Hari ini hari yang meletihkan lagi membingungkan. Manakan tidak, Abla Shahinaz yang merupakan guru kelas Tamhidi tidak hadir atas sebab-sebab tertentu. Maka Abla Halah, wanita cantik molek berkulit hitam itu menjadi pengganti. Dia mengajar subjek i’rab yang merupakan silibus untuk pelajar Mustawa Thani. Ramai terpinga-pinga, apa yang ditulisnya pada hari ini. Saya sendiri telah lupa bagaimana mahu meng i’rab fe’el, faa’il, atau maf’ulun bih. Mansub? Marfu’? Ahh..semuanya kucar-kacir untuk memori saya saya pada tengahari itu. Ini tidak lain tidak bukan kerana saya telah lama meninggalkan pengajian Bahasa Arab, hampir 8 tahun. Ilmu itu sudah berkepuk berkarat entah mana saya simpan selama ini. Saya kesal. Barangkali mungkin berbeza keadaan ini jika saya melanjutkan pengajian di Mesir. Tapi jika saya ke Mesir, barangkali cerita hidup saya di dimensi yang berlainan. Tidak mengapa, kerana Allah telah mengurniakan saya hidup yang sangat indah dengan jalan ini. Inilah jalan hidup saya yang terbaik.

Abu Khalid, pemandu bas kami yang sentiasa menghafaz Al-Quran di dalam bas bercuti untuk 2 minggu. Katanya pada suami saya, dia pergi ke Riyadh, ada urusan yang perlu diselesaikan. Maka dia diganti oleh seorang pemandu lain. Pemandu baru ini masih belum fasih dengan jalan ke rumah-rumah kami, hari ini masuk hari ke empat dia memandu. Dia cermat, cuma mungkin sekali-sekala dia belum lancar lagi dengan bonggolan-bonggolan jalan di sekitar Hayyu Nasar, Qiblatain, Hayyu Azhar dan lain-lain. Ada satu hari itu, dia lupa untuk menekan pedal brek ketika lalu di satu bonggol (mathob), bas terhentak dengan kuat. Saya yang duduk di barisan kedua belakang turut merasai tekanan hentakan yang agak kuat itu. Tiba-tiba, bahagian bawah abdomen saya terasa sakit, tak pernah saya rasa sakit yang demikian. Salma dari Serbia kelihatan gusar melihat saya lalu bertanya, “Kamu tidak apa-apa?” Saya yang cuba menahan perit hanya berkata, “Ma fi musykilah ya ukhti”, saya menyembunyikan perasaan. Alhamdulillah semenjak semalam, kesakitan itu pulih, bayi dalam kandungan bergerak seperti selalu dan tiada pendarahan, itu yang penting. Suami saya begitu gusar, dia mahu membawa saya secepat mungkin ke hospital, tapi saya yakin saya masih stabil. Saya teringat kembali seorang konsultan O&G pernah berkata, jika ibu mengandung itu terjatuh dari tingkat 2 katil pun tak sebegitu mudah untuk mencedarakan bayi yang dikandung, tambahan pula jika bayi bergerak seperti selalu, tiada pendarahan, dan kesakitan di bahagian uterus tidak begitu serius. Justeru, saya tawakal, hidup di sini jauh dari keluarga memerlukan tawakal yang begitu menggunung lebih dari biasa.

Saya kembali ke sekolah setelah bercuti satu hari di rumah untuk berehat. Agenda menaiki bas untuk menuntut ilmu diteruskan seperti sediakala. Sudah bertahun-tahun saya tidak menaiki bas di Malaysia. Semua berjemput, semua berhantar, semua berkereta. Suami saya risau, mak seremban dan mak keramat juga risau. Risau saya naik bas setiap hari dengan keadaan sarat begini. Tapi saya tetap teguh untuk menuntut ilmu walau ditakdirkan hanya menapak ke sekolah. Orang lain juga sarat, siap menjinjit anak kecil lagi, mengapa mereka mampu? Saya juga mampu, mudah-mudahan Allah permudahkan jalan menuntut ilmu ini.

