Salam semua,


Ini kali kedua buat saya menyambut lebaran berjauhan dari keluarga tercinta di luar negara. Mujur ada suami dan anak-anak di sisi, sahabat sekeliling yang menceriakan sambutan kali ini. Sebelum solat bermula, masyarakat Muslim Malaysia Glasgow berkumpul di Victoria Hall yang kebetulan hampir dengan kediaman kami. Meriah, pelbagai warna pada hari itu. Takbir raya diulang-ulang sebelum solat Eidulfitr bermula.

Baba turut mengehadkan waktu tidur, bersengkang mata menyiapkan teks khutbah Eidulfitr untuk disampaikan selepas solat sunat eid. Sekali-sekala ke dapur mengacau rendang daging, tugasan buat keluarga kami untuk jamuan di pagi Eid.

Malam sebelumnya, tidak dapat melelapkan mata. Saya berbaring berteman komputer riba di hujung kepala. Mujur ada skype, saya sempat ber’skype’ dengan mak, ayah, along, bang long, adik, Fatimah dan seluruh ahli keluarga di Seremban, terutama anak-anak buah yang sangat dirindui Adam dan Aishah di pagi raya waktu Malaysia. Saya terbayang rumah di Malaysia itu di sebelah dinding sahaja. Terubat rindu di hati. Mak Keramat dan adik Fawzul balik ke kampung kali ini, tanpa ayah di sisi. Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu. Hati mula merasa berat dan pedih mengenangkan ayah sudah tiada. Tapi itu sudah takdir. Moga kita bertemu di syurga ayah.

Sedikit gambar buat penawar rindu keluarga di tanah air, gambar hero-hero supersoleh akan diupload kemudian, kamera tertinggal.

Ummu Abdain

Victoria Road