mahram?

mahram?

Saya tidak faham dengan sikap segelintir orang yang belajar agama. Berita hari ini didedahkan tentang seorang ustaz yang popular yang pernah menjadi penyanyi rock suatu masa dahulu bergambar berdua-duaan dengan seorang artis wanita bertudung yang bukan mahramnya. Adakah ini contoh yang baik untuk golongan remaja Islam? Tidak hairanlah ramai anak Melayu Islam kini tidak segan silu bergambar berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram, tidak cukup dengan itu, gambar anak remaja ini ditayang-tayang pula dalam blog, Friendster, MySpace, etc etc etc. Mungkin pengalaman bergelumang dengan maksiat dulu belum ranum lagi untuk menjadi benteng untuk ustaz itu menjadi manusia yang lebih baik. Mungkin ustaz itu telah lupa dengan ceramah-ceramahnya dahulu di pentas politik yang menaikkan namanya hingga ke tahap ini. Tolonglah jadi ustaz yang memberi contoh yang mengikut ajaran Islam. Jika tidak, mungkin ustaz itu boleh saja di samatarafkan dengan seorang pelawak baru yang baru meningkat naik, namun telah lupa diri. Saya yakin, ke popular an pelawak itu akan menjunam tak berapa lama lagi kerana sikap bongkaknya yang dangkal. Adakah ustaz itu turut mahu menjunam sama?

Saya juga tidak faham bagaimana segelintir orang yang belajar agama boleh dengan bangganya merokok. Saya pernah berasa sangat malu dengan perangai mereka ini tatkala seorang pakar perubatan bukan Islam pernah menembak Islam dengan hujjah begini, “Saya hairan mengapa Islam melarang penganutnya minum arak, tapi saya lihat imam di surau dekat rumah saya sentiasa mengepit rokok di celah jarinya, rokok itu juga bahaya seperti arak..”. Berhentilah merokok, khasnya untuk golongan agama dan kerana anda bukan sahaja berusaha membunuh diri anda tetapi juga cuba membunuh orang lain. (Peringatan juga buat staf/pelajar kesihatan dan perubatan yang dengan sengajanya cuba membunuh diri dengan merokok, anda telah belajar, bukan orang jahil yang buta ilmu tentang bahaya merokok!!)

Kalau dikira memang panjang list akhlak yang tidak baik yang dipamerkan oleh segelintir orang yang mengaji agama tapi cukuplah dua point itu sahaja. Itu pun sudah cukup perit untuk dilontarkan. Kadangkala saya rasa sebahagian orang bukan dalam bidang agama lebih beragama berbanding segelintir orang yang mengaji ilmu agama. Bukan semua orang yang belajar agama begitu, namun sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Saya tidak sempurna, anda juga tidak sempurna, kesimpulannya kita semua tidak sempurna kecuali orang yang terpilih oleh Allah, jika kita tersilap langkah maka bertaubatlah, kembali ke jalan yang benar. Lebih baik kita bertaubat sekarang sebelum terlewat..

p/s: Artikel ringkas ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi disebabkan kesedaran bahawa golongan agama inilah yang akan menjadi Ulama’ Pewaris Nabi. Golongan inilah yang menjadi harapan masyarakat untuk menjadi tulang belakang jatuh-bangunnya sistem tamadun Islam. Betapa besar lah harapan kami yang bukan belajar bidang agama kepada golongan yang belajar agama ini. Betapa saya kagum jika ada antara kita yang pernah tergelincir dulu bangkit bertaubat dan menjadi orang yang hebat…MashaAllah.

DOA UNTUK ANAK SOLEH

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Nur Izah Ab. Razak

7 Jumadul Ula 1430@  2 Mei 2009

Madinah Al-Munawwarah.