Salam semua,

Terima kasih pengunjung yang tidak jemu datang ke blog serba ringkas ini. Semua pasti tahu konsep menabung untuk senang. Setiap kali ada gaji, perkara pertama ialah menggunakan gaji tadi untuk simpanan di dalam tabung atau bank dan sebagainya. Teringat dahulu, mak akan memberikan RM60 sebulan untuk wang belanja sekolah. Saya akan menyimpan lebih dari 50% untuk simpanan. Selebihnya bekal untuk saya membeli nasi lemak dan sebagainya. Konsep menabung untuk senang telah mengakar dalam jiwa remaja saya ketika itu.

Sewaktu di peperiksaan akhir pengajian perubatan saya dahulu, Allah telah membuka fikiran saya ke demensi berbeza. Peperiksaan akhir itu saya ibaratkan sebagai hari pengadilan di akhirat nanti. Maka saya perlu belajar dengan bertungkus-lumus sehabis baik untuk lulus peperiksaan akhir itu. Saya perlu menabung. Saya menabung kepingan-kepingan ilmu dan simpan di dalam sel neuron saya untuk lulus di hari pengadilan, iaitu hari akhir peperiksaan.

Kini, di tahun 2 pengajian PhD, saya perlu menabung sebanyak mungkin data dari eksperimen, menabung helaian-helain ilmu kemahiran lembut dan kemahiran keras. Kerana saya akan ditimbang sukat di hari pengadilan, iaitu hari saya akan menghantar tesis dan di’viva’kan .

Saya perlu sedar semua di atas hanyalah pengadilan di dunia, ia kecil, sangat minor dan tidak sama cara audit daripada Allah yang spesifik lagi luar dari jangkawan otak manusia  di hari pengadilan di akhirat kelak. Realiti kehidupan sementara saya, Allah telah mengurniakan saya nyawa. Nyawa itu ibarat gaji. Nyawa (gaji) itu akan digunakan untuk mengumpul pahala (simpanan) sebelum ke alam seterusnya. Melakukan kebaikan, bersedekah, membersihkan hati, jiwa dan minda, dan segala perlakuan yang diniatkan sebagai ibadah untuk tabungan saya di hari pengadilan kelak. Saya gusar juga jika simpanan saya kurang akibat dosa dan kelompangan diri yang banyak. Saya berdoa kita semua boleh menyimpan untuk senang di akhirat sana.

Saya masih diberi gaji lagi dari Allah, moga saya dan semua di luar sana dapat menabung sebaiknya.

p/s: Saya mohon anak-nak keturunan saya akan mendoakan saya ketika saya telah melangkah ke alam yang lain. Tolong doakan saya.

Ummu Abdain

GCRC Lab 4

Glasgow University.