Kos pemeriksaan antenatal (semasa hamil) hingga ke tempoh post-natal (selepas bersalin, jururawat masyarakat selalunya akan melakukan pemeriksaan luka jahitan, jaundice bayi dll di rumah) di Malaysia jika anda memilih perkhidmatan kerajaan adalah sangat minimal. Tolak duit minyak, tambang teksi, duit belanja makan dan sebagainya ketika berkunjung ke hospital kerajaan adalah sangat berbaloi dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Cuma mungkin ada beberapa faktor lain seperti keselesaan wad, masa menunggu untuk rawatan yang panjang, kesesakan pesakit di klinik/hospital kerajaan menjadi faktor sebilangan yang mampu/mempunyai insuran/ditanggung majikan memilih hospital swasta berbanding hospital kerajaan. Ataupun sesetengah dari muslimat yang ingin kelahiran anak mereka disambut oleh doktor muslimat juga akan memilih hospital swasta kerana di sana mereka boleh memilih doktor yang mereka selesa.

Alangkah bertuah bagi kakitangan awam yang tidak perlu membayar apa-apa untuk rawatan semasa hamil hingga rawatan selepas bersalin di hospital kerajaan di Malaysia. Sedangkan rawatan untuk ibu dan anak di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia!! Jika kita bukan kakitangan awam pun, kos yang sangat minimal diperlukan untuk rawatan yang sama di hospital kerajaan.

Posting kali ini ditulis berdasarkan serba sedikit pengalaman saya di Madinah dan mungkin juga boleh dijadikan panduan jika ada mutazawwijin yang ingin melahirkan anak di sini kelak. Berapa kos yang kita perlu sediakan untuk kelahiran permata hati di tanah kecintaan Nabi Madinah?

ar rahmah hospital

ar rahmah hospital

Terdapat pelbagai hospital yang boleh dipilih untuk kita melahirkan anak di sini antaranya Hospital Ar-Rahmah, Hospital Ad-Dar, Hospital Ahmadiyah, Hospital Safa Madinah, Madinah-German Hospital dll. Ramai di kalangan sahabat saya di Darul Hafizhat memilih Hospital Safa Madinah kerana di sana kos untuk rawatan adalah antara yang paling murah berbanding hospital lain, namun ramai juga mereka yang merungut dengan perkhidmatan hospital berkenaan. Kebanyakan warga mutazawwijin Malaysia memilih Hospital Ar-Rahmah kerana kos rawatan di sana tidak terlampau mahal (lebih tinggi kos dari Safa Madinah Hospital, lebih berpatutan berbanding Ad-Dar) dan doktor pakar di sana antara yang paling baik kualiti perkhidmatannya.

diskaun di Ar-Rahmah

diskaun di Ar-Rahmah

Berikut adalah julat kos rawatan di hospital yang terdapat di Madinah, Makkah dan Riyadh (kebanyakan data diperoleh dari Madinah)

  1. Antenatal check-up (termasuk harga pada hari diskaun, for one consultation visit only) SR50-SR150
  2. Blood Profile (for basic blood test only, Full Blood Count, Calcium Level) SR175
  3. Urine Profile (for UFEME) SR75
  4. Transabdominal sonography (ultrasound scan, termasuk pada hari diskaun) SR75-SR150
  5. Supplement for the whole trimester SR300
  6. Spontaneous Vaginal Delivery/ Normal Delivery SR800-SR3000
  7. Lower Segment Caeserean Section SR3200-SR15000

Kos perubatan secara kasar yang perlu disediakan untuk seorang wanita yang tidak mempunyai apa-apa masalah penyakit sepanjang mengandung dan bersalin secara normal adalah SR3000 di Madinah. (ini kos untuk rawatan perubatan sahaja tanpa mengambil kira keperluan bayi dan ibu seperti pakaian dll)

Jika kita ingin mengurangkan kos di atas, berikut adalah tips yang boleh dipraktiskan kelak:

  1. Bawa supplement semasa hamil dari Malaysia (acid folic, vitamin B complex, vitamin C, ferrous fumarate, calcium dll)
  2. Pergi ke hospital sewaktu hari diskaun (hari diskaun Hospital Ar-Rahmah adalah pada hari Khamis, Sabtu dan Isnin)
  3. Mohon bantuan mana-mana muassasah yang menyediakan bantuan untuk kos bersalin di hospital
  4. Memilih hospital yang berkualiti dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan

Ada juga kes di mana, si ibu yang hamil tidak pernah berjumpa doktor sepanjang tempoh kehamilan, tidak pernah makan supplement yang dianjurkan, tidak tahu bila tarikh untuk bersalin, tiba-tiba terus bersalin sahaja di hospital. Tinggi risiko untuk golongan ini mendapat pelbagai komplikasi semasa mengandung dan bersalin kelak.

self-design health document

self-design health document

Terdapat juga hospital yang tidak membekalkan buku merah/kad maklumat rawatan kepada pesakit, maka dinasihatkan untuk menyediakan fail sendiri dan minta dari doktor yang bertugas untuk anda membuat salinan dokumen terutama untuk siri ultrasound, keputusan ujian darah, keputusan ujian urine, tekanan darah, berat badan anda setiap kali membuat lawatan ke hospital. Dokumen ini juga penting untuk anda ketika berada di Malaysia kelak. Bagi pendapat saya, terdapat hospital di sini yang tidak menepati standard hospital Malaysia apabila mereka tidak sepenuhnya mengimplementasi saranan WHO untuk mengambil beberapa jenis ujian darah(mengikut kes) seperti OGTT, blood group, Hepatitis, HIV, renal profile dll malah terdapat juga hospital yang tidak endah tentang berat badan dan oedema pesakit. Jika pesakit tahu hak mereka, tidak mengapa, bagaimana pula jika pesakit adalah seorang ibu muda yang tidak pandai berbahasa Arab atau Inggeris dan tidak tahu menahu tentang dunia perubatan? Keadaan ini mungkin agak bahaya untuk sesetengah pesakit.

Kesimpulannya, jika anda pernah mendapat rawatan di Arab Saudi, anda akan lebih menghargai perkhidmatan rawatan kesihatan di Malaysia selepas ini, walaupun ia adalah hospital kerajaan…

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Nur Izah Ab. Razak

13 Jumadul Ula 1430@  8 Mei 2009

Madinah Al-Munawwarah.