Minggu ini 2 kali jumpa supervisor. Itu biasa. Kalau tidak bertemu, tidak sedap hati. Projek menimbun-nimbun, kalau saya buat ikut kepala sendiri, lama-lama melencong. Mungkin melencong ke Stoke atau Loch Ness atau yang seangkatan dengannya. Sv-sv saya nampak gayanya bukan jenis mencari student. Student yang perlu mengejar mereka. Kalau saya senyap seminggu, mereka pun senyap seminggu. Kalau saya senyap 3 minggu, mereka pun senyap 3 minggu. Saya macam biasa, student yang banyak tak tahu, hati jadi tak tenang kalau tak bertemu sv. Apa yang menarik, sv saya yang pertama ini, dia merupakan ketua kepada sv-sv di institute saya. Dia orang besar, terkenal, sangat sibuk malah tegas. Walaupun begitu, setiap kali saya bertemu dengannya untuk membentangkan hasil kerja saya, saya pasti mendapat ibrah yang tidak ternilai dan tidak terdapat dalam buku-buku bacaan saya. Semoga saya dapat belajar sebanyak mungkin dengannya. Oleh sebab itu juga, saya tidak jemu menjenguk kepala di muka pintu biliknya, moga-moga ada limpahan ilmu melekat di kotak minda saya. Saya berdoa semoga dia tidak serik mendidik saya yang jahil ini. Dia memang orang penting di kala viva pelajar post graduat. Maka tatkala bertemu dengannya, saya merasa seolah sedang di’viva’. Ahhh tertekan juga, namun saya perlu tabah. Itu latih tubi buat saya. Mana tahu saya berjaya mencapai mumtaz syaraf ula kelak.

Sv yang kedua, seperti lelaki-lelaki Inggeris yang berhemah, dia penyantun. Saat-saat sv pertama sibuk itu dan ini, dia akan sentiasa memberi masa untuk saya. Saya telah banyak lupa itu dan ini, barangkali kerana ilmu itu tidak dipraktikkan sewaktu bekerja, ia telah seakan luput di fikiran. Jarang saya mahu bercerita tentang fungsi mitokondria atau enzim-enzim yang terlibat dengan penghasilan RNA kepada pesakit-pesakit, atau bagaimana kitaran sel bagi eukaryote. Pernah satu ketika saya terkeliru bagaimana mahu meletakkan error bar pada graph eksperimen, maka dia akan mengajar satu-persatu kaedah bagaimana teknik yang tepat. Malah dia juga sering memberi tutorial personal pada saya. Syukur pada Allah.

Mereka berdua saintis senior yang ulung lagi berpengalaman. Apa yang dapat saya pelajari secara bertatih-tatih di dalam dunia saintis ini ialah, kita tidak perlu malu untuk memberitahu bahawa kita tidak tahu. Proses menggenggam ijazah PhD itu merupakan proses yang panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Ketekunan yang konsisten dan selera mahu mengumpul ilmu sedaya mungkin perlu ditanam elek-elok di benak jiwa.

Sesungguhnya perjalanan ilmu ini panjang. Tidak ada jalan singkat atau mudah untuk melalui fasa-fasa mencedok sedikit ilmu Allah. Semoga perjalan ilmu saya dan keluarga akan mendekatkan kami pada Yang Maha Pencipta.

Rupanya di kala kami digelar pelajar PhD, kami juga dikenali sebagai saintis. Kekok rasanya dipanggil saintis. Cita-cita saya sewaktu darjah dua dahulu, di kala saya sendiri pun tidak mengerti apa itu saintis  🙂

Ummu Abdain

Victoria Road