Hati saya amat berat untuk menaip. Bila saja terpandang sudut meja makan, pasti terbayang kelibat ayah sedang membaca akhbar di awal pagi lagi, pasti ayah akan bertanya,

“Izah nak sarapan apa pagi ni?”.

Bila saja keluar rumah, pasti terkenang ayah sedang menunggu kami untuk makan malam. Bila waktu solat Maghrib tiba, pasti ayah sudah siap-siap menghamparkan tikar sejadah di ruang tamu untuk kami anak-beranak solat bersama. Ya Allah, perpisahan itu sangat memilukan.

Kini, semua itu tinggal kenangan. Memori indah yang akan saya tanam di benak fikiran sampai bila-bila. Suami sering mengingatkan, kami perlu tabah. Sabar dengan ujian yang pedih ini. Kita perlu terus mendoakan ayah sampai bila-bila. Perlu tabah.

Semangat kami agak pudar. Namun perjuangan tetap diteruskan. Hari ini saya dan suami meneruskan perkara yang terbengkalai. Lesen memandu. Kami ke JPJ berdekatan untuk memohon lesen memandu antarabangsa. Antara dokumen yang diperlukan untuk permohonan lesen ini:

1. Borang permohonan lesen memandu, boleh print online.

(Borang JPJ L1 http://portal.jpj.gov.my/index.php?option=com_docman&task=cat_view&gid=13&Itemid=36&lang=ms)

2. IC original dan satu salinan IC
3. Lesen memandu original dan satu salinan lesen memandu (pastikan tarikh mati lesen cukup setahun akan datang)
4. Duit permohonan lesen RM150 setahun.

Mula-mula kami dengan yakin merasakan bahawa kami boleh buat lesen ini terus sampai 3 tahun, rupanya tidak. Lesen antarabangsa ini perlu diperbaharui setiap tahun di mana-mana JPJ di Malaysia. Sistem online untuk menghidupkan lesen memandu dari luar negara belum lagi diwujudkan. Boleh minta tolong ahli keluarga untuk hidupkan dengan dokumen yang disebutkan di atas (IC asal tidak perlu, hanya salinan IC, lesen memandu asal dan salinan lesen memandu sahaja diperlukan).

Proses untuk mendapatkan lesen antarabangsa sangat pantas, dalam 1/2 jam urusan telah selesai. Syabas penjawat awam di JPJ.

Saya sering teringat kematian. Kematian itu cukup dekat. Moga Allah mudahkan urusan kematian kita.

Doa untuk ayah,

“Ya Allah, ampunilah ayah, kasihanilah ayah, selamatkanlah ayah, maafkanlah ayah, muliakanlah kedudukan ayah, perluaskanlah kubur ayah, sucikanlah ayah dengan air, salji dan air sejuk, bersihkanlah ayah daripada dosa-dosa seperti Engkau bersihkan kain putih dari kekotoran, gantikanlah ayah rumah yang lebih baik dari rumahnya, ahli keluarga yang lebih baik dari keluarganya dan pasangan yang lebih baik dari pasangannya, masukkanlah ayah ke syurga dan hindari ayah dari azab kubur dan azab neraka”

Mama Abdan.

21 Januari 2012

Rumah Ayah.