Hari itu Muhammad perlu bangun seawal mungkin. Dia perlu menyelesaikan urusan visanya yang tertangguh. Kalau lambat-lambat nanti tempoh visa nya akan mati. Kawan-kawan kata dia mesti tunggu di depan pejabat, paling lewat jam 5 pagi. Maka Muhammad dengan penuh semangat dan iltizam bersiap-siap untuk ke sana dengan harapan urusannya akan selesai. Tanpa sarapan pagi, dia menuju ke tempat yang dihajati. Dia terperanjat, wah sudah ramai manusia menunggu di depan pejabat. Sangkanya dia telah cukup awal ! Mereka menyangkung berderet-deret tepi bangunan seolah-olah panorama pendatang asing haram di Pasar Seni Kuala Lumpur. Muhammad turut sama menyangkung di tepi bangunan itu bersama mereka. Kalau mak tahu Muhammad seperti pendatang asing yang bersusah-payah dititisi embun pagi, menyangkung seolah pendatang di tepi bangunan kerajaan Mesir itu, pasti mak akan hiba. Anakku seperti pendatang haram di negara orang.

Menjelang jam 8 pagi, pejabat masih belum dibuka. Ish, kalau di Malaysia, pejabat imigresen dibuka lewat sudah pasti bertimbun-timbun surat pembaca yang akan dihantar ke Utusan Malaysia untuk mengadu tentang penjawat awam yang culas. Ataupun tiba-tiba ada menteri atau timbalan menteri yang extra rajin, akan menangkap mereka yang mencuri tulang sewaktu  bekerja. Setelah puas menunggu dengan sabar dan istiqamah, Muhammad akhirnya gembira tatkala pintu pejabat kerajaan itu di buka. Alhamdulillah. Kesabaran Muhammad yang merupakan pelajar syariah di universiti tertua dunia, Universiti Al-Azhar sekali lagi diuji. Ada segerombolan manusia bak semangat perang sedang cuba menerobos masuk ke pejabat. Amboi, penat lelah orang lain beratur, senang-senang sahaja mereka ini memotong barisan. Dalam hiruk-pikuk dan suasana debu di kota seribu menara itu, Muhammad lantas melihat jam di tangannya, 15 minit lagi pejabat ini akan ditutup. Gilirannya telah sampai di ruang kaunter. Tiba-tiba oarang Arab yang menjaga kaunter itu terus bersuara, tanpa mendongakkan muka melihat pelanggan

“Kau datang BUKRA!!, pejabat dah tutup…!!”.

Muka Muhammad jadi kemerahan tapi berkat menjadi pelajar agama dia membalas lembut,

“Tapi ada 15 minit lagi..”

Orang Arab itu angkuh menjawab

“Aku kata BUKRA, BUKRA !! kau tak faham lagi?”

Orang Arab itu terus mencapai secawan kecil shai di tepi mejanya sambil berbual mesra dengan rakan sekerjanya yang turut kelihatan gembira menikmati shai Arab.

Maka Muhammad perlu menyangkung lagi hari esok…

p/s: bukra=esok, perkataan kegemaran orang Arab..

SURAH AS-SAAFAT AYAT 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ

“My Lord! Grant me (offspring) from the righteous.”

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Baginda mendapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s)

Nur Izah Ab. Razak

6 Jumadul Ula 1430@  1 Mei 2009

Madinah Al-Munawwarah.