Kisah 1

Dua tahun yang lalu, saya terdengar tentang satu kisah tragik yang menimpa seorang wanita yang tidak pernah saya kenali. Ketika itu beliau sedang sarat hamil anak kedua. Saat menghitung masa menanti kelahiran anak, wanita itu disapa dengan berita pedih, yang mampu menghiris setiap helaian otot myocardium. Suami yang dicintainya pergi buat selama-lamanya setelah terlibat dalam satu kemalangan ngeri di jalanraya. Dua hari kemudian, wanita itu melahirkan anak kedua. Rupanya dunia ini sangat sempit. Semalam saya bertemu dengan wanita muda berjiwa tabah ini. Kami bertemu sewaktu menghadiri Usrah Papisma Tengah. Saya menyangka bahawa wanita yang murah senyuman itu sedang menunggu suaminya pulang, rupanya suaminya telah pergi buat selama-lamanya. Saya termenung memandang dua anak kecilnya yang comel, rupanya mereka anak yatim. Ah, memang memilukan. Syabas buat Dr Maslina. Sesungguhnya saya kagum dengan ketabahan sahabat yang baru saya kenali malam tadi.

Kisah 2

Hari ini saya membelek laman sesawang sahabat-sahabat yang telah lama saya tinggalkan. Saya mendapat berita tentang Nur Fatimah Ramadhan Fitri. Lantas saya mencari nombor Khadijah, ibu kepada Nur Fatimah. Entah mengapa hati saya begitu berdebar-debar. Rupanya Nur Fatimah kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Putrajaya. Saat berbicara dengan Khadijah sangat mengharukan. Saya doakan Nur Fatimah akan sihat seperti sediakala dan membesar sebagai anak yang solehah.

p/s: Aku mencintaimu sementara usia masih berbaki.

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Ummu Abdul Bari

20 Syawal 1430/ 9 oktober 2009

Putrajaya