Tadi saya baru terbaca satu artikel terkini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm dari Utusan Malaysia . Saya terkejut. Sungguh mahal kos menampung kehidupan kini. Saya teringat satu kisah tentang seorang pesara di salah sebuah universiti terkenal di ibu kota. Dia tinggal di Kuala Lumpur. Ada anak lebih dari 5 orang. Isterinya tidak bekerja. Dia diberi pilihan untuk mengambil skim pencen atau memperoleh sejumlah wang secara banyak hasil simpanan KWSP nya sewaktu bekerja dahulu. Dia memperoleh lebih dari RM100 ribu ketika itu. Kini simpanannya RM0. Hanya mengharap wang dari anak-anaknya semata-mata. Saya rasa kisah sebegini memang berlambak di kalangan warga Melayu Islam yang sudah pencen. Memilih jalan singkat untuk memperoleh wang yang banyak. Natijahnya, dia kini selalu ketiadaan wang untuk menampung keluarga malah sering sakit dan keluar masuk hospital, dia bernasib baik pernah bekerja dengan kerajaan yang boleh menampung rawatan perubatannya. Itu kisahnya, bagaimana dengan kisah anda?

pondok dalam hutan

pondok dalam hutan

Tiada duit untuk hidup memang perit. Takkan sampai kita perlu berpindah-randah ke hutan untuk membina pondok buruk jika tidak mampu membayar sewa rumah seperti yang berlaku di Pahang baru-baru ini? Ikuti kisah mereka di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm Takkan sanggup biarkan diri dan keluarga diugut, dirogol malah dibunuh Ah Long, bahana setelah meminjam duit dari ceti haram ini? Sampai bila kita boleh bergantung kepada anak-anak untuk menampung duit belanja kita? Adakah kita pasti anak-anak akan menghulur wang secara konsisten pada kita di hari tua kelak? Kini saya mula berfikir, adakah saya mampu menyediakan lebih dari RM 1 juta untuk menampung kehidupan saya nanti.

Kini, jenayah ragut meningkat 100%. Kenapa meragut? Ini bukan hobi, tapi ini menggambarkan betapa manusia sedang tertekan memerlukan duit untuk terus hidup. Berbeza di Arab Saudi, jarang sekali dengar kejadian ragut. Kenapa? Kerana di sini kehidupan tidak menekan. Walaupun barang keperluan mahal, rakyat tidak kisah, rakyat tidak keluar berdemonstrasi di jalan-jalan kerana duit gaji mereka bertampuk-tampuk. Petrol murah, tiada tol, bil air percuma (padahal mana ada kawasan tadahan hujan kat negara Arab ni?). Lagipun orang yang kurang akal sahaja yang sanggup buat jenayah di negara yang menjalankan Hudud ini. Rakyat selamat. Ada banyak muassasah / NGO yang memberi bantuan seolah menabur duit di tengah jalan. Malaysia berbeza. Sebenarnya kita rakyat Malaysia bijak dan berorganisasi. Kita banyak hasil bumi. Negara kita kaya sebenarnya. Orang arab suka dengan cara kita bekerja. Mereka kata professional malah bersistematik. Jika semua pemimpin negara berlaku amanah dengan rakyat, hidup rakyat tak akan melarat.

Saya terfikir kembali banyak kebenaran kata-kata ayah yang berkata, “Angah kalau boleh jangan tinggalkan kerja kerajaan, biar kita kerja sampai bersara, nanti ada pencen, rawatan perubatan percuma, banyak kelebihan kita sebagai pekerja dan pesara kerajaan.” Nasihat ayah memang benar. Dulu saya fikir, kerja dengan kerajaan banyak sekatan. Sudahlah banyak yang terbatas, gaji pun tak setimpal. Gaji saya di Malaysia lebih murah dibandingkan gaji guru sekolah rendah di Arab Saudi.  Tidak mampu menjana duit dengan banyak. Beli kereta setakat bawah RM100 ribu sahaja, itupun kalau mampu. Mimpilah kalau nak pakai BMW 5 Series atau Mercedes mata belalang. Jangan mimpi nak bina swimming pool, jangan kata swimming pool, nak bina rumah pun belum tentu mampu lagi. Tak tentu lagi boleh hantar anak-anak ke sekolah agama swasta yang bagus yang memakan belanja besar. Namun saya sangat bersyukur. Saya ada pekerjaan tetap. Bukan penganggur yang hidup merempat.

Gerun hati saya mengenangkan apa yang berlaku di Malaysia kini. Rakyat miskin, melarat, anak muda jadi penjenayah, rompak, ragut, zina, rogol, hutang, buta Al-Quran, buta solat, buang bayi, ekonomi merudum, pengangguran etc etc etc…Ya Allah berilah keamanan dan kemakmuran pada kami di Malaysia. Tunjukkan pemimpin kami jalan yang benar, bukalah hati mereka dan limpahkan hidayah pada mereka Ya Allah.

Adakah saya mampu untuk menjana simpanan lebih dari RM 1 juta tika telah berusia kelak?  Moga Allah murahkan dan berkati rezeki kami.

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

25 Rabi’ul Akhir 1430@  21 April 2009

Madinah Al-Munawwarah.