Walaupun perjalanan di dalam bas tidak begitu panjang, namun saya sempat mengenali ramai wanita dan ibu-ibu dari seluruh dunia. Antaranya ialah Ummu Farouq. Ummu Farouq telah 7 tahun tinggal di bumi bertuah Madinah Al-Munawwarah. Bahasa Arabnya begitu fasih. Saat pertama kali melihat anak-anak Ummu Farouq saya dapat mengagak mereka ini dari rantau Balkan. Putih merah melepak, rambut perang, hidung mancung, bibir merah, mata biru lau, itu gambaran untuk anak-anak lelaki, apatah lagi kalau anak perempuan bangsa rantau balkan, nescaya Aishah Sinclair atau Deanna Yusuf  itu sebenarnya biasa-biasa sahaja jika orang rantau balkan ini penuh menghuni Malaysia.

Ummu Farouq kini belajar di kelas Mustawa Thani. Kami sering berbual dengan bahasa Arab fushah. Alangkah indah dapat berbual dengan bahasa paling cantik di dunia itu. Sewaktu kuffar Serbia sedang enak meratah daging muslimin Bosnia dulu, Ummu Farouq masih kecil. Usianya baru menginjak ke 9 tahun. Hidupnya susah melarat ketika perang. Tiada makanan, tiada bekalan air bersih apalagi tiada bumbung untuk berlindung kerana semuanya musnah akibat perang. Dia masih lagi kuat mengingati detik-detik sengsara itu dalam hidupnya hingga kini. Ibu Ummu Farouq telah ditembak hidup-hidup oleh muncung senapang kafir Serbia yang diacukan di hujung kepalanya. Cuma satu das tembakan membuatkan 4 orang adik-beradiknya jadi yatim sekelip mata. Ummu Farouk masih ingat bagaimana darah mengalir seperti air paip yang keluar dari hujung kepala ibunya. Untuk menjerit memanggil ibu sudah terlambat, ibunya telah dahulu pergi mengadap ilahi. Air mata saya seakan mahu mengalir tapi saya cuba menahannya.

Acapkali ketika berbual dengan isteri-isteri pelajar jamiah, saya selalu akan terharu. Ada sahaja topik perbualan yang akan terkesan di jiwa dengan mendalam. Ummu Farouk rajin bertanyakan khabar saya.

“Kaifa haluki?, hal nunu jayyid?” (nunu=baby, bkn dlm fushah)

“Ana bikhair, tapi bila aku letih, perut aku selalu mengeras, aku sukar hendak tidur malam, tapi aku sangat bersyukur dan gembira dengan kehamilan ini”

“Sabar, sabar, sabar, Allah akan bagi kamu pahala yang sangat besar”

“Aku sedih mendengar kisah silam perang di negara kamu, aku pernah bercita-cita untuk syahid menentang yahudi di Palestine” saya teringat kembali kisah mangsa perang Palestin.

“Ana aidhan, aku sering berharap untuk mati syahid menentang yahudi, tapi kamu jangan risau, jika kamu bersalin nanti tapi kamu mati, Allah akan kurniakan kamu kesyahidan..”

Air mata yang saya tahan tadi terus mengalir. Ya kematian boleh berlaku di mana-mana pada bila-bila masa. Saya tidak pasti tentang ada hujjah yang sahih yang mengatakan jika ibu mengandung meninggal dunia akan dapat taraf kesyahidan. Namun kata-kata Ummu Farouk itu terus meyedarkan saya tentang kematian semakin dekat.

Jika saya meninggal dunia kerana bersalin, saya adalah orang yang bertuah. Sangat bertuah. Saya akan meninggal di bumi Madinah. Saya berpesan dengan suami, jika saya meninggal dunia, saya mahu anak kami dididik sebaik-baiknya semoga dia menjadi seorang ulama’ yang amanah. Kedua, saya mahu solat jenazah saya di Masjid Nabi. Ketiga, saya mahu ditanam di perkuburan Baqi’. Mudah-mudahan jika terjadi begitu saya akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad yang tercinta..

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Nur Izah Ab. Razak

10 Jumadul Ula 1430@  5 Mei 2009

Madinah Al-Munawwarah.