Salam semua,

Keputusan eksperimen mendebarkan. Hari Sabtu lepas, di saat kenalan lama bertandang ke rumah, petangnya saya perlu berkejar ke makmal. Eksperimen ini penentu arah tujuan perjalanan PhD saya. Saya bertekad untuk memberi yang terbaik. Penghujung eksperimen, petang kian malap, malam sudah mahu berkunjung, saya seorang diri di dalam bangunan 5 tingkat itu. Saya rasa seperti ada gerakan menangkap anak mata saya. Oh rupanya itu bayang sendiri. Tergelak sendiri di hati. Sel-sel ini perlu dibaca aktivitinya menggunakan mesin berteknologi tinggi bersebelahan bilik gelap. Seram sekali-sekala. Tapi tabahkan hati. Hati berkobar-kobar mahu melihat hasil titik peluh sepanjang minggu lepas.

Tiba-tiba, fail maya milik Sam hilang, hampir mahu luruh rasa jantung. Sam tiada di sini, bercuti untuk berkahwin di Eropah timur. Jika saya tidak berjaya membaiki fail ini maka usaha keseluruhan eksperimen minggu lepas akan jadi sia-sia. Oh, betapa lemahnya manusia, bergantung harap pada sebuah mesin. Maka siapalah kita untuk mendabik dada untuk berbangga-bangga. Manusia itu penuh kelemahan dan kekurangan. Syukur pada Allah, masalah dapat diatasi. Bacaan berjaya dibaca dengan lancar.

Hari ini baru selesai berjumpa sv-sv saya. Membentangkan kembali hasil eksperimen. Nampaknya mereka berpuas hati. Segala puji bagi Allah yang memberi rezeki kepada saya dan juga sel-sel peliharaan saya. Setakat ini sel-sel ini memberi kerjasama yang baik kepada saya. Terima kasih sel. Mereka telah banyak berjasa pada siri-siri eksperimen saya yang terdahulu. Mereka bakal menjadi tua tidak lama lagi setelah Passage 30. Mereka tidak lagi berupaya cergas bagai pemuda belia. Itu fitrah sebuah sel kanser endocrine.

Begitu juga diri saya. Umur saya semakin bertambah, saat kematian makin dekat. Saya tidak bisa membuang masa lagi. Saya tidak boleh membazir rezeki saat yang Allah kurniakan kepada saya dengan perkara alpa lagi sia-sia. Bercakap negatif, mengumpat, mengata itu dan ini itu amalan orang miskin jiwa. Mengintip secara terang mahupun mengintip di dunia maya itu perbuatan fakir minda. Mendedahkan keaiban saudaranya tunggu sahaja balasan Allah yang akan melondehkan keaiban dirinya di akhirat kelak. Semoga Allah menghindarkan kita dari golongan ini. Setiap gerakan jarum saat itu mesti dioptimumkan untuk bekalan saya tika hari penghisaban kelak. Kita perlu terus ke hadapan tanpa perlu menoleh lagi.

Di bumi Glasgow ini, ramai sahabat yang berjiwa merdeka lagi berperibadi tinggi. Mereka orang baik-baik lagi memberi manfaat. Itu tanda orang berjaya. Saya berdoa semoga kami sekeluarga akan menemui manusia-manusia berhati mulia lagi. Manusia yang merendah diri, menghormati dan berilmu tinggi. Manusia yang memberi gelombang positif agar lebih dekat kepada Yang Maha Pencipta. Semoga semakin luas langkah kami mengembara mencari ilmu, semakin ramai manusia berjiwa hamba lagi berpekerti akan kami temui.

Saya perlu mengulang kembali eksperimen, moga-moga ia ‘reproducible’. Ketemu lagi kita wahai sel di esok hari.

p/s: Ummu Akmal apa khabar? Saya rasa rindu untuk bertemu seperti dahulu, di perkarangan Masjid Nabi, apakan daya kita berjauhan. Tunggu panggilan dari Ummu Abdain ya…

Mama Abdain

GU