few minutes after delivery

few minutes after delivery

Setelah melahirkan Abdul Bari pada 5 Jun 2009 pada jam 2.15 petang, saya tidak dapat melelapkan mata, sedangkan saya memang tidak tidur malam sebelum itu akibat sakit pinggang dan contraction. Saya letih tapi keletihan itu terpadam sejurus melihat Abdul Bari keluar dari uterus saya. Oh, sememangnya Abdul Bari montel dan berwarna pink ketika dia keluar. Perasaan yang mengasyikkan memerhati si kecil Abdul Bari diuruskan jururawat bertugas. Sewaktu Prof. Dr. Safa menjahit episiotomy tear saya, saya sedikit pening-pening lalat kerana darah yang keluar agak banyak, namun saya berasa tidak sakit sedikit pun, kerana teknik local anaesthesia Prof memang cemerlang. Dalam sedikit pening lalat itu, saya memesan kepada jururawat supaya jangan berikan anak saya susu formula, kerana saya mahu Abdul Bari menyusu badan.

Kemudian, setelah jahit-menjahit selesai, perasaan untuk bertemu Abdul Bari tidak dapat tertahan lagi. Saya ditolak oleh jururawat dari Mesir yang sentiasa tersenyum ke bilik saya. Mereka lantas menasihatkan saya supaya berehat dan tidur dan minum asir yang telah disediakan. Saya tidak melelapkan mata. Terasa darah nifas mengalir laju, sesekali berketul-ketul keluar. Alhamdulillah tekanan darah saya masih stabil dah heart rate masih dalam julat normal, tiada tachycardia. Mata memang tidak boleh terlelap langsung mengenangkan Abdul Bari yang mungkin lapar ketika ini. Tidak mengapa jika saya lapar, tapi bukan anak saya yang lapar.

Saya lantas meminta bantuan  jururawat menghantar Abdul Bari untuk saya susukan. Masih tiada lagi susu nampaknya. Teringat kembali fakta tentang penyusuan susu  pada hari pertama. BUKAN TIADA SUSU, TAPI PERLUKAN RANGSANGAN. Sebelum Abdul Bari tiba ke bilik, saya cuba memicit ‘kilang susu’ bermula dari outer part ke arah areola. Tidak berkesan. Jari kian lenguh. Tiada susu yang keluar. Namun saya tidak patah semangat langsung. Saya sudah berjanji dengan Abdul Bari sewaktu mengandungkannya bahawa saya akan memberi susu yang terbaik dalam dunia buat Abdul Bari bermula dari hari pertama dia melihat dunia.

Oh, Abdul Bari yang montel telah tiba. Hati saya berbunga-bunga riang. Sangat bahagia dapat memeluk tubuh montel Abdul Bari. Saya bertanya kepada Abdul Bari,

“Assalamualaikum, kenal tak suara ni? inilah mama, selamat datang ke dunia yang penuh dengan cabaran wahai anakku”

Saya lantas menghalakan nipple ke arah mulut si kecil Abdul Bari. Ya, seperti dijangka, Abdul Bari tidak kenal ini puting terbaik untuknya. Masakan dia kenal, dia baru beberapa jam melihat dunia. Saya tidak hampa. Saya cuba lagi mengurut ‘kilang susu’ dengan bersungguh-sungguh, saya memang betul-betul lupa bahawa saya dalam keletihan yang amat.

Alhamdulillah, keluar setitik cecair likat berwarna kuning cair. Saya teruja. Terus saya halakan ‘kilang susu’ pada mulut kecil Abdul Bari. Nampaknya Abdul Bari memberi respon yang sangat menggembirakan hati mama nya. Dia belum lagi menguasai teknik minum susu ibu, namun dia boleh menelan setitik susu awal yang sangat berharga itu. Saya begitu berhati-hati mengurut ‘kilang susu’ supaya susu berharga itu tidak menitik ke tilam. Sekali urut, setitik keluar, setitik yang ditelan Abdul Bari. Saya dan Abdul Bari kelihatan tidak berputus asa. Kami sama-sama berkerjasama menjayakan projek susu awal ibu pada petang itu hinggalah ke hari berikutnya. Apa yang penting, kerjasama..

susu formula

susu formula

Namun, sebelum hari kedua menjelma, seorang staf hospital menziarahi saya pada malam pertama saya dan Abdul Bari. Dia menzahirkan perasaan kasihan melihat saya dalam keletihan bersungguh-sungguh menyusukan anak. Katanya,

“Rehatlah, biar saya ambilkan susu formula beserta puting untuk bayi kamu, mungkin dia lapar sekarang, susu kamu tiada bukan?”

Dia beredar pantas. Tidak sempat saya menahannya. Saya mengucapkan terima kasih. Saya bertegas mahu meneruskan penyusuan susu ibu. Saya menerangkan kepadanya dah staf itu faham. Terima kasih kepada beliau yang prihatin. Saya tidak akan penat untuk memberikan yang terbaik untuk Abdul Bari.

Memang benar, susu pada hari pertama memang sangat sedikit. Namun Allah memang telah mencipta kuantiti susu yang sedikit tapi kaya khasiat itu sesuai dengan kondisi perut bayi kita yang baru lahir. Inilah kuasa Allah yang Maha Pencipta. Seperti yang dipetik dari laman blog Dr. Shiha,

http://nazatulshiha.blogspot.com/2006/11/susu-ibu_116373620385228522.html

Fisiologi jumlah isipadu kolostrum Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Neville et al, 1988), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 35 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur – ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.

SEKEPING GAMBAR SERIBU EMOSI
Seorang ibu bersama anak kembarnya

Ini gambaran benar. Tiada penipuan grafik, tiada ‘editing’ dibuat pada gambar ini, tiada ‘superimpose’. Ini adalah seorang ibu dari negara dunia ketiga yang telah diberitahu bahawa dia tidak akan mampu menyusukan kedua – dua anak kembarnya. Jadi dia telah memilih untuk menyusukan susu ibu pada seorang bayi, manakala seorang bayi lagi diberi susu formula. Masalahnya, ibu ini datang dari keluarga yang miskin. Dia terpaksa mencairkan adunan susu formula itu untuk mencukupkan jumlah kekerapan penyusuan anaknya. Air yang digunakan untuk membancuh susu formula itu belum tentu bersih atau direbus sebaiknya. Peralatan seperti botol susu, puting susu dan lain – lain belum tentu tahap kebersihannya. Maka inilah hasilnya, bayi yang diberi susu badan membesar dengan baik sekali, manakala bayi yang diberi susu formula mengalami masalah ‘failure to thrive’ atau tumbesaran yang terbantut. Inilah kenyataannya…

Kehidupan saya sebagai ibu masih baru. Namun saya sentiasa akan berusaha dan memanjatkan doa saya pada Yang Maha Pencipta semoga Dia memudahkan jalan saya menempuh kehidupan sebagai seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak saya. Saya sangat bersyukur suami dan mak sangat menyokong usaha saya menjayakan susu ibu untuk Abdul Bari. Terima kasih..

Pada malam yang sangat indah itu, saya dan Abdul Bari terus berusaha menjayakan projek susu awal ibu itu..

SUSU IBU, SUSU TERBAIK DALAM DUNIA.

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdul Bari

24 Jumadul Thani 1430@  18 Jun 2009

Madinah Al-Munawwarah.