Saya teringat kembali memori ketika saya belajar bahasa Arab di kelas tusyen Ustazah Raja Puziah di Taman Paroi Jaya, Seremban. Setiap kali saya ke kelas tersebut, saya akan dihantar oleh ayah menaiki kereta Proton Saga coklat milik ayah. Saya kira kereta itu kini sama usia dengan adik. Ketika itu, ayah sangat jarang memasang pendingin hawa, kata ayah untuk jimatkan petrol kereta. Saya mengangguk tanda faham. Saya lantas masuk ke kelas tusyen bahasa Arab yang sangat dinanti-nantikan itu. Sewaktu pengajian bahasa Arab berlangsung, saya mengintai dari kelas ke arah kereta ayah. Rupanya ayah menunggu saya di bawah pokok, mengelak terik matahari sambil membawa buku atau akhbar untuk ayah baca sepanjang tempoh kelas berlangsung. Itulah rutin ayah acapkali saya ke kelas bahasa Arab. Ayah akan menghantar saya pergi ke kelas, menunggu saya menghabiskan pengajian dan menghantar saya pulang ke rumah dengan selamat. Begitu juga dengan kelas-kelas tusyen saya yang lain-lain, ayah akan menunggu saya hingga kelas tusyen tamat.

Ayah sangat gemar membaca. Malah rumah kami seperti perpustakaan. Sewaktu saya kecil, ayah akan membelikan saya majalah Comel setiap minggu. Saya masih simpan majalah-majalah itu hingga kini. Mungkin ia sudah kusam akibat ditelan masa. Ayah juga orang pertama yang memperkenalkan tulisan jawi kepada saya. Saya kira minat membaca adik-beradik kami adalah disebabkan pengaruh besar hobi membaca ayah.

Sepanjang kehidupan saya dari kecil hingga remaja, ayah tidak pernah membenarkan saya pegi ke mana-mana jika tidak ayah sendiri yang menghantar saya ke tempat yang diingini. Sikap pelindung ayah itu terbawa-bawa hingga kini, meskipun saya kini telah bersuami.

Sewaktu saya kecil, saya kerapkali tertidur di atas lantai, atau di bawah meja atau di merata-rata tempat di rumah kami. Setiap kali itu juga, ayah akan mendukung anaknya ini dengan penuh kasih ke dalam bilik tidur, menemankan saya dan menyelimuti saya dengan selimut agar saya tidak kesejukan di malam hari. Itu juga rutin ayah sewaktu saya kecil dahulu. Malah hingga kini, ayah akan menyelimutkan kami sekiranya kami sekeluarga tidur di luar bilik.

Selama ini, sebahagian besar peruntukan kewangan ayah dikhususkan untuk melabur di dalam pendidikan dan pembelajaran ilmu untuk kami anak-anaknya. Sebut sahaja apa-apa kelas tambahan, segala apa jenis buku ilmu, sudah pasti ayah akan memberikan lampu hijau untuk kami. Sehingga sebelum saya melanjutkan pengajian di luar negara pun, ayah telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kami dan cucu-cucunya, walaupun tidak pernah dipinta. Pesan ayah, pergi menuntut ilmu walau sejauh manapun tempat itu berada. Saya sangat terharu dengan sokongan kuat ayah.

Saya fikir, jika bukan kerana ayah, sudah pasti saya tidak melanjutkan pelajaran menengah di sekolah agama. Jika bukan kerana ayah juga, sudah pasti saya tidak mula menutup aurat semenjak kecil lagi. Jika bukan kerana usaha dan sokongan ayah juga, saya pasti tidak akan berada di tempat saya kini.

Esok ulangtahun kelahiran ayah yang ke 59. Sesungguhnya saya sangat rindu pada ayah. Sesungguhnya jasa ayah tidak akan mampu saya balas walau setitik pun. Semoga Allah memasukkan ayah ke dalam syurga.

Anak yang merindui ayahnya.

Nur Izah Ab Razak

Coplaw Street