hijab

niqab

Maryam Sorocco, wanita Amerika latin berusia 30-an itu telah lebih dahulu sampai dari saya ke kelas pada pagi itu. Jam dah menunjukkan 7.55 pagi namun hanya Maryam, Sanah, Narges dan saya yang telah memenuhi ruang kecil bilik tutorial. Pagi itu hening, mentari kelihatan segar dan cantik dan udara menghembus nyaman dingin,walaupun musim sejuk hampir bernoktah. Saya duduk di sebelah Maryam. Seperti biasa, budaya di sini seringkali berebut siapa dulu yang akan memberi salam.

“Assalamualaikum”. Sapa saya sambil menahan mengah setelah mendaki sampai ke tingkat 3 bangunan sekolah Darul Hafizhat. Lantas terus saya terus membuka niqab dan menyidai abaya hitam yang dibeli suami di Corniche tempoh hari di kerusi. Kehamilan yang menjangkau 28 minggu menyebabkan saya terasa sengal sedikit di bahagian lower vertebra, yang selalunya menjadi hilang apabila diurut suami tercinta.

“Waalaikumussalam warahmatullah”. Kedengaran suara Maryam Sorocco, wanita yang berasal dari Brazil yang paling bersemangat menjawab salam saya. Wajahnya sentiasa penuh dengan senyuman iras-iras Kaka pemain bolasepak Brazil. Maryam masih lagi mengenakan abaya hitam dan tudung labuh hingga hampir mencapai lutut. Saya memang mencari design tudung sebegini yang kebiasaannya dipakai oleh wanita dari Mesir. Sarung tangannya juga masih melekat di tangan pada pagi itu.

Hari sebelumnya guru kami, bertanya kepada Maryam dalam bahasa Inggeris pelat Arab,

“Apa nama penuh kamu?”

“Maryam”

“Bint?”

“Saya tidak mempunyai bapa”

“Apa maksud kamu?”

“Saya dibesar hanya oleh ibu sejak kecil lagi, saya tidak kenal bapa saya”

“Tidak pernah tahu nama keluarga?”

“Sorocco, tapi saya hanya gunakan nama Maryam setelah masuk Islam”

“Berapa juzu’ Al-Quran yang kamu hafal?”

“Saya tidak pandai membaca Al-Quran, tidak kenal huruf, sekadar tahu lafaz untuk solat 5 waktu sehari semalam. Maafkan saya..”

“Tak mengapa, kita semua hadir ke kelas hari ini untuk belajar bukan?”

Maryam tersenyum sambil menundukkan pandangannya ke lantai marmar putih kelas kami.

Hari ini, kelas bermula tepat 8 pagi. Kerusi banyak yang masih kosong. Hanya ada tambahan Sauda dan Frances yang kelihatan bimbang berpisah dengan bayi lelaki comel yang bermata biru.

al quran

al quran

Narges seperti semalam juga tenang membaca hafazan beberapa surah panjang dari juzu’ 30. Dia antara yang paling ke depan di kelas kami tambahan pula dia antara pelajar yang senior yang telah terlebih dahulu mendaftar sejak semester lalu.  Mampu bertutur dalam bahasa Arab pasar dan suka menolong sahabat lain yang memerlukan bantuan. Kemudian diikuti dengan Sanah dari Pakistan, bacaannya graduan Bachelor of Art dari Karachi ini juga tidak kurang hebatnya. Beberapa minit kemudian, tiba giliran Maryam Sorocco. Guru kami bertanya,

“Boleh kamu bacakan surah Al-Fatihah?”

“Saya cuba sekadar yang mampu”

Bacaannya sememangnya jauh dari sebutan huruf sebenar malah selalu terhenti-henti. Ini pertama kali dalam hidup saya mendengar bacaan muaalaf dari Amerika Latin. Suara guru yang jelas terang seringkali membetulkan bacaan Maryam yang memang jauh dari hukum tajwid sebenar. Sampai ke ayat kedua terakhir, tiba-tiba Maryam berhenti. Kedengaran sayup-sayup tangisan terbit dari suara Maryam.

“Maafkan saya, saya tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik..maafkan saya”

Air mata Maryam tidak dapat tertahan-tahan lagi. Mukanya yang putih bertukar merah kerana tangisan. Semua pelajar tertunduk ikut sedih berkongsi perasaan dengan Maryam. Saya lantas mengusap bahu Maryam terasa ingin menangis bersamanya.

Guru kelas kami berkata, “Quwais ya Maryam, ini cukup baik untuk beginner seperti kamu, jangan bersedih, kita semua datang ke sini untuk belajar, belajar memperbaiki bacaan Al-Quran kita..jangan sedih”

Tiba-tiba hati saya terdetik, alanglah mulianya hati Maryam. Dia menangis kerana sedih tidak dapat membaca dengan baik. Sedangkan Maryam hanya baru memeluk Islam, tambahan lagi dia dari negara Brazil, sebuah negara Amerika selatan yang sememangnya kita jarang dengar tentang berita rakyatnya yang beragama Islam.

Saya terfikir lagi, betapa jauhnya pekerti mulia Maryam Sorocco yang mampu menitiskan air mata kerana lukanya hati tidak dapat membaca Al-Quran berbanding umat manusia yang sudah lama Islam di Malaysia yang memang nyata buta Al-Quran. Maryam sanggup meninggalkan negaranya untuk mendalami Islam di bumi barakah Madinah Al-Munawwarah. Di Malaysia, walaupun peluang belajar Al-Quran ada di mana-mana, tapi ramai yang sering alpa dan terleka untuk belajar mengenal hurufnya apalagi untuk mencintainya..

Maryam Sorocco, saya berbangga dengan kamu. Moga-moga kamu akan menjadi tempat rujukan untuk belajar Al-Quran di Brazil satu hari nanti…

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

8 Rabi’ul Awal 1430@ 5 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.