barang bayi yang baik selalunya mahal. Lebih baik lagi menjimatkan jika kita beli barang yang berkualiti dan tahan lama supaya tidak perlu bertukar ganti kelak yang boleh memakan banyak lagi duit. Setakat ini, kami ada membeli sedikit barang bayi yang perlu mengikut list yang diberi oleh Ummu Maryam , Mama Hana (originally from Mama Muaz). Belum sampai 1/3 pun list itu dipenuhi namun, harganya…sungguh-sungguh mahal (bagi saya yang dibesarkan dengan style berjimat, mungkin bagi orang lain biasa saja). Namun, saya dan suami berpuas hati dengan kualiti barang-barang ini dan perbelanjaan barangan anak kami ini masih dalam budget dan tidak tersimpang lagi.

Saya sangat suka dengan diapers bag yang kami beli tempoh hari. ‘Urban rucksack’ dari Mothercare.  Beg ini praktikal dan kelihatan smart. Macam beg laptop hubby pun ada rupanya, hehe. Hubby merupakan seorang yang sangat teliti dan mementingkan kualiti dalam memilih apa-apa produk (bukan macam saya, yang pakai je apa ada janji murah tanpa fikir panjang,heheh). Hubby sangat berkenan pertama kali saya memperkenalkan beg ini padanya (mula-mula ingat nak pancing je..sekali dapat..yeayyyy). Beg jenis  yang ini berwarna hitam, warna yang tak menonjolkan kekotoran. Jenis sandang belakang yang selesa yang membolehkan saya atau suami concentrate meng’handle’ bayi dengan dua tangan tanpa gangguan. Terdapat banyak poket yang memudahkan untuk saya organise barang baby dan barang saya/suami.

dari kiri: diaper bag urban rucksac, change mat dan messy bag

dari kiri: diaper bag urban rucksac, change mat dan messy bag

Antara ciri-ciri menarik diapers bag ‘Urban Rucksac’ ini:

  • Satu poket besar untuk 2 botol susu besar yang kalis haba (ni tunggu baby besar baru guna sebab saya berazam untuk breastfeeding my baby)
  • Poket khas untuk ibu/bapa (poket, handset, tempat purse/wallet)
  • Change mat yang menarik, kemas dan kalis air, bersambung dengan 3 poket serbaguna yang juga kalis air
  • Messy bag untuk diaper yang telah diguna atau barang kotor bayi yang lain yang kalis air dan boleh diguna berulang-ulang kali
  • Ruang dalam beg yang luas (saya boleh mengisi 11 baju bayi, 1 towel besar, 3 towel sederhana, 12 burb towel, 7 stoking bayi, 2 topi bayi, change mate, messy bag secara serentak!!)
  • Handy wipes flap (saya suka feature ini..)
  • Padded back panel for extra comfort
  • Banyak poket berzip dan tanpa zip di sekeliling bag
  • Fabrik bag yang tidak mudak koyak dan berkualiti
handy wipes flap

handy wipes flap

large insulated bottle pocket

large insulated bottle pocket

Left:parent organisation pocket. Right:various pockets for baby's stuff

Left:parent organisation pocket. Right:various pockets for baby's stuff

Apa pun saya berharap mungkin satu hari nanti ada produk sebegini yang boleh didapati dengan mudah di mana-mana dengan harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat. Hai..saya berfikir beberapa kali juga nak rembat diapers bag ini, tapi setelah mendengar nasihat suami dan mengenangkan nak diguna untuk jangkamasa lama dan untuk adik-adik baby yang seterusnya, kami beli jugalah…

Terdapat juga pelbagai barangan bayi yang boleh dibeli di sekitar Tayyibah atau di Syarqiyyah, Sultanah atau di Maza Ya Mall di sekitar Madinah Al-Munawwarah. Comel-comel produk yang kebanyakan dari China. Namun kene berhati-hati sebab ada produk yang menggunakan fabrik yang berbulu, mudah koyak dan tidak tahan lama. Bak kata sahabat saya, sekali masuk mesin basuh dah lunyai baju tu, kan membazir bila terpaksa ganti baru. Tapi terdapat juga barang-barang yang bagus yang unik tidak terdapat di Malaysia. Jika ada kesempatan saya akan rakamkan produk-produk unik yang menarik ini..

our beloved babys stuff

our beloved babys stuff

Semoga barang-barang ini dapat memberi manfaat kepada baby kami dan adik-adiknya dan juga pada kami sekeluarga. Yang paling penting setiap perkara itu diberkati Allah dan dibeli dari rezeki yang halal…

Thank you so much baba belikan semua ini untuk baby….tak sabar nak keluar dari perut mama bila cukup masa supaya dapat cium baba ni…(ni baby kata, mama sampaikan je..huhu)

p/s: tak ada warna tema pink ke blue untuk barang baby, semua beli kaler yang boleh diguna untuk boy or girl sebab sampai hari ni tak tahu lagi jantina baby, lagi satu tak nak berat pada mana-mana jantina, mana-mana pun alhamdulillah janji sihat walafiat, lagi pon saja bagi semua suprise..hehehe

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

22 Safar 1430@ 18 Feb 2009

Madinah Al-Munawwarah.