Saya nak masuk sekolah..yeayyyy. Tadi hubby daftarkan saya ke salah sebuah sekolah swasta @ pusat pengajian bahasa Arab di Madinah ni. Nama pusat pengajian ni DARUL HAFIZHAT .

my school DARUL HAFIZHAT

my school DARUL HAFIZHAT

Banyak sekolah @ pusat pengajian yang dikhususkan untuk muslimat di sini yang menyediakan kemudahan pembelajaran Bahasa Arab dan Al-Quran. Ada sekolah yang menyediakan segala-galanya percuma. Dari pendaftaran, buku, pengangkutan bas dan macam-macam lagi. Itu selalunya sekolah bawah tajaan kerajaan yang menggunakan silibus Universiti Islam Madinah. Untuk daftar ke sekolah ni banyak prosedur dan terpaksa menunggu nama untuk naik dipilih baru boleh belajar. Tapi, ada alternatif lain, saya mendaftar di sekolah swasta yang turut menggunakan silibus yang sama (cuma jam belajar lebih kurang berbanding sekolah kerajaan) yang hanya perlu dibayar SR50 untuk setengah semester. Alangkah seronok jika ada pusat pengajian sebegini di tanahair yang murah dan bermanfaat dan mampu dihadiri segenap lapisan masyarakat.

Sepatutnya saya sudah lama memulakan sesi pengajian untuk semester yang lalu, namun kerana badan tak begitu kuat kerana alahan first trimester kemudian disambung pula dengan kesibukan suami di musim haji, hasrat untuk belajar ditangguhkan dulu. Alhamdulillah kini, saat yang dinanti untuk belajar semula tercapai.

Nasib baik betul Ummu Maryam belajar di sekolah ini. Banyak info yang dikongsikan darinya. Ummu Maryam sudah lebih dahulu mendaftar semenjak semester lepas. Mabruk Ummu Maryam yang memperolehi keputusan MUMTAZ untuk peperiksaan semester baru-baru ini untuk peringkat Mustawa Awal. Moga-moga boleh ikut jejak langkah Ummu Maryam cemerlang dalam pelajarannya.

kemudahan sekolah

kemudahan sekolah

Sekolah ini menyediakan kemudahan pengasuh bagi pelajar-pelajar yang mempunyai anak. Maryam antara penghuni pusat asuhan ini. Ia sangat praktikal bagi ibu-ibu yang menyusukan anak-anak. Tidak perlu berjauhan atau meninggalkan anak di rumah untuk belajar di sekolah ini.

Pagi tadi, sewaktu mendaftarkan saya, suami adalah orang yang keempat menunggu giliran. Pagi itu ada 4 orang pelajar baru. 2 dari negara bekas USSR (negara tan-tan-tan tuh, hehe) dan seorang lagi dari negara arab bukan saudi, dan 1 dari Malaysia. Kebanyakannya merupakan isteri-isteri kepada pelajar Universiti Islam Madinah. Pendaftar akan membuka 1 kelas baru untuk peringkat Tamhidi untuk kami jika jumlah pelajar mencecah 15 orang. Jika tidak, kami akan ditempatkan ke kelas menghafaz Al-Quran.

Kelas Tamhidi ni bermaksud saya perlu belajar back to the basic. Kene belajar kenal huruf dan seterusnya. Heheh macam masuk tadika balik je…Target nak masuk kelas bukan nak kukuhkan kerjaya ke apa. Tapi nak polish balik bahasa arab yang dah berkarat ni. Saya pun tak pasti silibus sebenarnya macamana. Tengok macamana nanti saya cerita kemudian.

Ish, macam-macam perasaan ada. Seronok macam nak nak daftar sekolah macam darjah satu dulu-dulu. Dah bertahun-tahun meninggalkan pengajian ni.  Dekat 8 tahun tak pegang buku teks Bahasa Arab. Dah lupa nahu, mufradat etc saya pun dah berhabuk teruk ni. Teringat balik buku nota buatan sendiri masa saya tusyen bahasa arab dengan Ustazah Raja Puziah di Taman Paroi Jaya hampir 10 tahun lalu. Itulah tusyen paling seronok yang pernah saya pergi selain tusyen kimia Cikgu Ibrahim dan tusyen fizik Cikgu Rahim di Taman Guru. Subjek bahasa Arab adalah subjek favorite melebihi Biologi. Tapi sistem pendidikan di Malaysia yang sekular menyebabkan saya terpisah dengan bahasa Arab yang dicintai. Bahasa Arab saya jadi beku dan mundur. Tak upaya untuk bertutur bahasa kecintaan saya itu lagi. Tidak mengapa, saya akan kembali mengasah bahasa arab saya seperti dulu…

Tunggu panggilan dari pendaftar sekolah bila pelajar cukup. Tak sabar nak mulakan hidup sebagai budak sekolah yang pregnant..(sini bukan setakat pregnant, anak dah berderet pon pegi sekolah lagi…bestnyaaa)..hehe

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

3 Rabi’ul Awal 1430@ 28 Feb 2009

Madinah Al-Munawwarah.