Semasa saya bertugas dulu, pernah seorang pesakit berbangsa Cina yang baru melahirkan mengadu pada saya, katanya,

“Doktor boleh tolong sama saya ka? Itu emak saya tak bagi saya mandi woo, tolong bagitau sama dia saya mau mandi boleh ka, kalau saya bagitau boleh gaduh ma ”

“Kenapa?” tanya saya hairan.

“Itu aa pantang-larang orang tua-tua cina tak bagi ibu bersalin mandi..aiyaa..banyak susah, badan saya banyak gatal”

“Aunty, anak aunty perlu jaga kebersihan, terutama di kawasan luka, dia perlu pastikan kawasan jahitan bersih supaya luka cepat kering dan sembuh, lebih baik kalau dia mandi setiap hari, lagi bersih, lagi baik” ibu wanita Cina itu mengangguk tanda faham.

Saya selalu bertanya dengan pensyarah Obstetrik dan Ginekologi dahulu, apa sebenarnya erti pantang. Saya bertanya apa yang perlu bagi seorang wanita dalam tempoh post-natal berpantang dari segi makanan, minuman dan penjagaan diri. Jawapan beliau mudah, MAKAN MAKANAN YANG BERZAT DAN SEIMBANG, MINUM BANYAK AIR DAN JAGA KEBERSIHAN DIRI. Dalam hati, oh, rupanya tidak sesukar yang dibayangkan. Kemudian saya bertanya lagi dengan ramai orang hinggalah pada trimester yang ketiga tempoh hari, saya bertanya teman rapat saya di Darul Hafizhat, Maryam seorang wanita mualaf dari Brazil,

“Bagaimana kamu menjalani kehidupan selepas melahirkan bayi”

“Aku hanya ikut nasihat doktor, aku makan makanan yang berzat dan minum banyak air, aku tidak buat apa-apa yang istimewa semasa pantang”

Jawapan yang sama diberikan kepada saya setelah saya bertanya kepada Aminah dari US, Maimunah dari Sweden, malah Maimunah menambah,

“Jika di Sweden, ibu yang baru melahirkan aktif, mereka akan melakukan kerja harian beberapa hari selepas melahirkan”

Pemerhatian saya mendapati terdapat ibu yang belajar di Darul Hafizhat kembali ke sekolah setelah 2 minggu melahirkan. Wah, mereka memang gagah dan kuat.

Dan kini giliran saya pula berada dalam tempoh pantang @ post-natal period ini (Hari ni dah merdeka dari pantang..yeayy). Mula-mula selepas keluar hospital, suami terus membelikan segala ubat yang telah di’prescribe’ oleh Prof. Dr. Safa.

“Izah, duduk elok-elok” kata mak Keramat bila tengok cara saya duduk. Mak risau tengok anaknya ni duduk macam bukan orang dalam pantang. Rasanya dah sopan dah cara saya duduk tu..hihi..rupanya masih tak menepati piawaian orang berpantang.

“Angaaaah, jangan jalan laju-laju” jerit mak Seremban bila nampak saya berjalan. Ketika itu saya baru beberapa hari bersalin, mak Seremban takut tengok saya berjalan, katanya orang berpantang mesti jalan perlahan-lahan nanti luka boleh terkoyak. Seriau juga kalau luka terbuka tapi nak buat macamana, memang dah biasa jalan laju.

Namun bagi saya, ‘confinement period’ adalah tempoh yang menyenangkan. Tambahan lagi suami, mak dan ayah Keramat terlalu banyak membantu saya menjalani tempoh ini. Saya bersyukur kerana mempunyai mak-mak yang tidak berpantang secara ketat secara melulu. Mereka lebih suka menggunakan pendekatan moden di samping mengekalkan beberapa cara tradisional yang tidak memudaratkan.

Di sini, orang yang pandai mengurut tidak ada, sudah pulang ke Indonesia. Maka saya tangguhkan dahulu proses mengurut itu bila balik ke Malaysia. Saya perlu buka balik kotak yang membungkus sauna tent saya di rumah tu. Mungkin dah berinci-inci habuknya. Produk Nona Roguy yang dibeli oleh mak memang menyenangkan saya untuk menggunakannya. Saya sangat suka dengan minyak Herbanika yang menjadi penyegar untuk badan saya malah boleh dijadikan pilis yang tidak merenyahkan. Kecuali warna minyak dan krim yang melekat pada baju menyebabkan ia bertukar kuning agak menggeramkan, namun yang lain saya rasa selesa. Saya mula makan pil Phytonatal setelah Abdul Bari berusia sebulan, setelah yakin jaundice Abdul Bari telah pulih sepenuhnya.

Mak banyak masak menggunakan lada hitam, bawang putih, halia yang mana semuanya sedap-sedap belaka. Bertimbun sayur dan buah yang menjadi sumber serat dan vitamin perlu saya makan untuk mengelakkan sembelit. Suami membeli berkotak-kotak jus buah yang asli tanpa pengawet dan pewarna dengan vitamin C untuk saya minum terutama jus oren-karot, mangga dan peach.

Apa yang penting semasa tempoh pantang dan menyusukan anak, si ibu perlu:

  1. Makan makanan yang seimbang dan berkhasiat (nasi, sumber protein seperti ikan, ayam , daging, sayur dan buah-buahan)
  2. Banyakkan minum air lebih-lebih lagi jika menyusukan bayi (air zam-zam, susu, jus buah yang berkualiti, air kosong)
  3. Menjaga tempat jahitan dengan baik (cuci bersih dengan air kemudian cuci dengan cecair seperti bethadine, pastikan tempat jahitan kering dan sapu tempat luka dengan ubat yang dibekalkan)
  4. Berbengkung (wah ini perlu disiplin yang tinggi..hehe)
  5. Bertungku (saya pinjam batu sungai dari Ummu Akmal, milik asal Ina, tenkiu..)
  6. Makan supplement yang bersesuaian untuk penyembuhan luka yang cepat serta mengembalikan kesegaran ibu sewaktu pantang (mak Seremban bekalkan saya pati ikan haruan, mak Keramat bagi saya minum Intra dan vitamin C EVERYDAY..hehe)
  7. MENYUSUKAN ANAK bagi mempercepatkan pengecutan rahim dan boleh membantu si ibu menurunkan berat badan dengan lebih cepat.
  8. Mengelakkan diri dari perkara yang boleh mendatangkan stress

Sokongan suami sangat penting dalam tempoh kritikal ini untuk menguruskan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh si isteri yang masih perlukan bantuan secara fizikal dan psikologi.

Kesimpulannya, bersyukurlah kepada Allah yang telah memberi kita rezeki yang melimpah ruah sewaktu pantang. Waktu pantang perlulah menjadi tempoh yang menyenangkan malah menggembirakan terutama dengan kehadiran si comel. Janganlah menyeksa diri dengan hanya makan nasi dan ikan kering semata-mata hanya kerana kita berpantang. Yang penting jangan bersedih atau tertekan, percayalah bahawa waktu pantang adalah masa yang menyeronokkan..

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdul Bari

27 Rejab 1430@  20 Julai 2009

Madinah Al-Munawwarah