At Baidho'

At Baidho'

Perjalanan ke Baidho’ mengambil masa lebih kurang 20 minit dari Hayyu Nasr. Sepanjang perjalanan, suasana redup dan segar kerana penuh dengan ladang kurma dan pokok-pokok yang menghijau, seolah-olah jalan di Malaysia, cuma yang berbeza ada banyak bukit-bukau berbatu saujana mata memandang. Kali ini, kami sekeluarga menemankan abg Abu Bakar, yang bekerja di Aramco bersama keluarganya ke Baidho’. Abg Abu Bakar sudah 4 tahun berkhidmat dengan syarikat minyak gergasi yang kini telah diambil alih oleh Arab Saudi. Tak lama lagi beliau sekeluarga akan berpindah pula ke Addis Ababa setelah beliau bertukar ke syarikat lain.

Cuaca di Baidho’ lebih redup dan tidak panas berbanding di kota Madinah Al-Munawwarah. Baidho’ terkenal sebagai tempat perkelahan keluarga kerana terdapat ‘Bukit Magnet’ yang menjadi tumpuan pengunjung. Apa yang menarik, terdapat satu kawasan di sini di mana jika kita mematikan enjin kenderaan, kenderaan itu mampu bergerak dengan sendirinya dengan kelajuan yang konsisten menuju ke arah ‘Bukit Magnet’. Menurut Prof. Dr. Shahnor yang merupakan mantan pensyarah di Universiti Tayyibah, beliau mengemukakan beberapa teori tentang kejadian ini, antaranya ialah Teori Ilusi Optik. Teori ini mengatakan bahawa sebenarnya terdapat cerun ke bawah menghala ke ‘Bukit Magnet’ yang menyebabkan kenderaan meluncur ke arah bukit secara automatik, walaupun secara kasar visual kita mengatakan bahawa jalan itu landai dan bukan menurun. Menurut beliau, terdapat beberapa lagi tempat yang sedemikian rupa di dunia ini. Betapa besar kuasa Allah, mashaAllah.

Magnetic area

Magnetic area

Apa yang menarik, kenderaan yang dipandu suami mampu bergerak secara konsisten di antara 90km/jam sehingga ke tahap maksimum 105km/jam tanpa enjin kereta dibuka. Wah, boleh jimat minyak kereta nampak gayanya ni. Selepas melepasi kawasan ‘Bukit Magnet’, kelajuan kereta kami secara automatik menjadi perlahan walaupun jalan itu jalan yang menurun.

oasis Baid

oasis Baidho'

at oasis Baidho'

at oasis Baidho'

Menjelang pulang, kami sempat singgah ke kawasan oasis di mana terdapat takungan air yang membiru di tengah-tengah kawasan yang kering itu. Pemandangan yang sangat memukau itu membuatkan saya terpaku melihat kecantikan ciptaan Allah yang sangat istimewa yang terdapat di Baidho’. Terdapat empangan yang dibina di situ, namun pengunjung luar tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan oasis yang berpagar.

Lepas ni bolehlah mutazawwijin berkelah di sini pula..

p/s: Abdul Bari dah semakin membesar, pampers pun dah tukar size nampaknye..hehe, Rejab dah berlalu, sebulan lagi nak Ramadhan…

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdul Bari

29 Rejab 1430@  22 Julai 2009

Madinah Al-Munawwarah