Sejak semalam saya dah mula dengan pengajian Bahasa Arab di Darul Hafizhat. Terletak dekat dengan pasar madinah tapi kene masuk dalam sikit di kawasan perumahan penduduk di sini. Bangunan berbentuk empat segi, 4 tingkat termasuk tingkat bawah tanah. Di sini ada pengajian untuk Bahasa Arab, Tahfiz Al-Quran, Kesetiausahaan, Kecantikan, Matematik, Komputer dll.

Pagi-pagi jam 7.30 am buat permulaan hubby menghantar saya ke sekolah sementelah kuliah jamiah belum bermula. Minggu depan hari Sabtu, saya perlu menunggu bas sekolah di hadapan bangunan rumah saya di Hayyu Nasr seawal jam 6.55 pagi untuk ketibaan bas Abu Khalid, pemandu yang diamanahkan untuk menghantar saya, kawan-kawan dan anak-anak mereka pergi dan balik dari sekolah.

Kelas bermula jam 8 pagi. Minggu pertama persekolahan nampaknya tidak berjaya menarik perhatian ramai pelajar untuk datang lagi ke sekolah. Ramai yang akan hadir bermula Sabtu ini. Selamba juga mereka ni. Dulu masa saya sekolah, takut betul kalau ponteng tak datang, sampai selalu dapat sijil penghargaan kehadiaran penuh ke sekolah. Mak ayah akan suruh juga kami adik-beradik ke sekolah walaupun demam (ye lah demam sikit je, action je lebih). Masuk-masuk sekolah ni, di sebelah kanan akan terjumpa kedai runcit ala-ala koop kita di sekolah. Macam biasa, air gas dan makanan ringan yang palig banyak dijual. Namun susu, asir dan roti yang enak juga ada disediakan utntuk dibeli pelajar.

Masuk-masuk, semua pelajar akan tanggalkan niqab dan abaya. Kebanyakan free-hair dengan pelbagai warna dan gaya. Ada pelajar Turki yang bergaya ala-ala hip-hop lady, ada yang yang pakai skirt labuh dengan blause ada yang pakai skirt dengan stoking jaring-jaring dan kasut tinggi kelatak-keletuk, dan saya macam biasa pakai baju kurung raya yang mak kirim hari tu dan sandal bata yang saya rasa paling selesa yang sudah jadi kebiasaan sejak anak dara dulu..hehehe..Melayu takkan hilang di dunia. Tapi kesimpulannya, sebenarnya sekolah ini ada peraturan, semua wajib pakai skirt labuh warna hitam/biru, baju apa-apa warna putih, pink atau biru. Mungkin masa mula-mula ni pelajar tak ikut sangat skema pemakaian tu.

Kelas saya terletak di tingkat paling atas. Perut dah makin membesar sekarang, kene tunduk lebih sikit kalo nak pakai stoking..heheh. Jadi tabahkan hati nak daki tangga-tangga sampai ke kelas saya. Guru kelas saya namanya HALAH. Wanita manis berkulit hitam yang amat vogue dengan lipstick, blusher dan boot kasut tingginya. Memang bergaya habis. Tapi sekali buka suara nak mengaji, mashaAllah, sedap suara dia. Agaknya saya yang paling ketinggalan dalam fesyen dan make-up ni kat sini. Takpe-takpe..nanti boleh catch-up bila dah lama bergaul dengan mereka ni.

Kelas kami dimulakan dengan hafazan Al-Quran. Jadi kenalah selalu-selalu rajin-rajin hafal bermula dengan juzu’ 30. Ada pelajar tamhidi yang telah berdaftar satu semester lebih awal mereka telah banyak mnghafal. Saya memang suka bersosial (dengan batasan lah ye) jadi peluang bersekolah ini memang menyeronokkan. Dalam 2 hari sahaja saya dah kenal kawan-kawan dari seluruh dunia yang kebanyakannya sudah berkahwin, ibu-ibu mengandung dan ibu-ibu yang membawa semua anak ke sekolah. Anak mereka di tempatkan di nursery @ hadhanah di sekolah ini. Seronok betul kelas mak-mak ni, asyik ketawa, happy-happy je tak ada stress pun.

Antara kawan-kawan yang baru saya kenal, Narges seorang guru dari Russia (33 tahun), Maryam Soroco dari Brazil,suaminya pelajar Ma’had Lughah orang Portugal di Universiti Islam Madinah, Sanah dari Pakistan yang berkelulusan B.A dari sebuah universiti di Karachi, suaminya dari Britain juga pelajar Universiti Islam Madinah, Frankes dari Tajikistan, Zuhal dari Afghanistan, Sauda’ dari Uzbekistan, seorang pelajar baru masuk dari Turki dan saya dari Malaysia. Rasa macam dalam perhimpunan sukan olimpik pula mewakili Malaysia..hehehe. Semua bertutur dalam bahasa Arab, hanya 3 orang yang faham bahasa Inggeris (Maryam, Sanah dan saya), jadi kami pun berbual lintang-pukang bahasa Arabnya dengan kawan-kawan dari negara bekas USSR ni. Yang bestnya semua mereka tahu wujudnya Malaysia..ish banggo den..Untuk kelas lain, ada yang dari Bosnia, Amerika Syarikat, Nigeria dan banyak lagi lah negara lain, cuma saya dan Ummu Maryam sahaja yang dari Malayisia dan asia tenggara.

Apapun ni adalah buah tangan untuk diri saya yang akan menjadi kenangan bila kembali ke tanah air kelak. Semoga dengan bersekolah ini, ilmu saya dapat bertambah, bahasa arab akan jadi lebih baik, Al-Quran sentiasa di bibir. Moga-moga tertumpah aura-aura positive yang sihat kepada anak dalam kandungan ni supaya membesar menjadi anak yang soleh yang cintakan ilmu dan agamanya satu hari nanti…

p/s: terima kasih pada ummu maryam yang begitu concern dan care pada saya untuk masuk ke sekolah ini..semoga Allah balas jasa baik ummu maryam..

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

7 Rabi’ul Awal 1430@ 4 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.