MALAYSIAKINI

MB: Tiada larangan jual arak di S’gor

Ogos 7, 09 1:33pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tiada pengharaman penjualan alkohol di negeri itu tetapi penjual harus mengamalkan “kawalan diri”.

Langkah ini bagaimanapun bersifat sementara kerana garis panduan lengkap tentang penjualan minuman itu akan disiapkan dalam tempoh sebulan, katanya lagi.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mesyuarat majlis ekonomi negeri di Shah Alam pagi ini.

Isu penjualan alkohol di Selangor meledak semula awal minggu ini apabila Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang juga exco hal-ehwal Islam Selangor, mendesak pengharaman menyeluruh jualan arak di kawasan berpenduduk majoriti Islam.

UTUSAN MALAYSIA

Jual arak atas kesedaran peniaga – Khalid Ibrahim

07/08/2009 4:40pm

SHAH ALAM 7 Ogos — Kerajaan negeri Selangor memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu adalah berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli dari kalangan orang Islam dan remaja.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata menerusi peraturan sendiri itu, ia turut bermakna penjual tidak perlu menjual minuman keras di premis mereka yang terletak di kawasan yang tidak mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mengharamkan penjualan minuman keras tetapi sebaliknya akan memberi tempoh sebulan kepada premis terbabit supaya tidak menjual minuman keras kepada masyarakat Islam.

“Sebagai permulaan kita mulakan dengan kawasan Shah Alam untuk melaksanakan

“self regulation” iaitu apa yang kita lakukan ialah untuk fahami bagaimana boleh kita wujudkan satu keadaan di mana penjualan ini dapat dilakukan kepada mereka yang hanya boleh membelinya dan bukan kepada yang tidak sepatutnya membeli termasuk orang Islam dan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KK Group of Companies dan kedai 24 jam 7-Eleven di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata 7-Eleven seperti contoh telah pun mempraktikkan ’self regulation’ di mana sebanyak 10 cawangannya di Shah Alam telah pun menghentikan penjualan minuman keras berikutan tiada permintaan daripada penduduk setempat yang majoritinya beragama Islam.

Justeru, beliau berkata draf cadangan berhubung penjualan minuman keras yang dikemukan oleh PAS adalah tidak relevan untuk dilaksanakan memandangkan kerajaan negeri perlu turut mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Untuk melakukan sesuatu perkara, kita kena ambil kira beberapa pihak termasuk penjual, pembeli, masyarakat sekeliling serta mengimbangkan keadaan di mana walaupun Selangor negeri mesra perniagaan tetapi pada masa yang sama sangat prihatin tentang masalah sosial di negeri ini.

“Jadi kita tidak boleh nak tahan (jualan minuman keras). Menghentikannya tidak akan menyelesaikan masalah sosial. Tidak payahlah kita ada banyak undang-undang, kita hormat perniagaan dan kita juga hormati masyarakat dan fahami kehendak budaya dan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Nor berkata MBSA akan mengikut seperti yang diputuskan oleh Menteri Besar iaitu pelaksanaan mekanisme peraturan sendiri dalam usaha menyelesaikan perkara itu.

“MBSA akan adakan kerjasama erat dengan masyarakat peniaga. Apapun keputusan kerajaan negeri kita ikut dan kita akan tengok dalam masa sebulan ini bagaimana keputusannya. Dalam tempoh sebulan ini penumpuan kita hanya di 17 cawangan kedai serbaneka di Seksyen 1 hingga 24,” katanya Ketua Pegawai Eksekutif KK Group of Companies, Datuk Dr Douglas KK Chai berkata keputusan yang dibuat Menteri Besar adalah baik kerana tidak dinafikan minuman keras juga menyumbang kepada hasil jualan keseluruhan syarikat itu.

“Sekarang kita tunggu, selepas sebulan kita akan lihat bagaimana ia berjalan dan sama ada peraturan ini boleh berfungsi atau tidak.

“Tetapi ia adalah langkah baik yang kita ambil,” dan menambah syarikat itu mempunyai kira-kira 40 cawangan kedai serbaneka di Selangor.

— BERNAMA

p/s: Apa anda rasa?

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Ummu Abdul Bari

16 Sya’aban 1430@  7 Ogos 2009

Madinah Al-Munawwarah