Pagi ini dingin di Madinah, tambahan lagi dengan mukayyif (aircond) yang sering dibiar terpasang menghambat saya untuk memanaskan badan dengan menulis entry kali ini. Saya merenung dalam wajah bersih si Abdul Bari. Terfikir panjang tentang masa depan anak kecil ini. Perasaan gusar segusar-gusarnya mengenang bagaimana saya dan suami tercinta mahu membesarkan Abdul Bari di tanahair dengan harapan dan tekad mahu Abdul Bari dan adik-adiknya menjadi pemimpin orang-orang yang takut pada Allah.

Saya fikir pembaca sedia maklum apa yang sedang berlaku di Malaysia sehingga ke saat ini. Semalam saat membuka akhbar Kosmo di alam maya, saya lantas terbaca satu kisah sedih yang betul-betul menusuk dalam ke jiwa keibuan saya. Mayat bayi dibaham biawak. Gambar yang disiarkan memang mampu membuatkan sesiapa yang masih layak bergelar manusia untuk menangis sedih. Tidak menyangka ada syaitan bertopeng manusia lagi yang membuang bayi. Kelmarin mayat bayi tersumbat di tandas. Hoi, orang gila bernafsu syaitan! Semoga Allah menimpakan azab siksa yang sekeras-kerasnya pada kau, manusia jahanam!!

Itu bayi yang telah tidak sengaja dijumpai, bagaimana pula dengan bayi yang dilempar di tempat yang sembunyi? Bukankan saat mengandung itu bukan mudah, apatah lagi saat perit getir melahirkan. Statistik anak tidak sah taraf kian meningkat dengan mendadak. Nampaknya rantaian DNA mereka semakin ramai. Tapi bukan salah mereka, jadi salah siapa?

Saya ucapkan syabas kepada YB Dato’ Dr. Hassan Ali, PAS Negeri Selangor dan YB Zulkifli Nordin. Arak memang antara punca utama krisis yang meloyakan ini. MB Selangor, takkan kamu mahu tunduk dengan samseng yang tidak berpendidikan? Jangan naikkan amarah umat Islam di Malaysia!!

Saya penah terfikir untuk meletak jawatan. Bayar saja pada JPA segala biasiswa. Saya mahu kedua-dua tangan saya sendiri yang mendidik dan memberi tarbiyah pada jiwa anak-anak. Biar tangan ini yang merasa panas memasak makanan halal lagi berkhasiat untuk Abdul Bari dan adik-adiknya. Biar tangan ini menjadi bantal paling selesa yang sentiasa bersedia memeluk mereka pada bila-bila masa. Biar tangan ini yang memegang rotan jika mereka ada tersilap laku jika sesuai usianya. Ah, adakah saya sedang berangan dibuai mimpi di siang hari? Bagaimana dengan tanggungjawab yang telah diberi untuk menjadi seorang yang sedia berkhidmat untuk agama dan negara? Saya mesti jadi pakar, tapi bagaimana? Ya Allah, tunjukkanlah hambaMu yang lemah ini jalan keluar, jalan yang terbaik..

Saya termenung panjang. Kemudian saya terus memeluk erat Abdul Bari. Saya tidak rela walau satu lalat pun hinggap mencemari kulitnya. Hati dan sanubari saya kian gundah untuk pulang..

Adakah saya nekad untuk meletak jawatan?

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Ummu Abdul Bari

15 Sya’aban 1430@  6 Ogos 2009

Madinah Al-Munawwarah