Maryam, sahabat yang rapat dengan saya di Darul Hafizhat. Dia mualaf dari Brazil. Dia berhijrah ke London untuk mencari sesuap nasi. Katanya hidup di Brazil susah. Baru setahun setengah dia memeluk Islam. Dia kerap bercerita tentang kehidupannya dalam bahasa Inggeris slanga Amerika Latin. Maryam bertuah kerana ada lelaki bujang yang soleh dari Portugal yang sudi mengambilnya sebagai suri hidup. Bukan menerima Maryam sahaja, malah lelaki soleh itu turut menyayangi anak Maryam, Aishah dari perkahwinan yang terdahulu dan memelihara ibu Maryam. Lelaki itu bernama Muhammad, telah mendapat hidayah 8 tahun yang lalu di celah-celah hidupnya di bumi kafir di Portugal. Muhammad kini merupakan pelajar jurusan Syariah di Universiti Islam Madinah.

Mungkin kisah hidup Maryam biasa-biasa sahaja bagi orang lain, tapi bagi saya dia istimewa. Dia insan yang terpilih dari jutaan penduduk Brazil yang kebanyakannya pelik apabila menyebut Islam. Pada minggu pertama, dia menangis kerana tidak kenal huruf Al-Quran dan gagal membaca Al-Quran dengan betul. Tapi dengan kuasa Allah, dia berjaya mengenal semua huruf malah mampu membaca secara perlahan-lahan kalimat Al-Quran. Saya selalu insaf apabila berbual dengannya. Seolah dia telah lama Islam..

Dia pernah berkata,

“Jika sepanjang 4 tahun ini, aku hanya dapat membaca surah Al-Fatihah dengan baik, itu sudah cukup bagiku, aku menuntut ilmu ini fi sabilillah..”.

Saya kagum dengan wanita ini, mashaAllah.

Hari ini dia Maryam bercerita lagi,

“Aku pernah berkahwin sewaktu aku masih kafir dahulu, tapi lelaki itu melayan aku seperti aku ini binatang, kamu takkan dapat membayangkan bagaimana hidup aku ketika itu..”

Saya terkejut, tanpa banyak bertanya, saya terus mendengar ceritanya dengan penuh perhatian. Maryam menyambung,

“Namun, kini, segalanya telah berubah, hidup aku jauh berubah”

“Betapa Allah telah memilih kamu untuk menjadi orang beriman, banyak perbezaan antara suami yang beriman dan suami yang kafir bukan?”

Maryam membalas,

“Jika aku boleh sujud tanda syukur sepanjang hidupku pun, takkan dapat aku gambarkan bagaimana bersyukur aku dikurniakan suami seperti Muhammad..”

Ketika perjalanan pulang di atas bas, kata-kata Maryam itu sentiasa berputar-putar dalam fikiran. Itu ayat yang paling romantik pernah saya dengar dari seorang isteri kepada suaminya.

Ya, jika saya sujud syukur seumur hidup pun, itu tidak akan dapat menggambarkan betapa saya bersyukur dikurniakan Allah suami sepertimu suami permata hatiku…

p/s:

1) Seperti kisah Maryam, dia pernah menjadi kafir suatu ketika dahulu, banyak kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan, begitu juga kita dan semua manusia di luar sana. Terlalu banyak kesilapan, kesalahan, dosa yang telah kita lakukan. Namun tidak bermakna kita tak boleh berubah dan bertaubat. Apa yang penting, kita adalah yang lebih baik dari semalam dan lebih baik untuk masa akan datang.

2) Jalan-jalan pergi Ma’radh jumpa banyak buku best, nak pergi lagi lepas ni inshaAllah.

3) Selamat mengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, semoga diberi hidayah mengundi dengan betul.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

10 Rabi’ul Akhir 1430@  6 April 2009

Madinah Al-Munawwarah.