SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban, merupakan tempat di mana saya mula belajar Bahasa Arab (B. A) dengan teratur. Namun setelah 5 tahun belajar hingga ke peringkat SPM, dalam subjek Bahasa Arab Tinggi, lidah saya masih keras untuk bertutur dalam bahasa itu dengan lancar dan yakin. Mungkin saya yang tidak pandai atau sistem yang ada lompang? Yang pasti, ramai pelajar di sekolah sama malah di sekolah-sekolah agama yang lainnya turut berdepan dengan masalah yang sama, belajar B.A bertahun-tahun tapi masih tidak fasih B.A di bibir. Apa yang menarik, di Maahad Lughah di Universiti Islam Madinah, hanya 2 tahun yang diperlukan untuk seseorang yang tiada asas langsung tentang B.A untuk menjadi fasih. Mungkin silibus yang digunapakai di sini boleh dijadikan model untuk pembelajaran B.A di tanahair.

Di dalam kelas Tamhidi phase 1 yang saya hadiri kini, saya terpaksa survive untuk memastikan saya dapat menangkap apa yang diajar guru saya Abla Shahinaz. Manakan tidak, saya tiada tempat bertanya selain dari Abla Shahinaz yang menggunakan >95% bahasa Arab. Kawan-kawan sekelas saya langsung tidak tahu berbahasa selain dari B.A dan bahasa asal mereka kecuali Maryam Sorocco dari Brazil dan Sanah dari Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris. Yang lainnya, Maryam dari Georgia, Salmah Ismeth dari Serbia, Sauda dari Uzbekistan, Maryam dari Ghana, Maimunah dari Ghana, Frankes dari Tajikistan dan Inarah Alattuli dari Azerbaijan, mereka hanya faham jika saya berbahasa Arab. Mula-mula tergeliat juga lidah saya hendak menyusun ayat dalam B.A memandangkan ilmu B.A saya sangat berkarat. Namun dengan kuasa Allah, saya dapati Allah mudahkan jalan untuk saya dan kawan-kawan menuturkan perkataan-perkataan Arab dengan lancar walaupun tidak sempurna untuk beberapa hari kebelakangan ini. Yang mana jika dibandingkan di Malaysia, saya mengambil masa berminggu-minggu untuk mencapai keadaan seperti itu.

Guru kami Abla Shahinaz merupakan muwalad yang lahir di Madinah Al-Munawwarah, keluarganya berasal dari Pakistan namun telah lama menetap di Arab Saudi. Saya sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan saya guru yang cemerlang sepertinya. Abla merupakan bahasa ammi yang bermaksud guru atau ustazah.  Beliau yang hafaz Al-quran mengajar subjek Al-Quran dan Bahasa Arab kepada kami dengan sepenuh hati. MashaAllah saya kagum dengan kesabaran dan method pengajarannya pada kami. Walaupun kami hanya mampu menyebut perkataan hamzah dengan betul, beliau terus mendoakan kami dengan limpahan perkataan “Barakallahu fik”, atau menaikkan semangat kami dengan perkataan “Mumtaz” atau “Jazakillahu khairan kathira”. Setiap hari hampir berpuluh-puluh kali perkataan-perkataan itu meluncur laju dari bibirnya, doa seorang guru untuk anak murid. Semoga Allah sentiasa melimpahi barakah padanya.

Di dalam kelas juga, kami sering berebut untuk memberi salam. Pujian-pujian pada Allah seringkali didengari saban minit, Subhanallah, Alhamdulillah, MashaAllah, InshaAllah. Pelajar-pelajarnya berakhlak mulia, sopan-santun, menghormati rakan, murah senyuman meskipun kami semua berlainan bangsa dan negara. Budaya membaca Al-Quran juga hampir ada di mana-mana. Pak cik guard sekolah sentiasa bertemankan Al-Quran, pemandu bas sekolah kami juga menghafaz Al-Quran ketika memandu, ahhh satu pemandangan yang cukup indah yang jarang didapati di tanahairku. Setiap kali saya melangkah masuk ke dalam bas juga, hampir semua pelajar yang juga para ibu sibuk membuka Al-Quran sambil mengepit bayi masing-masing, juga pemandangan yang janggal di Malaysia. Di sini juga pandangan mata amat terjaga, kerana semua muslimat memakai abaya hitam dan niqab. Sampai ke hari ini saya belum lagi mendengar sebarang jenayah berlaku di Madinah seperti rogol, sumbang mahram, rompakan, bunuh dan segala macam maksiat dan jenayah seperti yang lazim berlaku di Malaysia.

Apapun saya pasti saya akan amat merindui suasana damai begini bila pulang ke Malaysia nanti…

p/s: Usrah Mutazawwijin Malaysia-Madinah telah berjaya mengumpulkan semua mutazawwijin (muslimat) termasuk Nurul Izzah dari Kelantan. Alhamdulillah semuanya sihat-sihat belaka di samping anak-anak / kandungan yang membesar dengan sihat dan kuat🙂 . Jazakumullahu khairan kathira kepada Ummu Insyirah yang menjadi naqibah kami dan semua yang hadir (Ummu Akmal, Ummu Tayyibah, Ummu Maryam, Nurul Izzah, Ina dan saya) termasuk anak-anak kecil yang comel  Malaysia Madinah (Insyirah, Akmal, Tayyibah, Umair, Maryam, Nusaibah, Muaz dan 2 babies dalam uterus ;)   ). Next usrah inshaAllah coming Wednesday, time and venue as usual inshaAllah.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

15 Rabi’ul Awal 1430@ 12 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.