Sejak beberapa hari ini, kehidupan saya dan suami lebih sentimental berbanding hari biasa. Jika balik dari Masjid Nabi ke rumah di Hayyu Nasr, suami akan membawa kereta dengan perlahan terutama pada waktu hening pagi selepas solat Subuh. Kami mahu menikmati sepuas-puasnya suasana nyaman lagi tenang waktu pagi di bumi Madinah. Kami melayan lagu yang bertema perpisahan nyanyian Brothers. Ahh, saya yang ternyata berhati halus seakan mahu menjuraikan air mata kerana perasaan yang sedih, sedih mahu meninggalkan bumi tercinta Nabi Muhammad, sedih mahu Masjid Nabi yang menjadi tempat dambaan umat Islam di merata dunia. Ketika saya menulis posting kali ini pun, perasaan pilu itu semakin kuat mencengkam benak sanubari saya.

Kami pasti akan teramat rindu dengan laungan azan di Masjid Nabi. Suara Imam Huzaifi, Imam Ali Sheikh dan lain-lainnya pasti akan selalu terngiang-ngiang di telinga kami. Sekarang ini pun telah berasa rindu, apalagi nanti bila kami telah pulang, sesungguhnya ini adalah perasaan yang sukar dimengertikan kecuali bagi mereka yang pernah melaluinya.

Di sinilah bersemadinya jasad manusia terulung di muka bumi. Di sini juga tertanamnya jasad para sahabat yang syahid menentang kuffar. Di sini juga terdapat jasad ahli keluarga dan para sahabat yang agung berjuang di samping Nabi. Siapa yang tidak pilu untuk meninggalkan segala kenikmatan hidup di bumi bertuah ini?

Teringat kembali kenangan saya dan suami, suami menyampaikan hasrat suci untuk mengambil saya sebagai teman hidup ketika dia berada di bumi Nabi ini. Allah mengurniakan kami si penyejuk mata Abdul Bari juga di bumi Nabi ini. Saya bertegang nyawa melahirkan Abdul Bari di sini. Di sini tanah tumpah darah Abdul Bari. Sesungguhnya saya terlalu bahagia hidup di bumi Nabi ini.

Di bumi ini juga Allah telah mengurniakan saya peluang bertemu dengan ramai sahabat yang baik dan berjiwa mulia. Saya berpeluang meneguk setitik ilmu yang tidak pernah saya jumpa di tanah Malaysia. Alangkah bertuah jika ada sahabat saya yang berpeluang belajar di sini lagi, semoga mereka tetap thabat menuntut ilmu sampai bila-bila.

Semakin saya menaip ini semakin sayu rasa hati. Namun, saya berjanji akan datang semula ke sini, moga-moga Allah akan mengurniakan rezeki untuk kami sekeluarga terus menikmati hidup yang singkat ini di Madinah lagi, moga-moga berpeluang disemadikan di samping keluarga dan sahabat Nabi tercinta.

Pada saat ini, kami sedang meniti hari-hari yang sayu lagi pilu di bumi Madinah Al-Munawwarah yang tenang itu..

p/s:Nenek and wan miss Abdul Bari sooooo much, then we have to go back as early as we can. We’ll be back for good this coming August inshaAllah.

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Ummu Abdul Bari

9 Sya’aban 1430@  31 Julai 2009

Madinah Al-Munawwarah