khubz

khubz

Jam tepat menunjukkan 11 pagi. Kelas bahasa Arab kelolaan Miss Halah sudah sampai ke penghujung. Semua pelajar dari tadika hingga ke musatawa rabi’ berpusu-pusu menuju ke pintu masuk sekolah. Deretan bas dan van yang setia menunggu kami sedang menanti di luar perkarangan Darul Hafizhat. Kelihatan Ummu Maryam meninjau-ninjau di luar kalau-kalau bas Abu Khalid telah tiba sambil mendukung si kecil Maryam yang lena di bahunya. Tengahari itu terik, matahari tepat berada di atas langit menyinari sinarnya. Saya menunggu di tempat teduh di tepi pagar tinggi sekolah. Tiba-tiba Narges tiba di sebelah saya. Narges menyapa dengan mesra dalam bahasa Arab lenggok Russia,

“Assalamualaikum, kamu sedang menunggu bas?”

“Waalaikumussalamwarahmatullah. Ya, bas masih belum sampai lagi”

“Bagaimana roti yang saya beri untuk kamu masa rehat tadi? Laziz (sedap)?”

“MashaAllah sangat enak Narges, saya suka dengan roti itu, jazakillah ya ukhti”

niqab dan abaya ala saudi

niqab dan abaya ala saudi

Tadi sewaktu rehat, Narges masuk ke kelas saya yang terletak di dalam dewan. Kami terpisah kelas kerana jumlah pelajar lama dan baru ramai jika diletakkan dalam satu bilik tutorial. Narges, 33 tahun, merupakan seorang guru bahasa Rusia di tanahairnya telah mendaftar 3 bulan lebih awal dari saya semenjak semester lepas. Ternyata Narges seorang yag bijak, hafalannya banyak dan dia mampu menjawab kebanyakan soalan dari guru kami. Suaminya merupakan khirij (lepasan) Universiti Islam Madinah dalam bidang Al-Quran. Saya tak tahu mengapa saya berasa dekat dengan Narges sedangkan hanya Bahasa Arab yang menyatukan kami. Bahasa Al-Quran saya begitu rapuh untuk berkomunikasi dengan Narges yang nyata bagus bahasanya. Namun seakan ada satu  perasaan bahawa kami boleh berbincang apa saja dengan bahasa kecintaan kami itu. Narges pernah bercerita bahawa keadaan di Rusia memang sangat jauh berbeza dari bumi Madinah. Keinginannya untuk memakai abaya ala Saudi dan niqab adalah diharamkan di sana. Saya bersyukur di Malaysia kita bebas memakai apa saja, hinggakan ada pihak yang meyalahgunakan peluang ini untuk mengabaikan aurat tapi masih tidak segan-segan mengaku beriman.

Tepat jam 9.20 pagi, tiba-tiba Narges datang dan membawa 2 keping roti untuk diberi kepada saya sewaktu rehat itu.

“Roti ini khas untuk kamu Izzah”

Hati saya tiba-tiba terharu, gembira dengan dan syukur dengan kurniaan rezeki pada hari itu. Harga roti memang sangat-sangat berpatutan di Madinah. 7 ketul roti sebesar roti hotdog di Malaysia boleh dibeli semurah 1 riyal. Namun bagi saya, 2 keping roti itu sangat istimewa dari Narges yang baru saya kenali beberapa hari.

Menjelang balik, Narges sempat bertanya,

“Bila kamu akan pulang ke Malaysia?”

“Dalam beberapa bulan lagi Narges”

“Jangan, saya tak mahu kamu pulang, kamu mesti tinggal di sini, di Madinah” riak mukanya kelihatan sedih.

“Kenapa Narges?” saya kehairanan namun memang dalam hati ini menyimpan cita-cita untuk tinggal di Madinah hingga nafas terakhir.

“Kerana kamu sahabat saya yang saya sayangi…”

Sebelum balik, saya memeluk erat wanita dari Rusia itu tanda penghargaan persahabatan darinya.

Hati saya lebih terharu lagi pada tengahari yang terik itu….

p/s: terima kasih pada sahabat-sahabat di sini, kawan-kawan lama seusrah,satu sekolah,universiti,tempat kerja, teman-teman siber dan lain-lainnya lagi yang banyak membantu, berkongsi ilmu, etc. Sesugguhnya banyak jasa kalian yang telah dicurahkan. Semoga Allah membalas jasa persahabatan semua…untuk Mama Hana, saya jawab tag akak guna template akak je ye…hehehe..

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

11 Rabi’ul Awal 1430@ 8 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.