Solat fardhu merupakan perkara WAJIB yang perlu dilaksanakan oleh seseorang yang bergelar muslim yang telah cukup syarat. Walaupun dimana kita berada samada di bawah tanah, di angkasa lepas, di dalam dewan bedah, walau apapun yang sedang kita lakukan, walau apa sahaja yang berlaku kecuali pengsan, gila, haid dan nifas, kita WAJIB menunaikan solat fardhu.

Saya mempunya sedikit pengalaman yang suka untuk saya kongsikan bersama pembaca blog ini tentang bagaimana sikap sebilangan Muslim (yang telah cukup syarat) terhadap tanggungjawab mereka menunaikan solat ketika berada di hospital, baik sebagai kakitangan, pesakit mahupun sebagai pengunjung hospital. Untuk posting kali ini, saya lebih suka menekankan tentang skop pesakit dan solat fardhu.

Sewaktu saya masih bergelar pelajar perubatan, saya telah membuat satu kajian mengenai peratusan berapa orang pesakit yang dimasukkan ke dalam wad menunaikan solat fardhu di hospital. Lebih daripada 90% pesakit di hospital berkenaan tidak menunaikan solat fardhu ketika menjadi pesakit dengan alasan seperti di bawah:

  1. Tidak ada telekung/sejadah
  2. Tidak ada ruang solat
  3. Terdapat venofix di bahagian tangan/lain-lain anggota badan
  4. Terdapat beg air kencing yang masih disambungkan dengan pesakit
  5. Pesakit sedang disimen di mana-mana anggota badan
  6. Pesakit mengalami kesakitan/ tidak larat
  7. Tidak tahu arah kiblat
  8. Sukar untuk mengambil wudhu’ atas sebab-sebab tertentu
  9. Tidak tahu cara mengambil tayammum/tidak tahu di mana ingin mendapatkan tanah untuk tayammum
  10. Tidak tahu cara menunaikan solat secara rukhsah
  11. Tidak tahu solat itu masih wajib bagi seorang yang sedang sakit
  12. Sengaja tidak mahu solat

Peratusan pesakit yang tidak menunaikan solat semasa berada di wad sewaktu itu adalah amat menggerunkan. Kemudian, beberapa tahun selepas itu, apabila saya mula bertugas, hal sama berlaku, di mana berani untuk saya katakan bahawa, majoriti pesakit tidak menunaikan solat fardhu. Pada masa itu, saya tidak mempunyai banyak waktu senggang untuk membuat kajian tentang peratusan berapa ramai pesakit yang menunaikan solat akibat tekanan kerja yang begitu tinggi.

Pada posting saya yang terakhir di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, terutama ketika saya bertugas di wad ibu mengandung, sekali lagi, majoriti ibu hamil tidak menunaikan solat fardhu dengan alasan-alasan di atas. Maka, dengan keterbatasan ilmu, tenaga dan masa, saya bersama-sama seorang doktor senior yang merupakan pelajar master tahun akhir telah sama-sama cuba memberi penerangan tentang solat fardhu itu wajib untuk setiap muslim melainkan atas sebab-sebab di atas. Walaupun kami sangat kecewa dengan sikap sebilangan ibu yang tidak bersungguh-sungguh menunaikan perintah Allah, namun usaha kami tetap diteruskan dengan kadar yang mampu.

Di bahagian wad ibu mengandung, kemasukan pesakit ke wad adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya (saya hanya senaraikan secara ringkas menggunakan perkataan yang mudah):

  • Pendarahan sewaktu mengandung (tetapi belum tiba lagi saat bersalin yang sebenar) seperti masalah Placenta Praevia
  • Usia kandungan telah melampaui had batas kehamilan namun tiada tanda-tanda bersalin
  • Ibu mempunyai komplikasi semasa hamil (Gestational Diabetes Mellitus, Pregnancy Induced Hypertension, Pre-Eclampsia, Severe Anaemia etc)
  • Ibu telah turun darah disertai dengan tanda-tanda bersalin yang lain seperti kontraksi yang kuat/pecah air ketuban.
  • Masalah pada bayi yang dikandung
  • Kontraksi/Turun air yang awal dari tempoh cukup bulan
  • etc

Jadi, persoalannya di sini, sampai bilakah seseorang yang hamil itu WAJIB untuk menunaikan solat fardhu?

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Dr. Nur Izah Ab. Razak

24 Jumadul Ula 1430@  19 Mei 2009

Madinah Al-Munawwarah.