Ibu mertua bermaksud ibu kepada suami kita. Saya ada ibu mertua. Tapi saya sangat jarang menggunakan perkataan ‘mertua’. Bagi saya ibu mertua adalah ibu saya. Kalau memperkenalkan ibu mertua dengan orang lain, saya suka berkata “Ini mak saya”. Pernah satu hari, ibu mertua menemankan saya ke salon rambut, hairstylist itu berkata, “Muka puan dan muka emak puan sama”. Sepanjang tempoh saya berkahwin, saya tidak pernah menggelarkan ‘mak abang’, dan suami juga tidak pernah berkata ‘mak ayang’. Kami lebih suka menggunakan panggilan mak Seremban dan mak Keramat, itu berlaku secara automatik, tidak pernah dirancang.

Kini, daripada mempunyai seorang ibu, setelah bergelar isteri saya mempunyai 2 ibu, mak dan mak. Kelmarin mak Seremban menghadiahkan saya jam berwarna emas, cantik, saya menyimpannya rapi di dalam kotak, takut tercalar. Bulan lepas mak Keramat pula menghadiahi saya dengan jam tangan berwarna silver, juga saya susun di sebelah jam berwarna emas tadi, takut tercalar. Wah, saya dapat 2 jam tangan pemberian mak dan mak, syukur pada Allah. Mak Seremban belikan saya jubah, mak Keramat belikan saya abaya. Mak belikan itu, mak belikan ini. Mak masakkan begini, mak masakkan begitu. Mak kasihkan Abdul Bari macam ini, mak sayangkan Abdul Bari macam itu. Nikmat Allah bagi pada saya, kenikmatan yang berganda. Semuanya kini berganda, bukan setakat 2x ganda, malah berganda-ganda. Itu keberkatan mempunyai mak dan mak.

Bagi saya sebagai orang muda, yang sememangnya masih mentah, yang masih kurang makan garam dan segala bagai, WAJIB menghormati mak dan mak. Bagi saya juga sebagai orang muda, kita WAJIB kasihkan ibu mertua sebagaimana kita kasihkan ibu kita. Tiada beza, tiada jurang, tiada kurang. Jika mak nasihat, kita dengar. Jika mak tegur, kita ikut. Jika mak marah, jangan kita tambah. Kecuali jika yang dinasihat ajaran sesat, tapi masih perlu beradab. Itu perkara fitrah, tidak perlu ke universiti untuk belajar psikologi.

Tidak kira bagaimana corak pun ibu mertua, adab dengannya perlu dijaga. Bukan sekadar hormat, malah kita WAJIB menjaga nama baik keluarga kita. Alangkah buruk akhlak jika kita sebagai orang yang mentah ilmu, mendabik dada, menconteng arang di muka suami dan keluarga dengan membuka keaiban mereka. Terutama jika kita sebagai orang yang kurang makan garam yang ‘pergi sekolah’. Malu jika orang yang menguar-uar diri ‘pergi ke sekolah tinggi’, tapi perangai seperti orang yang tak pernah belajar adab, alangkah malunya.

Saya ada contoh di depan mata,  mak banyak peristiwa yang pedih dengan nenek, namun sekarang, nenek telah sakit. Sampai kini, mak tetap mandikan nenek dengan penuh kasih sebagai menantu. Saya berazam menjadi begitu..

Semoga cinta antara saya dan mak-mak hingga ke syurga..

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdul Bari

30 Muharam 1431@  16 Januari 2019

Seremban

Advertisements