Kira-kira lebih sedekad yang lalu, saya merupakan pelajar tingkatan 5 di SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban. Tahun tersebut adalah tahun yang berat bagi saya, saya akan menjalani peperiksaan yang sangat penting dan nenek kesayangan telah pergi menemui Allah. Sebelum kedua-dua peristiwa yang besar itu berlaku, Allah telah mengurniakan rezeki yang sangat bernilai buat kami sekeluarga. Panggilan haji.

Mak dan ayah telah mula menabung di dalam akaun Tabung Haji bagi kami sekeluarga semenjak kami adik-beradik masih kecil lagi. Berkat menyimpan berdikit-dikit akhirnya hasrat dan cita-cita mereka tercapai, membawa kami sekeluarga menunaikan rukun Islam kelima, haji di Baitullah.

Kami sekeluarga agak berdukacita pada waktu itu kerana terpaksa meninggal Along (kakak saya) di Malaysia. Along punya peperiksan di universiti yang tidak dapat dielakkan. Namun, kami tetap meneruskan perjalanan haji walaupun dengan berat hati meninggalkan Along berseorangan di tanahair

Saya teringat kembali saat-saat ketika berada di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Saya memakai jubah putih dan telekung putih bersama-sama emak, ayah dan adik. Perasaan saya sangat luar biasa ketika itu. Kami dibawa ke KLIA dengan menaiki bas. Sungguh banyak bas pada malam itu, dan kami diiringi pasukan polis traffik di sepanjang perjalanan. Hati saya berbunga riang. Perjalanan sebagai tetamu Allah bermula.

Saya ada menulis jurnal tentang perjalanan haji pada tahun itu. Jurnal itu kini dalam simpanan ayah. Ia punya nilai sentimental yang tinggi buat kami sekeluarga. Saya berharap untuk menulis semula jurnal tersebut di laman blog ini suatu hari nanti.

Apa yang paling saya ingati ialah pada hari Arafah, saya berdoa dengan sepenuh hati di bawah khemah di Arafah, bersungguh-sungguh hingga mengalirkan air mata, moga Allah menjadikan saya seorang doktor, “Ya Allah, jadikanlah aku seorang doktor”. Rupanya doa saya itu dimakbulkan Allah. Ia hari yang luar biasa. Ia rezeki luar biasa buat saya. Ia rezeki yang menginsafkan.

Pada tahun ini, adik berpeluang untuk kali ketiga menunaikan haji. Semoga adik mendapat haji yang mabrur. Jika adik membaca blog Angah, tolong doakan kita sekeluarga berjaya dunia akhirat.

p/s: Selamat berpuasa sunat pada esok hari, moga dosa kita pada setahun lepas dan setahun akan datang akan diampunkan Allah.

Memori haji.

Ummu Abdain

Glasgow