Sekiranya diminta untuk meletakkan aras kedudukan minat terhadap matapelajaran sewaktu SPM dahulu, saya nescaya tanpa ragu akan memilih Bahasa Arab Tinggi sebagai minat yang paling utama. Kemudian barulah subjek Kimia dan Biologi muncul. Namun, minat terhadap Pendidikan Al-Quran Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah juga seringkali mendahului berbanding Biologi dan Fizik.

Oleh kerana saya tiada pilihan ketika itu, saya perlu memilih mana yang lebih utama. Saya memilih untuk belajar di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dalam bidang Sains Hayat. Saya kira, generasi yang terkemudian lebih beruntung kerana mereka punya peluang yang lebih untuk memiliki kedua-dua cabang ilmu agama dan sains. Mereka punya MRSM Ulul Albab, mereka punya tempat pengajian di USIM dan sebagainya.

Sememangnya mengikut kerangka yang tulen, bidang sains itu merupakan salah satu cabang dari bidang agama, namun nampaknya keadaan di Malaysia lebih sepuluh tahun dahulu tidak begitu. Kedua-dua bidang ini dipisahkan terutama ketika peringkat tertiari pengajian. Walaupun ada segelintir sahabat-sahabat yang bertuah untuk melanjutkan pengajian di Darul Quran dan kemudian terjun ke bidang perubatan dan lain-lain pada ketika itu, namun tempat pengajian tersebut sangat kecil dan terhad.

Oleh yang demikian, saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian untuk kedua-duanya secara serentak. Namun, saya mempunyai kepercayaan yang mendalam bahawa proses pembelajaran itu ialah proses sepanjang hayat. Sementelah kehidupan saya dan suami sepanjang 5 tahun ini adalah kehidupan yang penuh dengan suasana sebagai pelajar. Kehidupan yang diulit buku dan hadir di majlis ilmu merupakan satu rezeki yang sukar diungkap. Kini kami sama-sama bergelar pelajar pasca graduat. Ia satu nikmat.

Di University of Glasgow, banyak kelas dianjurkan khusus untuk peringkat dewasa. Antara kursus yang menarik minat dan tumpuan saya ialah kelas pengajian bahasa. Saya cintakan bahasa.  Disebabkan peluang pengajian bahasa di sini sangat luas, maka saya telah memilih untuk belajar bahasa salah satu bahasa simetik yang juga dikenali sebagai ‘sister language’ bagi bahasa Arab. Saya perlu mendalami bahasa ini untuk kegunaan ummah di kemudian hari. Saya perlu belajar bahasa ini untuk saya membaca journal mereka yang jauh terkehadapan. Saya perlu belajar bahasa mereka untuk membaca buku, akhbar dan kitab mereka. Ya, saya telah tekad belajar bahasa yang sangat asing bagi kita rakyat Malaysia.

Saya pernah diberi peluang untuk belajar bahasa Arab sewaktu ketika dahulu, dan kini saya tidak mampu melepaskan peluang belajar bahasa yang dikatakan punya persamaan dengan bahasa Arab. Moga dengan menghadirkan diri di kelas pengajian bahasa ini, Allah akan memberi rahmat yang berlipat kali ganda buat kami penuntut ilmu di sini.

Kelas kali pertama telah berlangsung minggu lepas, kesemua pelajar berbangsa Yahudi kecuali Dr Khalid dari Libya, seorang pelajar wanita Cina bernama Grace dan saya Muslimah Melayu dari Malaysia. Ia kelas yang mendebarkan jiwa.

p/s: Terima kasih buat suami yang memberi sokongan penuh buat saya, ini cita-cita saya semenjak dahulu.

Ummu Abdain

GCRC, GU,

Glasgow.