Sewaktu mak masih belajar di sekolah mengengah di daerah Tampin beberapa puluh tahun yang lalu, kehidupan nenek (rahimahumullah) sekeluarga memang dalam kesempitan yang amat. Mujur mak beroleh biasiswa dek kerana keputusannya akademik yang cemerlang, maka wang yang sememangnya terhad itu dapat membantu adik-adik yang masih berhingus di kampung. Masa itu atok telah tiada. Atok meninggal dunia ketika emak  berada di tingkatan 4. Namun mak berhati kental, walau dia bukan anak sulung namun tanggungjawab sebagai anak yang menjadi harapan nenek telah lama mak pikul setelah anak sulung nenek menghilangkan diri, lari dari memikul tugas memelihara adik-adik. Mak memang susah ketika itu. Nenek akan mengutip baju-baju lama pemberian oarang kampung untuk mak dan adik-adiknya pakai. Mak pernah bercerita bagaimana ketika mak ingin mendaftar di Maktab Perguruan Temenggung Ismail dulu, mak tidak mampu untuk membeli beg baju, maka mak menggunakan kain lusuh sebagi gendongan baju pemberian orang kampung. Saya menitiskan air mata mendengar cerita kesempitan mak sewaktu dulu.

Mak masih ingat lagi bagaimana setiap kali mak pulang ke kampung, maka adik-adiknya akan menunggu mak di tepi jalan menanti kepulangan mak. Mak akan siap-siap membayar duit bulanan pada kedai runcit berhampiran supaya senang nenek mengambil barang keperluan harian. Mak bukan tiada bapa atau ibu saudara. Tapi mereka tidak membantu. Bukan sekadar tidak membantu malah siap menyuruh mak berhenti sekolah dan menghina usaha mak untuk maju dalam pelajaran. Ibu saudara mak berkomplot dengan bebarapa orang yang punya kuasa merampas tanah nenek, merampas harta anak yatim yang hidup dalam kesempitan. Waktu pembolotan tanah sekangkang kera itu terjadi, nenek jauh di Kuala Lumpur. Nenek masuk ke hospital kerana menjalani pembedahan. Anak-anak nenek yang kecil-kecil itu ditinggalkan di kampung dengan harapan ada saudara yang akan membantu. Namun kini, Allah telah memberi pembalasan pada mereka yang makan harta anak yatim, kedua-duanya hidup dalam keadaan yang sangat uzur, semoga Allah meringankan azab yang mereka tanggung dan semoga Allah mengampunkan dosa mereka.

Busu (adik bongsu mak), pernah menceritakan bagaimana sengsara kehidupan mereka ketika di bawah ‘jagaan’ mak saudara. Mereka dibiarkan kelaparan. Disebat hingga berbirat-birat sana sini atas kesalahan kecil yang tidak munasabah. Pak Teh (adik mak) pernah memanjat pokok jambu kerana terlalu lapar, dan mak saudaranya menebang pokok jambu tersebut ketika Pak Teh sedang berada di atas pokok itu?? Itu kezaliman yang melampau..

Itu zaman dahulu, semoga mereka telah insaf. Kini saya telah menjadi ibu saudara. Kakak saya juga telah menjadi ibu saudara. Adik lelaki saya juga telah menjadi bapa saudara. Dulu kita ingin sangat jika kita berjaya dalam akademik, atau kita berjaya dalam apa-apa sekalipun, kita selalu ingin ibu dan bapa saudara kita menghargai kita. Peduli dengan kehidupan kita. Peduli apa terjadi pada kita.

Semoga kita AMBIL TAHU nasib anak-anak buah kita. Beri mereka hadiah ikut kemampuan, beri mereka kasih-sayang, beri mereka perhatian. Jangan sesekali kita abaikan anak buah kita.

Percayalah, satu hari nanti, anak-anak buah inilah yang akan menghargai kita sewaktu kita tua kelak..

p/s: Abdul Bari ucapkan terima kasih pada Mak Long n Pak Long yang selalu ingatkan Abdul Bari, beri hadiah macam-macam untuk Abdul Bari dan adiknya, terima kasih juga pada Ude, Pak Sham dan Auntie Kilah yang bagi baju-baju yang cute, belanja makan etc..Terima kasih juga pada semua bapa saudara dan mak saudara Abdul Bari yang lain..

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdil Bari

8 Syaaban 1431@  20 Julai 2010

Kuala Lumpur