Saya tak dapat membayang bagaimana mahu survive menanti dan menghadapi kelahiran anak pertama tanpa mak dan ayah. Mungkin bagi orang lain itu perkara biasa. Meneruskan kehidupan sehari-hari dengan keadaan genting di mana suami sedang sibuk berperang dengan ketibaan peperiksaan tahun akhir. Cabaran cukup hebat untuk saya dan suami.

Namun dengan kuasa Allah, mak dan ayah Keramat menyuarakan hasrat hati mereka untuk sama-sama menemani kami mengharungi saat getir ini bersama di Madinah. Kami bersyukur kerana mereka sudi datang, bersusah-payah dari Malaysia untuk membantu kami.

Kini telah hampir 3 minggu mak ayah berada di samping kami. Si kecil ini belum lagi mahu keluar. Wan dan atuk dan sampai Madinah, semua excited menanti kelahiran cucu yang seorang ini. Mungkinterlalu selesa berada di dalam rahim mama agaknya. Ataupun si kecil ini mahu menunggu baba selesai segala test dan bahas pada minggu terakhir pengajian, biar baba cuti dulu, baru mahu keluar.

Kini, hampir setiap hari pasti saya dan mak akan ke Masjid Nabi atau singgah ke Raudhah bersama-sama. Terharu rasa hati tatkala mak menjadikan dirinya perisai supaya tiada siapa yang melanggar saya sewaktu di Raudhah. Hati saya begitu terharu. Malamnya pula, saya akan membaca Al-Quran dan mak akan memeriksa  bacaan saya, saat-saat indah untuk mak, saya dan cucunya sebelum melahirkan di bawah bumbung Masjid Nabi yang menjadi peneman kami pada malam itu.

Saat pertama kali saya dan mak ayah bertemu, satu perasaan yang sangat istemewa telah membaluti jiwa saya ketika itu. Rasa kasih yang luar biasa untuk insan istimewa seperti mereka. Mak lah yang telah melahirkan permata hati saya (suami) dengan segala susah payah. Terlalu banyak jasa ayah tertumpah untuk membesarkan suami, tidak akan dapat terbalas sampai bila-bila pun.

Teringat kembali setahun lepas. Saya tidak punya masa mengurus kain baju kotor ketika bertugas. Maka setiap minggu acara mendobi menjadi rutin dengan bantuan Timuna (bukan saya buat pun, ish apa punya menantu daaa). Setiap pagi Isnin, usai solat Subuh, mak akan menyediakan bekalan makanan, mangkuk tingkat penuh dengan lauk-pauk dan nasi untuk makanan tengahari saya di hospital. Tidak cukup dengan itu, pasti mak akan membekalkan satu tupperware besar sandwich yang dinantikan kawan-kawan yang bertugas di hospital. Kemudian mak akan membuat satu botol air dengan air milo panas untuk saya minum dalam perjalanan pulang dari Keramat ke Seremban. Kalau dikenang memang saya sangat terharu dengan bantuan mak dan ayah selama setahun saya tinggal berjauhan dengan suami.

Kini, saya banyak menghabiskan masa dengan mak dan ayah di rumah, menanti hari untuk ‘induction of labour’. Saya boleh membincangkan apa sahaja dengan mak dari topik bagaimana  mengupas bawang hingga ke peristiwa kapal terbang syarikat penerbangan Perancis yang terhempas di launtan Atlantik. MashaAllah, saya kagum dengan mak, banyak ilmu yang saya boleh timba dari mak. Ayah juga begitu, ilmunya begitu banyak. Pengalaman ayah terlalu luas. Selalu saya akan leka bila mendengar ayah bercerita tentang apa-apa topik terutama tentang isu semasa. Baru tadi, ayah menceritakan bagaimana pahit maung rakyat di Tanah Melayu menghadapi ancaman Komunis dan Jepun. Setiap kali berbincang dengan ayah, pasti membuatkan saya berfikir dengan lebih mendalam dan kritikal tentang sesuatu perkara. (Selalu terfikir untuk merekodkan topik-topik perbincangan kami supaya saya boleh menulisnya di dalam blog).

Sememangnya, pertemuan saya dengan mak dan ayah Keramat adalah satu rahmat yang cukup besar dalam hidup saya. Kepada mak dan ayah, terima kasih di atas jasa-jasa yang telah mak ayah berikan kepada kami. Terima kasih kerana melahirkan abang.  Saya sangat sayangkan mak dan ayah, semoga mak ayah terus dimasukkan Allah ke syurga.

p/s: Gambar mak ayah tak sempat lagi nak diupload, harap2 sempatlah buat masa pantang nanti…

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Nur Izah Ab. Razak

9 Jumadul Thani 1430@  3 Jun 2009

Madinah Al-Munawwarah.