Saya hanya ada seorang adik kandung lelaki. Tatkala kelahirannya saya adalah kakak yang paling gembira di dunia. Sementelah saya memang menantikan seorang adik yang boleh dibuat teman.

Sewaktu zaman kanak-kanak, adik memang comel. Kulitnya putih mulus dan bersih. Wajahnya memang seperti anak cina. Rambutnya hitam dan lurus. Adik cerdik dan petah berbicara, dia selalu menghiburkan. Adik memang kesayangan kami sekeluarga.

Saya bertukar sekolah rendah ketika hendak memasuki darjah 5 semata-mata kerana ingin belajar pada sesi yang sama dengan adik, iaitu pada sesi pagi. Saya masih ingat lagi, di sekolah itu ada 2 orang budak hitam yang merupakan ketua geng samseng di sekolah, mereka cuba membuli adik. Saya dengan perasaan yang sangat marah dan geram telah berjaya ‘membuli’ balik 2 budak hitam itu sampai mereka menangis. Oh, saya sangat berpuas hati kerana semenjak itu tiada siapa lagi yang berani membuli adik.

Ketika menginjak ke sekolah menengah, saya berada di tingkatan 5 manakala adik belajar di tingkatan 1. Kami bersekolah di sekolah yang sama. Saya selalu risau tentang adik. Sudah makankah adik tadi? Bagaimana pelajarannya? Adakah adik selesa dengan kawan-kawannya? Malah hampir setiap hari jika ayah tidak dapat menjemput kami di sekolah, kami akan balik berjalan kaki ke rumah bersama-sama. Saya berazam pastikan adik sentiasa selamat.

Walaupun kami selalu bertekak, bergaduh dan ber’wrestling’ (dahulu), saya akan tetap sayangkan adik sebagaimana sewaktu dia mula-mula melihat dunia. Dia adik yang soleh, taat agama dan ibu-bapa. Dia juga cemerlang dalam pelajaran. Cuma mungkin dia seorang yang kaki bangku yang tidak dapat menjadi saingan kepada kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang merupakan teman sepermainannya ketika kecil.

Gambar: Adik berdiri di barisan belakang sekali, paling kiri

Kini adik telah dewasa. Selang beberapa hari lagi dia akan menjadi suami. Dia telah bertemu dengan seorang wanita solehah idaman hati. Oh sungguh saya tidak sangka adik akan berkahwin. Kerana seakan semalam kami baru bertumbuk dan berguling kerana berebut coklat. Semoga adik berjaya membina keluarga yang taat pada Allah dan Rasul.

Saya sangat gembira dengan perkembangan adik kini. Dengan kuasa Allah dia berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Syukur pada Allah yang mengurniakan kegembiraan yang berganda-ganda ini.

Walau apa pun yang terjadi, Muhammad adalah adik yang paling saya sayang dalam dunia. Adik adalah buah hati kami sekeluarga. Semoga adik berjaya dalam hidupnya dunia dan akhirat.

p/s= Adik, tolong simpan duit..

SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيم

Our Lord! And make us submissive unto You and of our offspring a nation submissive unto You, and show us our Manasik, and accept our repentance. Truly, You are the One Who accepts repentance, the Most Merciful.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Angah@Ummu Abdil Bari

22 Ramadhan 1431@  1 September 2010

Kuala Lumpur

Advertisements