Salam semua,
Saya sibuk. Mengalahkan Perdana Menteri. Banyak cerita dan warna yang ingin dikongsi. Sekarang jam 6 petang, masih terperuk di pejabat. Baru menganalisis data. Data yang berwarna-warni. Saya kira sampai ke hari ini sudah lebih 20 data yang dianalisis. Bukan semua eksperimen berjaya, namun saya tabahkan hati. Adakala warna saya merah menyala tanda semangat. Kadangkala warna saya kelabu asap, kerana sesak dan penat. Hujung bulan perlu menghantar laporan kemajuan tahun pertama walaupun saya baru 6 bulan di sini. Semua perlu laju. Membuat eksperimen perlu laju dan tepat. Menganalisis data perlu tepat dan cepat. Menghurai data sewaktu mesyuarat perlu singkat dan padat. Semuanya saya belajar dari bawah. Rupanya sangat jahil saya ini, itu tidak tahu, ini tidak tahu. Syukur pada Allah yang beri peluang. Cabaran kemahiran lembut dan keras (soft skill dan hard skill) sedang diasah. Biar berdikit-dikit. Suami pesan 3 perkara, dan saya pegang teguh pesanan itu:

1. Datang ke pejabat setiap hari (Ini paling wajib, saya ada anak-anak cell yang perlu dibela)

2. Menulis setiap hari

3. Menjenguk supervisor sekerap mungkin (Saya rasa mereka mungkin jemu dengan saya yang kerap mengintai mereka)

Saya tiada perasaan untuk bercuti lagi, saya menunggu sel lebih tua, baru terfikir akan ke mana-mana. Mungkin menunggu mak Keramat dan adik datang, baru boleh bersiar-siaran.

Bulan Ramadhan menjengah lagi, suasa puasa dari jam 3.00++ pagi hingga ke jam +/- 10.00 malam. Namun tidak seteruk yang disangka. Angin bertiup dingin mengurangkan rasa dahaga dan lelah di jiwa. Setiap hari ada tadarus Al Quran. Saya kagum dengan semangat ahli-ahli tadarus untuk membaca ayat-ayat Tuhan.

Syukur pada Allah, jiran tetangga dan kawan-kawan baik budi pekerti. Saya sempat merasa bubur lambuk, kek coklat, puding roti, pizza, kek keju, yong tau fu, kambing bakar, nasi goreng kampung, laksam, roti, pengat pisang, sambal itu dan ini pemberian mereka. Mereka pakar memasak, saya banyak belajar dari mereka. Moga Allah merahmati sahabat-sahabat saya di sini juga di tanahair. Terima kasih juga dengan jemputan rumah terbuka yang melimpah-ruah. Terharu gembira rasa di jiwa. terima kasih.

Anak-anak semakin membesar dan panjang. Si abang telah berjaya melukis gambar ala-ala spiderman, ada dua mata, ada satu hidung, ada satu mulut, sepasang kaki dan tangan. Si adik makin kuat berceloteh. Sebutan perkataan lebih jelas berbanding abang.

Terima kasih pada suami yang setia menjadi spinal cord saya. Saya mungkin paralyse tanpa sokongan dia. Semoga cinta kita ke syurga.

Selamat menyambut Ramadhan. Moga kita bersua dengan malam Al-Qadr.

Ummu Abdain

GU