Setiap kali pulang dari universiti ke rumah, saya menaiki bas. Sebuah bas dua tingkat yang masih baru dan selesa. Saya telah awal-awal lagi membeli pas bas. Pas itu untuk 4 minggu. Maka tidak perlulah saya berpinau-pinau mata mengira duit syiling pence yang asing itu. Tatkala kaki menjejak perut bas, saya hanya perlu menunjukkan pas bas. Ia mudah. Semudah membuka mulut untuk makan.

Saya lantas mendaki bas ke tingkat atas. Oh banyak lagi tempat duduk yang kosong. Di hadapan saya ada seorang lelaki mungkin awal 50 an sedang giat berbual dengan dua anaknya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka bercakap tanpa henti. Dalam kesukaran saya memahami lenggok orang Scottish, saya dapat menangkap perbualan mereka. Meraka sedang bermain bahasa. Bila saja bapa mereka berkata,

“Kita mulakan dengan huruf A”

Anak-anak mereka berebut untuk menyebut apa sahaja perkataan yang bermula dengan huruf A. Begitulah seterusnya. Perjalanan di dalam bas mereka penuh dengan aktiviti yang bertamadun. Mereka kelihatan girang dan seronok dengan permainan bahasa itu.

Hinggalah ada seorang lelaki tua berambut putih duduk di belakang mereka. Permainan bahsa mereka terhenti seketika. Si ayah dan pak cik tua itu berbual tentang masa depan Rangers. Seperti biasa, saya kurang mengerti bila tiba tentang dunia bola yang bulat itu. Pak ci tua itu berkata lagi,

“Kerajaan kita banyak membazir duit, terutama untuk sukan lumba kereta, sepatutnya duit itu kita bina hospital di Afrika, atau kita bantu rakyat Syria yang sedang dibunuh oleh kerajaan mereka atau kita bekalkan air bersih untuk orang Afrika”

“Kerajaan tidak peduli, asalkan mereka kaya” ujar lelaki dua anak itu.

Di perhetian bas seterusnya, lelaki dan dua anaknya turun dari bas. Pak cik tua itu lantas menoleh ke belakang dan menyapa saya yang mencuri dengar perbualan mereka dari tadi.

“Hi Ya” ujarnya.

“Hi” Saya jawab seringkas mungkin, takut beliau tidak faham Manglish saya.

“Dari mana?” beliau bertanya

“Dari Malaysia”

“Bagus, saya pernah ke sana, untuk transit, saya tidak sempat keluar dari kapalterbang pun, saya dengar makanan Malaysia sangat lazat”

“Mungkin, makanan kami variasi banyak bangsa”

Dia lantas bertanya tentang agama saya. Dengan bangga saya memberitahunya saya adalah Muslim. Pak cik tua intu kelihatan gembira dengan jawapan saya.

” Saya penganut ajaran Jehovah Witnesses, adakah kamu tahu tentangnya?”

“Saya pernah mendengar tentangnya, namun ini pertama kali saya bertemu dengan penganut agama kristian Jehovah, di Malaysia saya ramai kawan di kalangan Katholic dan Protestan”

“Oh bagus jika begitu, kami percaya Tuhan itu satu, Jesus itu seperti Adam dan bukan Tuhan, Jehovah dan Islam ajarannya serupa”

Saya tidak sempat menjawab panjang, perhentian bas saya sudah sampai. Dia memberikan saya beberapa keping buku kecil beserta email dan nombor perhubungan. Oh sungguh pantas lelaki tua ini melebarkan ajarannya.

Saya akan menghubungnya dalam masa terdekat. Kita tidak sama, Islam dan Jehovah tidak sama. Kami percaya Nabi Muhammad, kami punya Al-Quran, dan kami punya syariat.

Tidaklah kiranya jika ada keserupaan itu menandakan kita sama. Tidak ada agama yang sama dengan Islam. Islam itu tinggi, tidak ada apa yang setinggi Islam. Saya menolak pluralism.

Mudah untuk saya berbual dengannya kelak dengan titik keserupaan itu. Ya Allah, bukalah hatinya untuk agama suci Mu.

Ummu Abdan

Victoria Road