Kelas Bahasa Hebrew ini kelas yang dinanti-nantikan. Setelah berlelah di makmal dan pejabat, saya bergegas mendaki bukit di sepanjang University Avenue ke arah Hetherington Building dan kemudian ke Adam Smith Building. Setakat ini, setiap kali ke kelas pengajian bahasa ini, saya akan termengah-mengah sejurus sampai, mungkin tidak cukup ‘fit’ untuk berjalan selaju itu. Saya perlu menepati masa. Kerapkali pelajar yang mula-mula sampai ialah saya dan Dr Khalid. Kami komited mempelajari bahasa ini.

Konsep bahasa Hebrew menyerupai Bahasa Arab, di mana sistem pembacaan bermula dari kanan ke kiri. Bahasa Hebrew tidak mempunyai huruf ‘vowel’, 22 + 5 huruf konsonen. Manakala Bahasa Arab, ia mengandungi 28 huruf konsonen dan 3 ‘vowel’.

Setakat silibus yang saya pelajari, banyak tanda baris dan abjad yang bertindih dan agak mengelirukan, seperti contoh Patach dan Kamats. Patach dan kamats bermaksud baris atas di dalam Bahasa Melayu atau Fathah di dalam Bahasa Arab. Kedua-dua tanda ini sama fungsinya dan tidak ada perbezaan dari segi spesifikasi penggunaannya. Contoh kedua, aleph dan ayen di mana bunyi huruf tersebut tidak dapat dibezakan dengan pasti sebagaimana huruf Alif dan ‘Ain dalam abjad Bahasa Arab. Beza metodologi bacaan tidak dianggap fundamental. Ia mengelirukan.

Suka untuk saya kongsikan beberapa persamaan perkataan dan huruf Bahasa Hebrew dan Bahasa Arab.

Meh zeh ? = Ma haza ? = ‘What is this’ ? = Apa ini?

Me ayin ata ? = Min aina anta ? = ‘Where are you from’ ? = Kamu dari mana?

Aleph = Alif = A

Beh = Ba = B

Ayen = ‘Ain =’eye’ =mata / huruf berfungsi seperti ‘Ain

Shaon = Sa’atun = ‘watch’ = jam tangan

Kee seh = kursiyyun = ‘chair’ = kerusi

Aba = Abun = ‘Father’ = Ayah

Ima = Ummiyyun = ‘Mother’ = Emak

Mi = Man = ‘Who’ = Siapa

Leila = Al-lail = ‘Night’ = Malam

Ani = Ana = ‘I am’ = Saya

Ata = Anta = ‘You are’ = Awak

Setelah mempelajari Bahasa Hebrew, ternyata Bahasa Arab itu jauh lebih spesifik, lebih menyeluruh, luas, bersistematik, lebih nyata, tidak mengelirukan dan jauh ke hadapan. Tidaklah Al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab, melainkan untuk kita lebih berfikir.

Regards

Ummu Abdain

GU.