Beberapa bulan lepas saya mendapat tahu bahawa suami kepada rakan saya di Malaysia mengalami penyakit Chikungunya. Selepas itu, ramai lagi antara kenalan saya menghidapai penyakit yang sama selepas itu. Sewaktu berkhidmat di hospital setahun lepas, saya belum pernah lagi berjumpa dengan pesakit Chikungunya, namun saya bertemu dengan ramai pesakit Dengue Fever yang terlebih dahulu popular dan semakin parah sejak akhir-akhir ini. Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit maklumat mengenai penyakit CHIKUNGUNYA secara ringkas untuk informasi bersama.

FAKTA-FAKTA MENGENAI PENYAKIT CHIKUNGUNYA

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

3. Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

  • · Demam panas mengejut
  • · Sakit teruk pada sendi
  • · Ruam pada badan
  • · Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
  • Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

  • · Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
  • · Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
  • · Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara

Sila rujuk kenyataan akhbar.

12.Tindakan Kementerian Kesihatan

Langkah – langkah kawalan yang telah diambil:

  1. · Pengesanan kes secara aktif
  2. · Melakukan kajian Aedes
  3. · Semburan kabus dan ULV
  4. · Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
  5. · Aktiviti promosi kesihatan Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Laman web: http://www.moh.gov.my

PATUHILAH ARAHAN YANG DIBERI OLEH ANGGOTA KESIHATAN

Disediakan oleh:Bahagian Kawalan Penyakit,Kementerian Kesihatan Malaysia

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Dr. Nur Izah Ab. Razak

1 Rabi’ul Akhir 1430@ 28 MAC 2009

Madinah Al-Munawwarah.