Hampir 2 minggu selepas melahirkan Abdul ‘Alim. Pengalaman melahirkan si anak yang hampir 4 kg sangat mencemaskan. Saya rasa hari itu memang terlalu sakit. Seminggu sebelum kelahiran anak kedua, pakar telah mengandaikan bayi saya ini besar (macrosomic baby). Biparietal diameter @ BPD melebihi julat biasa (above 95 centile). Mereka akan bersiap-sedia sekiranya berlaku apa-apa. Saya ditawarkan untuk LSCS (lower segment caeserian section) namun saya yakin saya mampu untuk melahirkan secara biasa atas bantuan Allah. Saya mengambil risiko sekali lagi dengan keadaan AFI @ amniotic fluid index (jumlah kandungan air ketuban) di ambang polyhydromnios (air ketuban banyak berbanding biasa).

Memang dari dulu saya bersemangat. Saya yakin saya mampu melahirkan secara fitrah. Namun perit jerih melahirkan itu terlampau menyakitkan. Saya selalu bimbang untuk mengharungi tempoh kesakitan yang melampau itu walaupun ini bukan kali pertama. Saya sempat menghantar sms pada mak Seremban dan mak Keramat sebelum masuk ke dewan bersalin, saya berpesan jika saya pergi mengadap Allah, mereka akan memelihara kedua-dua anak lelaki saya sebaik mungkin menjadi anak yang soleh. Kedua-dua mereka mengalirkan air mata menyambut sms saya itu. Saya tiada harta. Saya tiada rumah di sana-sini, tiada kereta berderet-deret, tiada tanah berekar-ekar, tiada duit bertimbun untuk disedekahkan buat bekalan. Saya hanya ada dua orang anak lelaki. Itulah harta saya di dunia.

Pada hari Jumaat jam 2 petang, darah berbentuk jeli telah keluar (show). Suami tercinta lantas membawa saya ke hospital untuk pemeriksaan. Pintu rahim (os opening) masih 2 cm. Tiada kontraksi yang signifikan. Sahabat saya yang memeriksa lantas memberikan pandangan supaya saya dimasukkan ke dalam wad. Saya akur walaupun saya terlalu rindu untuk memeluk Abdul Bari lagi pada malam itu.

Jam di dinding menunjukkan pukul 10 malam. Saat saya berdiri menuju ke bilik air selepas kontraksi tiba-tiba ada cecair yang banyak mengalir laju. Oh warnanya seperti warna jernih kuning jerami. Ini sudah pasti air ketuban saya telah pecah (leaking liquor pada jam 10 malam). Kontraksi semakin kerap hinggakan ada staf bertanya, “Dr ada minum air selusuh?”. Saya tidak minum air selusuh tapi minum air suam seperti biasa. Cuma suami saya ada membacakan ayat Al-Quran memohon agar Allah memudahkan dan mempercepatkan kelahiran sambil menggosok abdomen saya.

Pada jam 9 pagi hari Sabtu, sahabat saya memeriksa bukaan rahim. Ternyata kontraksi yang kerap itu membuahkan hasil. Bukaan rahim telah meningkat kepada 5cm. Saya lantas dimasukkan ke dewan bersalin. Bukaan rahim menjadi 6 cm pada jam 10 pagi. Doktor dari jabatan anaest (bius) telah bersiap sedia untuk memberikan saya epidural. Namun saya menolak epidural dengan keadaan bukaan rahim yang telah mencapai 6 cm.

Oh di saat itu ada gas entonox dan suntikan analgesia dalam bentuk intramuscular untuk mengurangkan kesakitan. Membrane saya masih intact walaupun telah ada spontaneous rupture of membrane @ SROM (air ketuban pecah) hari sebelumnya.  Sejurus selepas membrane dikoyakkan, lantai bilik bersalin banjir dengan air ketuban. Kesakitan semakin menjadi-jadi. Gas entonox menyebabkan saya terbang di awangan namun saya perlu fokus untuk berjuang melahirkan.

Jam 12.45 tengahari, bukaan rahim telah mencapai 10 cm, kontraksi dibantu dengan augmentasi paras rendah. SANGAT-SANGAT-SANGAT MENYAKITKAN. Jika boleh mahu sahaja saya lari dari dewan bersalin itu. Lari dari segala kesakitan itu. Namun perjuangan masih belum selesai. Suami di sebelah menambahkan semangat saya untuk meneran. Staf-staf yang kesemuanya Muslimah memberi sokongan padu supaya saya terus meneran kuat dan panjang. Seperti di stadium bolasepak pula rasanya dengan sorakan dan semangat padu itu, cuma tiupan vuvuzela sahaja yang tiada. Sedikit episiotomy dilakukan untuk membolehkan kepala keluar.

Abdul 'Alim sejurus lahir

Abdul 'Alim sejurus lahir

Jam hampir 1.24 pm, kepala Abdul ‘Alim akhirnya berjaya dikeluarkan. Cemas sekali lagi apabila bahunya seakan tersangkut. Segala meneuvre dibuat dan akhirnya lahirlah seorang hamba Allah di dunia tepat jam 1.25petang hari Sabtu, 12 Syaaban 1431 @ 24 Julai 2010.

Sebagaimana ibu-ibu yang lain, kami telah menempuh kesakitan yang teramat dalam. Setelah hampir 2 minggu, saya telah terlupa bagaimana  rasanya kesakitan itu dan memohon doa pada Allah agar memberi saya peluang lagi dan lagi mengumpul ‘harta’ di masa akan datang, kerana ia adalah kesakitan yang telah saya lupakan.

p/s=

1. Terima kasih diucapkan kepada semua staf yang banyak membantu saya ketika berada di hospital. Semoga Allah membalas segala jasa baik anda semua.

2. Untuk mak dan mak, semoga Allah terus masukkan kalian ke dalam syurga, kerana tiada kata yang mampu untuk diungkapkan untuk menggambarkan penghargaan di atas segala jasa mak dan mak.

3. Untuk suami permata hati, ahabbakallazi ahbabtani lahu, kita kumpul ‘harta’ banyak-banyak lagi…   😉

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ummu Abdil Bari

23 Syaaban 1431@  4 Ogos 2010

Kuala Lumpur